Menyemai Ukhuwwah Di Sempadan Dua Negeri....

No comments

8 Ogos 2010 – Hulu Bernam. HALUAN Rawang telah sekali lagi berjaya melaksanakan perkelahan keluarga yang kali ini turut disertai oleh para mahasiswa Kolej Sains Kesihatan Bersekutu ,Sungai Buloh , Selangor dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kehadiran yang mencecah 90 orang ini telah meninggalkan lipatan memori dan sua rasa yang penuh makna kepada para peserta. Tema perkelahan kali ini ialah “Jom Kita Berukhuwwah”.


Lokasi kali ini ialah di Teratak Riverview, sempadan di antara Hulu Bernam, Selangor dan Tanjung Malim, Perak. Prasarana dan pemandangan hutan di lokasi benar-benar merehatkan fikiran. Aliran megah Sungai Bernam juga begitu menyegarkan dengan hamparan batuan sungai serta bunyi deruannya begitu menenangkan. Walaupun agak jauh daripada jalan utama, pengalaman sebahagian besar para peserta Kolej menaiki trak pengangkutan yang disediakan pemilik pusat rekreasi tersebut amatlah mengujakan. Terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur dan ditambah 3 kilometer untuk masuk ke kawasan tersebut , menyajikan kekuatan mental kepada sesiapa sahaja .


Perkelahan yang bertujuan membina ukhuwwah telah dibuktikan dengan kemampuan setiap peserta diuji kesabaran dan semangat setiakawan antara satu sama lain. Bermula dengan konvoi di kawasan tol Tanjung Malim pada jam 9 pagi, membawa ke lokasi, penyediaan makanan, makan bersama, solat, tazkirah dan kalimah akhirah sehinggalah sessi fotografi di penghujung perkelahan. Rata-rata para peserta berhasil menterjemahkan peranan ukhuwwah dan memahami intipati kepada perkelahan HALUAN Rawang pada kali ini.






Generasi muda adalah kekuatan dalam serba serbi situasi. Tenaga dan kesungguhan mereka terpancar dalam setiap tindak tanduk. Ukhuwwah sentiasa menyegar pada wajah mereka di dalam seluruh gerak kerja di perkelahan tersebut. Tazkirah serta kalimah akhirah daripada Tuan Hj Abdul Rashid Awang dan En Ahmad Fisal Md Salleh mengambil peranan menjelaskan kepentingan ukhuwwah dan kedudukan diri manusia agar mengambil kebiasaan memproses hati dan tumpuan melalui tarbiyah konsisten supaya akan terus kekal di dalam suasana Islamik


Mudah-mudahan, menjelang madrasah Ramadhan kali ini, setiap daripada kita memahami pentingnya ukhuwwah dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah, biar apa peringkat umur sekalipun. Perkelahan hampir sehari itu memberi inspirasi yang berkesan dalam pendidikan fakulti insan serta menjadi medan memperbaharui iman dan ukhuwwah yang amat kita hajati.

No comments :

Post a Comment