Wanita....... kalian adalah teman yang memberi sinar
Wanita adalah makhluk ciptaan Allah yang dihiasi dengan sifat-sifat mulia, dijadikan dari jiwa yang satu dan dari tanah yang sama dengan kaum lelaki. Firman Allah SWT :“Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah mencipta kamu dari jiwa yang satu dan daripadanya (Allah) menciptakan isterinya….” (An Nisa: 1)
Mereka bersifat pemalu, cantik, lemah lembut, penyantun dan halus perasaan, sesuai dengan sifat mereka sebagai wanita. Mereka merupakan ibu, pendidik dan isteri. Suami akan merasa tenang dan bahagia di samping mereka. Ketenangan dan kebahagiaan ini akan membawa kepada kebahagiaan individu dan seterusnya kepada kebahagiaan masyarakat atau ummah Islamiah itu sendiri. Firman Allah SWT :
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar Rum:21)
Mereka adalah ibu dan pendidik kepada generasi baru yang kemudiannya akan menyerahkannya kepada ummah sebagai Rijal yang soleh (pendukung-pendukung Islam yang baik) yang akan bekerja dan berjuang untuk menegak dan melaksanakan Islam serta mengembalikannya sebagai Ad deen di muka bumi ini.
-Dipetik daripada buku Fikrah Kita (Bil 7) – 1985/Dzulhijjah – 1405
Kejadian Allah yang satu ini punya peranan yang terlalu besar dan kita mesti
beriringan dengan mereka untuk melangkah. Langkahan itu pula mesti jelas; Firman Allah SWT;
"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur'an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong." (Al Hajj: 78)
Betapa perlunya umat Islam itu kembali fokus, agar tidak rugi di dunia dan tidak terkilan di akhirat nanti. Alunan lagu kehidupan itu memerlukan lirik dan irama yang saling tunggu menunggu, nanti menanti, bertingkah pada saatnya dan seribu satu kebersamaan yang lainnya. Tidak mungkin terhasil sesuatu yang hebat tanpa ada ‘chemistry’ yang baik antara suami dan isteri atau lelaki dan perempuan.
Wanita di banyak ketika kita lihat seolah kelompok yang perlu dibantu sedangkan
sebenarnya mereka penuh dengan kreativiti dan kesungguhan serta daya juang dan usaha yang bermacam-macam dan seolah pula meninggalkan para lelaki. Walaupun itu bukan yang mereka mahu namun itulah yang berlaku. Di satu sisi, kita akan terus berperanan menurut peranan masing-masing dan yang penting adalah matlamat mencari keredhaan Allah. Mengapa sering kita lihat genre sedih selalu bergandingan dengan wanita? Ini satu persepsi yang perlu kita putarkan kerana akan hanya melemahkan minda untuk berperanan. Putaran itu tidak sesekali untuk menidakkan penjagaan aurat seperti diperintahkan Allah, tidak juga berkisar kepada soal hak yang kononnya mahu sama rata sedangkan martabat wanita itu lebih mulia daripada hak-hak yang dituntut dan bermacam-macam lagi atas nama hak kemanusiaan, tidak sesekali.
Hari ini paparan kesedihan dan penderitaan wanita seolah melenyapkan peranan dan sumbangan agung mereka kepada ummah dan paparan kejayaan dan kegembiraan wanita pula diwarnai pula dengan suntikan jahiliyah yang menjauhkan kita dari syurga Allah. Menjadikan generasi muda keliru dan berpegang pada paksi yang salah. Tidakkah kita terpanggil untuk membetulkan persepsi ini. Di ketika lainnya, masyarakat tercari-cari, bagaimanakah sebenarnya penampilan wanita muslim sebenarnya?, bagaimanakah akhlak mereka?, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan? Dan seribu satu persoalan lainnya. Lantas, apa jawapannya?
Melihatlah dari sisi sunnah, perbaikilah diri dan keluarga, usahakan qudwah kepada masyarakat, perkasakan informasi, berperanan selayaknya di apa peringkat walau di mana jua. Sesungguhnya seruan itu sentiasa lebih mudah daripada praktik, namun seruan itu perlu dimulakan, tanpanya sesiapapun tidak akan menyahut apa lagi untuk bergerak. Mewarnai peranan wanita memerlukan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pelbagai aspek iaitu kekeluargaan, masyarakat, Negara dan Ummah seluruhnya. Besarnya peranan mereka dan kesilapan kita jika memandang sepi sumbangan wanita. Kelembutan dan keampuhan mereka bukanlah ruang untuk menggandingkan mereka dengan kesedihan. Terlukanya mereka adalah kerana suasana sekeliling yang tidak tahu menghargai watak dan peranan mereka atau tersilap perhitungan dalam memimpin hati serta minda mereka.
Andai mereka teguh seperti Khadijah a.s. dan isteri-isteri Rasulullah yang lainnya, bijak umpama Fatimah a.s., unggul laksana Sumayyah dan ramai lagi serikandi Islam yang terpahat di dalam sejarah, namun jika kita yang tidak begitu tampil seperti yang diajar Rasulullah dan sahabat-sahabat yang lainnya serta laksana figura seterusnya seperti dalam lipatan sejarah, maka apakah yang mampu dilakukan mereka. Langkah
mereka sesungguhnya menuruti langkah kita.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment