Bersama Ahli Parlimen Sik, YB Tuan Haji Che Uda Che Nik

No comments
Rawang, 28 jun 2011 – HALUAN Rawang telah melestarikan usaha berkongsi rasa dan memekarkan ukhuwah dalam masyarakat melalui sumbangan dan tanda ingatan ke kawasan parlimen yang dapat dikenalpasti secara berperingkat-peringkat. Gerak kerja kali ini telah memilih Parlimen Sik, Kedah sebagai permulaan melalui wakil rakyat kawasan itu yang juga ahli parlimen iaitu Yang Berhormat Tuan Hj Che Uda Bin Che Nik. Majlis ringkas itu telah berlangsung di pejabat HALUAN Rawang dan dihadiri oleh seluruh Jawatankuasa Kerja HALUAN Rawang. Turut hadir adalah Setiausaha Kerja HALUAN Pusat iaitu En Mohd Fadzil Bin Husin.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi HALUAN Rawang, En Ahmad Fisal Bin Md Salleh telah menyatakan hasrat HALUAN sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin bersama masyarakat menerusi apa sahaja ruang atau saluran yang ada dan sentiasa berusaha berkerja sama dengan kerajaan persekutuan, negeri mahupun ahli parlimen agar rasa kebersamaan serta ukhuwah itu sentiasa menjadi teras perhubungan sesama masyarakat. Usaha yang sewajarnya datang daripada segenap lapisan anggota masyarakat mengikut kemampuan masing-masing juga merupakan akhlak yang dituntut oleh Islam. HALUAN Malaysia sentiasa membuka ruang bekerjasama dalam pembangunan insan serta usaha khidmat kemasyarakatan yang memberi impak transformasi kepada kesejahteraan masyarakat umumnya dan kefahaman tentang Islam khasnya. HALUAN Malaysia amat berbesar hati atas kesudian Yang Berhormat menerima sumbangan untuk para pelajar miskin di kawasan Sik, Kedah.

Dengan menyifatkan usaha yang berteraskan memburu keredhaan Allah dan berterusan bekerjasama di peringkat mana sekalipun, Yang Berhormat Tuan Hj Che Uda menegaskan bahawa langkah HALUAN Malaysia menyuntik pendekatan sebegini amat dipandang tinggi . Sambil berkongsi keperitan dan cabaran dalam memberi khidmat, YB Che Uda yang terkenal dengan sikap tidak memandang siapa atau apakah latarbelakang masyarakat di parlimennya, telah memberi gambaran kehidupan masyarakat di kawasannya yang rata-rata membawa pengertian bahawa kerjasama seperti ini perlu diperbanyakkan lagi. Sifat suka bergaul dengan masyarakat tidak mengira apa latarbelakang telah menyebabkan beliau diterima dan pendekatan seumpama ini penting kepada mereka yang membawa sahsiah Islam. Dengan ucapan terima kasih dan berbesar hati, seluruh masyarakat di parlimen Sik khususnya para pelajar miskin yang bakal menerima sumbangan yang di sampaikan pada hari ini pasti akan kekal dalam ingatan.

Meluangkan masa hampir lebih 2 jam di pejabat HALUAN Rawang, YB Che Uda dan seorang pengiring sempat bertukar-tukar pandangan dan berbincang langkah yang lebih bersepadu dalam usaha menyalurkan apa sahaja bentuk bantuan yang amat dihajati. Tetamu kehormat kali ini telah dijamu dengan menu nasi hujan panas berserta lauk pauk yang menyelerakan. Menu istimewa ini telah disediakan oleh Ketua Unit Ekonomi merangkap Chef Kehormat HALUAN Rawang iaitu ‘Abang Long’.

Penglibatan bersepadu Jawatankuasa Kerja HALUAN Rawang bersama-sama HALUANITA Rawang dan Unit Pemuda serta Media HALUAN Rawang dirasakan begitu bermakna apabila program bersama Ahli Parlimen ini membuahkan hasil dan kami penuh percaya bahawa usaha ini tidak terhenti di sini dengan tekad untuk membina langkah penerusan yang dapat memberikan kebaikan kepada masyarakat dan memartabatkan kefahaman dan pengertian Islam dalam seluruh lanskap kehidupan.











No comments :

Post a Comment