.... Melankolia.......dalam erti kehidupan......

No comments

Di dalam kehidupan kita sebagai ciptaan Rabbul Jalil yang bernama manusia, tertulis pelbagai peranan dan perihal tanggungjawaban yang nantinya bakal dipersoalkan. Adakah ianya bernama kesejahteraan ataupun ianya dicalari titik hitam yang mencabar kemurnian. Semuanya mempunyai pegangan atau tumpuan yang tersendiri. Manusia manapun akan bahagia bilamana angin fitrah mengusapi dirinya. Cabaran terbesar ketika ini mungkin berkisar tentang kegagalan mengenali fitrah dan kekeliruan dalam kembali menelusuri jalan atau laluan yang sebenar-benarnya. Ada yang bertegas akulah yang benar. Ada juga yang mendakwa kamilah yang paling jelas tatakerjanya. Ada juga yang memberi makna tidak benar apa yang kamu usahakan, semuanya sia-sia. Tidak kurang juga yang menyangka kita harus mengikuti bangsa yang kaya, yang nampak mewah dan bergaya kerana dengan kekayaan banyak perkara boleh kita lakukan.

Benarkah begitu ? Kesejahteraan bagi muslim adalah apabila di hujung kehidupannya, ia berakhir dengan kesudahan yang baik. Inginkan kesudahan yang baik, apakah boleh kehidupan itu dipenuhi dengan kebatilan yang berlaku penuh sedar. Sekalipun dosa yang dilakukan itu tanpa sedar namun ilmu untuk membezakan antara dosa dan kebaikkan pasti dimiliki kebanyakkan manusia muslim yang waras. Itu perihal diri sendiri. Bagaimana dengan seruan mengajak manusia lain untuk sama-sama bersendi syariat dan bermatlamatkan kehidupan Islam persis yang ditunjukkan Rasulullah.

Sering bila sisi kehidupan yang ingin dibicara, kita akan terhenti lantas menyangka pekerjaan yang memberi kita sumber kewangan adalah terpenting dan bersifat segalanya. Sehinggakan segala yang selain itu menjadi sesuatu yang terkesamping dan boleh ditinggalkan. Mungkin resam dunia kini memandang kesejahteraan hanya pada makna duniawi dan terhijab penuh langskap ukhrawi.

Sedang tumpuan kita seharusnya pada kelestarian dakwah dan tarbiah, keteguhan ukhuwah dan pemantapan iman. Selari dengan kesemuanya itu, maka akan terbangun tamaddun kehidupan yang bukanlah satu matlamat namun semuanya atas keimanan yang mantap, ukhuwah yang teguh serta dakwah dan tarbiah yang lestari. Jelas kehidupan ini bukanlah episod melankolia. Ianya adalah perjuangan yang sejahtera, indah dan penuh makna demi mencari keredhaan Allah. Kita lebih gusar andai episod melankolia itu hadir di alam yang kekal lagi abadi.

Mari kita berazam, pada kita perlu sentiasa ada kefahaman dan pemahaman Islam yang benar bersumberkan rujukan yang muktabar dan seiring dengan itu, perlu terbentuk peribadi-peribadi yang membawa dan mendukung kefahaman dan pemahaman itu. Hanya dengan kedua-dua jaringan inilah kesejahteraan kehidupan akan menjadi jelas dan tidak menginjak episod kehidupan yang melankolia.

No comments :

Post a Comment