Tamrin Daerah......HALUAN Rawang

No comments

RAWANG, 26 Februari 2012 – HALUAN Rawang telah berjaya menyempurnakan Tamrin yang pertama dalam tahun 2012 yang berlangsung daripada 25 hingga 26 Februari bertempat di Surau Sekolah Menengah Agama Rawang (SAMER). Tamrin kali ini telah mengumpulkan hampir 60 peserta yang terdiri daripada anggota HALUAN Rawang, ahli keluarga, pelajar UPSI, UNISEL dan pelajar sekolah yang diberi keizinan ibubapa. Program sepanjang 2 hari ini telah berhasil melakar sentuhan kepada tujuan tamrin iaitu ‘Melahirkan Individu Muslim Dan Baitul Muslim’ dan ‘Mengeratkan Silaturahim’.


Penekanan adalah kepada pembentukan individu Muslim dan keluarga Muslim kearah melahirkan generasi Rabbani. Terdapat 2 kertas kerja telah dibentangkan iaitu ‘Pembentukan Individu Muslim (10 Muwasafat)’ yang telah dibentangkan oleh Pengerusi HALUAN Rawang, En Ahmad Fisal Bin Md Salleh dan ‘Pembentukan Keluarga Muslim (Baitul Muslim/Dakwah)’ yang telah dibentangkan oleh Penasihat HALUAN Rawang, Yang Berbahagia Tuan Hj Rosdi Bin Baharom yang diterbangkan khas dari Kolej Teknologi Darul Naim, Kelantan.

Memenuhi tuntutan antara 10 muwasafat, peserta lelaki pelbagai peringkat umur telah dimestikan untuk menjalani riadah melalui sukan bola tampar yang dikendalikan oleh Ketua Unit Riadah, En Abdul Nasir manakala peserta wanita melakukan aerobik dengan dikendalikan oleh Cikgu Thuram. Pasangan suami isteri ini tersohor dengan kepelbagaian kaedah riadah dan banyak mencurahkan idea untuk program riadah HALUAN Rawang. Mudah-mudahan terus kreatif untuk kerja-kerja Islami.


Sessi bengkel menyaksikan perbincangan yang kritis melalui tajuk-tajuk bengkel yang telah disusun oleh Unit Motivasi dan Pendidikan iaitu Cikgu Mustafar dan Cikgu Saipudin. Antara tajuk yang menarik adalah; ‘Jika anda ingin berkahwin atau menjadi ‘muda semula’ dan ingin berkahwin; apakah persediaan yang perlu dibuat untuk membina rumah tangga muslim/dakwah.’ Hasil perbincangan telah dibentangkan oleh wakil setiap kumpulan dan didokumenkan oleh urusetia tamrin.


Haluanita Rawang juga berterusan mengendalikan program untuk kanak-kanak dan memastikan anak-anak dihargai emosi mereka sepanjang tamrin ini berlangsung. Unit Pemuda dan Media turut menyediakan tayangan video dan kendalian multimedia bagi sepanjang program kali ini dan juga aktif menyatakan pandangan.

Keseluruhannya, tamrin kali ini dilihat memenuhi sebahagian besar objektif dan memberi makna yang begitu besar dan menjadi agen penyampai yang berkesan dalam mengimbangi keperluan kefahaman Islam dan pembentukan peribadi Muslim di kalangan peserta dan anggota keluarga mereka di samping terus menyemai tuntutan serta keperluan ukhuwah anggota HALUAN Rawang di daerah Hulu Selangor ini. Terima kasih diucapkan kepada pihak pentadbiran SAMER atas kesudian membenarkan penggunaan kemudahan asas di sekolah tersebut. Semoga kerjasama yang baik ini dapat diteruskan.



No comments :

Post a Comment