Pemerkasaan Modul Taska & Tadika HALUAN

No comments

Putrajaya, 12 Mac - Pemantapan modul Taska dan Tadika dalam menerapkan aspek mentauhidkan Allah telah dijalankan dalam Bengkel Penyelarasan Silibus Taska dan Tadika HALUAN anjuran HALUANITA Pusat yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya. Bengkel itu dihadiri oleh 28 peserta wanita dari 14 buah taska dan tadika HALUAN (TTH) di seluruh negara. Para peserta yang hadir terdiri daripada pemilik dan tenaga kerja Taska dan Tadika yang merupakan ahli HALUAN.

Menurut pengerusi HALUANITA, Pn Alfiah Samingan, bengkel itu dijalankan bertujuan untuk mengemaskini, menyelaraskan seterusnya memperkasakan modul pengajaran dan pengurusan TTH seluruh negara. Sehingga hari ini terdapat 25 Taska dan Tadika HALUAN. Keadaan ini memerlukan wujudnya badan khas yang menyelaras dan memantau perkembangan dan perjalanan TTH agar ia boleh diketengahkan kepada masyarakat sebagai medan dakwah dan menjadi rujukan kepada pemilik taska dan tadika.

Bengkel sehari itu dirasmikan oleh Tn. Haji Rosdi Baharom merangkap Penasihat Silibus TTH. Beliau menyarankan penekanan aspek pendidikan aqidah terhadap kanak-kanak prasekolah di bawah usia tujuh tahun adalah perlu. Matlamat utama pendidikan anak-anak ini adalah mentauhidkan Allah dalam pelbagai subjek yang diajarkan dengan harapan dapat melahirkan generasi yang mencintai Allah lebih dari segala-galanya dan menerima Islam sebagai satu sistem kehidupan. Modul ini diharap boleh diketengahkan kepada masyarakat sebagai satu wasilah dakwah.

Para peserta turut berkongsi teknik dan kaedah pendidikan anak-anak di taska dan tadika yang dijalankan di tempat masing-masing. Ia merangkumi pengajaran kaedah membaca, penanaman aqidah malalui Asmaul Husna, penceritaan sirah nabi untuk menanamkan rasa cinta anak pada Rasulullah s.a.w dan kaedah hafazan menggunakan kaedah Quranuna.

Bengkel ini diakhiri dengan rumusan bengkel daripada Ketua Unit Silibus, Pn. Hayati yang menekankan tauhid sebagai dasar melalui subjek-subjek akidah, Al-Quran, Sirah dan Akhlak. Subjek-subjek lain seperti Bahasa, Sains dan sebagainya sebagai sokongan. Beliau berpesan, “Mari bersama-sama membina modul ini dan mengajak anak-anak mengenal Allah. Allah akan membantu bila kita ikhlas semata-mata keranaNya.”

(Tn Hj Rosdi Baharom adalah penasihat dan mentor bagi HALUAN Rawang)

Liputan dan Rakaman oleh:

Unit Media HALUANITA

Terbitan:

No comments :

Post a Comment