Showing posts with label KARYA. Show all posts
Showing posts with label KARYA. Show all posts

.... Melankolia.......dalam erti kehidupan......


Di dalam kehidupan kita sebagai ciptaan Rabbul Jalil yang bernama manusia, tertulis pelbagai peranan dan perihal tanggungjawaban yang nantinya bakal dipersoalkan. Adakah ianya bernama kesejahteraan ataupun ianya dicalari titik hitam yang mencabar kemurnian. Semuanya mempunyai pegangan atau tumpuan yang tersendiri. Manusia manapun akan bahagia bilamana angin fitrah mengusapi dirinya. Cabaran terbesar ketika ini mungkin berkisar tentang kegagalan mengenali fitrah dan kekeliruan dalam kembali menelusuri jalan atau laluan yang sebenar-benarnya. Ada yang bertegas akulah yang benar. Ada juga yang mendakwa kamilah yang paling jelas tatakerjanya. Ada juga yang memberi makna tidak benar apa yang kamu usahakan, semuanya sia-sia. Tidak kurang juga yang menyangka kita harus mengikuti bangsa yang kaya, yang nampak mewah dan bergaya kerana dengan kekayaan banyak perkara boleh kita lakukan.

Benarkah begitu ? Kesejahteraan bagi muslim adalah apabila di hujung kehidupannya, ia berakhir dengan kesudahan yang baik. Inginkan kesudahan yang baik, apakah boleh kehidupan itu dipenuhi dengan kebatilan yang berlaku penuh sedar. Sekalipun dosa yang dilakukan itu tanpa sedar namun ilmu untuk membezakan antara dosa dan kebaikkan pasti dimiliki kebanyakkan manusia muslim yang waras. Itu perihal diri sendiri. Bagaimana dengan seruan mengajak manusia lain untuk sama-sama bersendi syariat dan bermatlamatkan kehidupan Islam persis yang ditunjukkan Rasulullah.

Sering bila sisi kehidupan yang ingin dibicara, kita akan terhenti lantas menyangka pekerjaan yang memberi kita sumber kewangan adalah terpenting dan bersifat segalanya. Sehinggakan segala yang selain itu menjadi sesuatu yang terkesamping dan boleh ditinggalkan. Mungkin resam dunia kini memandang kesejahteraan hanya pada makna duniawi dan terhijab penuh langskap ukhrawi.

Sedang tumpuan kita seharusnya pada kelestarian dakwah dan tarbiah, keteguhan ukhuwah dan pemantapan iman. Selari dengan kesemuanya itu, maka akan terbangun tamaddun kehidupan yang bukanlah satu matlamat namun semuanya atas keimanan yang mantap, ukhuwah yang teguh serta dakwah dan tarbiah yang lestari. Jelas kehidupan ini bukanlah episod melankolia. Ianya adalah perjuangan yang sejahtera, indah dan penuh makna demi mencari keredhaan Allah. Kita lebih gusar andai episod melankolia itu hadir di alam yang kekal lagi abadi.

Mari kita berazam, pada kita perlu sentiasa ada kefahaman dan pemahaman Islam yang benar bersumberkan rujukan yang muktabar dan seiring dengan itu, perlu terbentuk peribadi-peribadi yang membawa dan mendukung kefahaman dan pemahaman itu. Hanya dengan kedua-dua jaringan inilah kesejahteraan kehidupan akan menjadi jelas dan tidak menginjak episod kehidupan yang melankolia.

Gerbang Itu... Bukan Sekadar Gerbang


Gerbang Itu
Bukan Sekadar Gerbang
Gerbang Sengsara Bagi Gaza
Gerbang Keliru Bumi Mesir
Gerbang Tawa Zionis Terkutuk

Gerbang Itu
Bukan Sekadar Gerbang
Dulu Gerbang Itu Menghalang Suapan Anak Gaza
Dulu Gerbang Itu Melakar Terowong Harapan
Dulu Gerbang Itu Tidak Kenal Belas Dan Tangis

Gerbang Itu
Bukan Sekadar Gerbang
Kini Gerbang Itu Terkuak Buta
Kini Gerbang Itu Memanggil Dua Warga Bersaudara
Kini Gerbang Itu Mencabar Zionis Yang Masih Terkutuk

Sementara Diizinkan Allah
Gerbang Itu Membatu Sebegitu
Mari Kita Segarkan Bumi Gaza
Kita Rawat Duka Bumi Gaza
Gunakan Laluan Itu Semahunya
Kerana Segalanya Rindu Pada Kedamaian Gerbang Kaku
Kerana Zionis Yang Masih Dan Terus Terkutuk Itu
Mahu Menenggelamkan Layaran Lautan

Entah Bila
Membatu Gerbang Itu Kekal Sebegitu
Selagi Mesir Waras Berkira
Bahawa Gaza Adalah Warga Sekata

Gerbang Itu
Bukan Sekadar Gerbang


Genting Highlands
28/05/2011


Kisah Kau Tersedar... (Part 7)


Saat itu pasti hadir
Bicara segalanya terhenti di situ
Seusai perjalanan insan
Menuju pasti destinasi ukhrawi

Terdetik hadir bertanya
Redhakah Allah akan diriku?
Bagaimana tempatku di sisi Tuhan?

Detik demi detik
Demi janji itu
Ku sunting langkah tarbawi
Penuhi genta hidup

Pada dakwah dan tarbiah itu
Kau sahabat kaulah teman
Bersama kita di tabir ukhuwwah
Sebelum bertamu di jendela barzakh

9 April 2011
Genting Highlands

Kisah Kau Tersedar... (Part 6)


Salam penuh kasih padamu isteri
Sudi menjadi teman hidupku
Sudi mengenggam jalinan hidup
Rela berkongsi tawa dan tangis

Setiap saat menanti tari
Pemujuk setia di kala resah
Pendengar setia setiap luahan
Penasihat segera di saban ketika
Bijakmu tiada terduga
Setiap nasihat kau kutip penuh minat

Hadirmu satu kurnia
Kasih Allah pada hambaNya
Di jalur ufuk rahmatMu
Penuh disulam ujian berceracak
Bak lelayang menghala tuju
Bukan mudah sebenarnya
Melayari hidup bernama isteri

Syukurku tidak terucap
Kaulah Isteri kaulah Teman

24/3/2011
Sg Buloh

Kisah Kau Tersedar... (Part 3: Kiriman Pengunjung Blog)


Takdir yang menemukan lagi
Daerah silam bersulam kenangan
Memang ada kisah dan harapan
Antara dendam dan juga kekesalan...

Bisikan syaitan begitu memukau
Itulah perjanjian yang sering terlaksana...
Agar sentiasa melayari rentak sumbang tarinya...

Namun
Sesekali hati ini akan terperangkap
Kerana iman yang begitu rapuh dan alpa
Leka seketika kepada Maha Pencipta
Kerana kiri dan kanan sentiasa dihasuti oleh
Bisikan syaitani...

Dalam membelah likuan rasa
Di alam maya yang sementara ini
Kita perlu bersama
Untuk saling mengingati... saling menasihati
Agar keimanan berakar umbi di dalam hati
Sebagai pedoman menuju ke destinasi

Moga dalam ukhuwwah Islamiah ini
Bisa dibukakan pintu kerahmatan dan keredhaan
Agar bisa mengorbankan kejahilan
Dan menyemarakkan lagi keimanan dan ketakwaan

Yang pasti
Carilah redha Ilahi
Untuk nikmat syurga yang hakiki
Destinasi cinta menuju ilahi...

Nukilan :
Izzah Jazmina
Jerantut, Pahang
28 Februari 2011


(Puisi ini di email kepada editorial atas perkongsian rasa pengirim pasca sentuhan silam beliau apabila melayari nukilan 'Kisah Kau Tersedar... (Part 2) bertarikh 26 Februari 2011." Karya dilihat terpelihara dan memenuhi sisi penulisan rentak Islami. Editorial menghulurkan salam ukhuwwah dan mengalu-alukan nukilan rasa seumpamanya untuk dikongsi bersama.)

Editorial:
khz000@yahoo.com

Kisah Kau Tersedar... (Part 2)


Semalam kita bertemu lagi
Daerah silam berseni kenangan
Di sana ada kisah
Kisah kita tersedar dan bangkit mengejar
Antara alpa dan suluhan Rabbani
Jambangan takdirMu pasrah berdiri
Sujudku mengharap suluhan cahayaMu
Di situ tertulis tirai kerahmatan
Ada rahsia di sebalik rahsia
Umpama mimpi di dalam mimpi

Di denai tarbiah ini
Bisikan syaitani laksana kicauan memukau
Namun genggaman ukhuwwah itu teman
Menyambar erat terbang ke landasan pasti
Kita dakap madrasah Rasulullah
Di situ terhampar seni gerak tari
Langsung daripada Allah maha pencipta
Panjang dan berliku
Di kiri kanannya ribuan hasutan setia menanti

Tetapkan hatimu teman
Rentak perjuangan baru bermula
Layar bahtera baru berkibar
Lautan hati dan minda setia menanti alunanmu
Akan tiba saatnya kita saling memerlukan
Katamu menyendiri membawa risalah
Bukanlah itu seruan ajaran Nabi
Kita perlu bersama
Membelah likuan di alam nyata

Teman
Di sini bermula ziarah hati
Tautannya mencabar sistem tirani
Bisa mengorbankan kejahilan
Menyemarakkan resmi madani
Akan ku sambut hadir di sisi
Agar kita terus dalam pencarian
Redha Ilahi di tiap saat dan waktu

Itulah harga syurga abadi
Destinasi cinta menuju Ilahi

26 Februari 2011
Genting Highlands

....prolog Bahtera Pembela

Duhai Pembela
Di sudut hati itu bergemerlapan
Rasa keimanan teguh berakar
Melempar sangsi jauh ke dasar Mediterranean

Subuh itu tenang menanti serakah
Yang diawalnya diduga
Namun penantian tetap satu siksa
Belahan Mavi Marmara seakan mencabar
Gerombolan makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan
…………itu ancaman
Manusia tanpa senjata…….. itu juga ancaman
Menghantar segalanya buat mereka di Gaza …….itu satu ancaman
Untuk bumi Gaza dan Palestin menyegar………. Itu satu ancaman

Ancaman buat bangsa yahudi
Bangsa perampas bumi Palestin
Mereka rampas lantas menegas tanah itu milik mereka
Bagi mereka manusia lain selain mereka adalah binatang
Mereka lupa di sebalik jasad manusia mereka
Terjelma cenderung kebinatangan yang nyata
Tidak kenal tua atau muda, kecil atau remaja, lelaki atau pun perempuan
Bukankah hanya binatang yang tidak hadir erti kepada semua itu

Dinihari 31 Mei tahun kesepuluh millennium baru
Para pembela Mavi Marmara dibentak hasrat murni dunia
Oleh tangan tangan zionis yang buta peri manusia
Dirampas segala
Mahu dihukum sesuka mereka
Lalu ada yang syahid dibunuh peluru peluru zionis
Bagai tiada harga diperlaku nyawa para pembela

1619 jam 2 Jun tahun kesepuluh millennium baru
Masih ditunggu khabar para pembela
Andai ribuan berat metrik bekalan tidak tiba ke Gaza
Pasti……………. tiada juga kalian mahu pulang ke tanahair

Di ketika ini
Suara warga bumi keras membela kalian
Sabar dan bertahanlah semampu kalian
Syahid itu mulia dan dambaan kita semua
Jika itu tertulis buat kalian
Keberuntungan yang tiada tandingan
Andai kalian dikirim pulang
Jalan juang kita teruskan
Seribu liku jaluran kehidupan daie akan terus menanti

2015 jam 2 Jun tahun kesepuluh millennium baru
Suara kalian kedengaran di corong Awani
Yang lain juga nanti detik untuk kembali
Nah ! Itu tanda zionis akur desakan merata
Alangkah baiknya desakan bara yang haq ini diteruskan
Zionis angkuh itu ada rasa takut rupanya
Desak agar mereka angkat embargo di bumi palestin
Desak agar mereka kembalikan haq bumi palestin
Desak agar hilang taring palsu mereka
Desak agar mereka tahu saatnya telah tiba
yang mereka akan tunduk dalam rencana Tuhan

Bahtera pembela
Cetusan ini satu langkah tatihan
Kita bakal berlari di persada apa saja
Menagih amanah diberi Rasul
Mendidik kuntuman zuriat yang ada
Mencari pemuda memikul dustur
Menyiap siaga pemudi penggoncang bumi
Mengisi suasana bawaan Nabi
Mendamba redha kurnia Ilahi

Duhai semua
Hadirlah jatimu semua
Langkahan ini memula getaran
Getarnya datang dari seluruh sudut dunia
Kita sambut getaran itu berpaksi ukhuwwah
Yakinlah ………….. pembela Al Quds
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar


Nukilan
Khazman
HALUAN Unit Rawang
3/6/2010