Suis, litar dan arus di Madrasah Ramadhan

Kita selalu berada di persimpangan antara dua pilihan. Tentu sekali pilihan itu penting buat kita. Menghairankan juga mengapa perlu ada pilihan untuk perkara-perkara yang penting. Aqal dan fikiran adalah kombinasi eksklusif bagi makhluk yang bergelar manusia. Sejahtera hubungan kedua-duanya dan mempunyai hubungan diplomatik yang mantap dengan institusi hati membolehkan manusia itu waras dalam banyak tindakan.
Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). Al Baqarah, 269.
Dan tidak ada seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya. Yunus, 100.
Memartabatkan peranan aqal bukanlah pula satu peran yang menarik. Ianya penuh dengan rasional, ilmu yang bermanfaat , keinginan yang lahir daripada hati serta suasana sekeliling yang soleh yang mampu merangsang percernaan aqal. Dengan kata lain, aqal dan fikiran perlu diberi peluang berperanan selayaknya. Aqal dan fikiran itu perlu dipandu gerak tarinya kearah yang sepatutnya. Kecacatan tumpuan dan ketumpulan tindakan banyak berkisar tentang kelemahan aqal dan fikiran juga kesediaan hati kita untuk berperanan. Alangkah baik andai kesemuanya dapat kita gerakkan hanya dengan satu suis. Namun itu pasti tidak akan berlaku kerana sunnatullahNya bukan begitu. Persoalannya di sini, bagaimana nak menggerakkan aqal dan fikiran serta hati agar mencetus sesuatu yang bermanfaat?
Aqal dan fikiran begitu senang dengan rangsangan logik, tidak kira dari arah mana. Hati pula sering diiringi nafsu dalam mencipta persimpangan. Di situlah ilmu akan menjadi sempadan pemisah yang ampuh dan menyelamatkan kita.
"Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula."
(HR. Bukhari dan Muslim)
Lihatlah betapa kritikal keberadaan ilmu dalam diri kita. Memang ketara perbezaan antara manusia apabila ilmu diletak pada sisi yang sepatutnya. Selayaknya, setiap yang diusahakan akan pasti lebih bererti apabila kita ada ilmu tentang apa jua perkara. Nanti pasti ada yang beralasan sedang belajar atau tidak tahu kerana belum belajar. Maka sampai bila-bila pun individu seperti itu akan beralasan tujuan untuk tidak mahu melangkah dan rasa selesa dengan suasana itu. Lantas apa perlu dilakukan ? Di sinilah resam ukhuwwah akan mengambil tempat. Kasih dan sayang kita kepada sahabat atau saudara seIslam sebenarnya diuji andai kita secara terang berpegang untuk meninggalkan mereka yang gagal menggauli adunan aqal, fikiran dan hati bersama-sama ilmu. Kasih dan sayang dalam berukhuwwah mempunyai kekuatan di luar jangka dan melahirkan seni muamalat yang amat sistematik apabila dilalui secara organisasi yang
tersusun laksana binaan yang bakal mengukuh antara satu sama lain.
Keserasian dalam berukhuwwah inilah yang amat diharapkan. Soal hati, kewarasan aqal dan fikiran adalah manifestasi langsung dalam kekuatan ukhuwwah yang dibentuk. Didasari ilmu daripada sumber yang betul iaitu Al Quran dan As Sunnah, panduan daripada para ulama muktabar dan bimbingan daripada hati-hati yang penuh sentuhan dakwah dan tarbiyah, pasti membentuk rantaian yang ditinggalkan Rasul. Tentu sekali semua ini hanya dengan keizinanNya, namun realiti selalu berbicara dari sisi yang menguji kesabaran lantaran itulah hakikat mengharap ganjaran dalam mengejar punca keredhaanNya. Di madrasah Ramadhan kali ini, hadirlah kekuatan agar kekuatan itu menjadi sebati dalam diri, hadirlah kerendahan diri dalam menuntut ilmu dengan bertanya pada yang tahu dan mendengar sebaik mungkin. Mungkin ukhuwwah adalah fius

kepada suis yang kita cari lalu petiklah suis itu agar terjana kemampuan aqal dan fikiran serta hati yang terdidik. Mudah-mudahan, di madrasah Ramadhan kali ini kita dibekalkan litar kekuatan yang mengalir di dalamnya arus tarbawi lalu menyalakan lampu yang menyuluh perjalanan daie yang di hadapannya penuh dengan persimpangan di lebuhraya kehidupan yang penuh tipu daya.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment