HALUAN Malaysia Dan Pusat Hemodialisis Nur'Ain Memeterai Usahasama.

No comments

Rawang 19 Februari 2012 – Pusat Hemodialisis Nur’Ain yang terletak di Pusat Perindustrian Taman Pelangi menyaksikan satu Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara HALUAN Malaysia dengan Nephron Resources sebuah syarikat pengendali perkhidmatan hemodialisis. HALUAN Malaysia melalui Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) merupakan unit yang dipertanggungjawabkan bagi menjayakan usahasama ini.

Majlis bersejarah ini telah dihadiri sendiri oleh Presiden HALUAN Malaysia Dr Abdullah Sudin Bin Abdul Rahman yang diiringi Naib beliau iaitu Prof Dr Azizan Bin Ahmad serta barisan exco yang lainnya. Turut hadir adalah para pesakit yang sememangnya menggunakan perkhidmatan dialisis di pusat tersebut. Anak-anak daripada Sekolah Tahfiz persendirian seramai kira-kira 40 orang turut memeriahkan majlis berserta masyarakat setempat dan qariah masjid Nurul Iman.


Dalam ucapan aluan, Dr Abdullah banyak mengingatkan betapa pentingnya kerjasama dan bertolong bantu dalam perkara-perkara kebaikan sebagaimana firman Allah Al Maidah ayat 2 “…dan bertolong bantulah kalian dalam perkara kebaikan dan takwa dan janganlah bertolong bantu dalam dalam perbuatan dosa dan permusuhan….”. Beliau juga turut menyentuh dilema umat Islam hari ini daripada sudut politik, ekonomi, keruntuhan sosial, kekeliruan intelektual dan pengurusan yang tidak cekap rata-rata meninggalkan kesan yang amat besar kepada umat Islam hari ini. Sambil menyifatkan tiada pilihan lain selain kembali kepada proses pendidikan yang ditunjukkan Rasulullah yang bersumberkan AL Quran yang akan membentuk keimanan, akhlak dan akhirnya mampu berbakti kepada masyarakat.


Sambil bersyukur kepada Allah kerana diberi kekuatan untuk meneruskan usaha murni mengurus Pusat Hemodialisis, Pengurus Pusat Hemodialisis Nur’Ain, En Jamal Abdul Nasir Bin Jamaludin turut berkongsi bicara tentang hidup. Menurut beliau, hidup ibarat pencarian, mencari kebenaran dan beliau temui semua itu dengan khidmat yang sedang diusahakan ini.

Terdahulu, Prof Dr Zambrin Bin Dimon yang mewakili Pengerusi KKH iaitu Dr Wan Muhaizan mengucapkan ribuan terima kasih atas usahasama yang murni ini dan menjadi prinsip HALUAN Malaysia untuk bersama-sama berbakti kepada masyarakat melalui pelbagai bidang kepakaran yang terdapat di kalangan anggotanya.


Usahasama ini telah disempurnakan secara rasmi oleh Presiden HALUAN Malaysia menyaksikan kerjasama KKH dan Nephron Resources memeterai kesepakatan dalam mengendalikan Pusat Hemodialisis Nur’Ain.

No comments :

Post a Comment