Sinergi Kekuatan Memacu Perubahan.....satu destinasi

1 comment

Memang saban ketika hati ini disentuh tarbiah, tidak kiralah pada bicara, dalam program, lewat mukhalatah, di ketika makan, di sisi musafir, di talian telefon, sisipan sms malah apa sahaja; begitulah susunan yang ku lalui. Di dalamnya, pada setiap tahun hampir pasti akan ku hadiri Mesyuarat Agung Perwakilan HALUAN Malaysia, tentunya sebagai pemerhati, tidak layak menjadi perwakilan. Tahun 2012 kali ini, ianya dilangsungkan di Kolej Teknologi Darul Naim, Pengkalan Chepa, Kelantan Darul Naim. Tema kali ini adalah “Sinergi Kekuatan Memacu Perubahan”.


HALUAN yang ku kenali pada hari ini begitu matang dalam serba serbi perkara terutama pada struktur organisasinya. Pelbagai fungsi atau biro telah ada dan berperanan. Setiap biro menumpahkan seluruh kreativiti dan tenaga dalam melaksanakan peranan yang diamanahkan. Paling manis di dalam kesibukan ini adalah kesungguhan menjaga akhlak, dakwah dan tarbiah. Setiap anggota HALUAN yang ku kenali, amat kehadapan dalam aspek akhlak, dakwah dan tarbiah. Ini menjadikan mereka senang didekati. Dalam berkerja dan berkomunikasi, tidak pernah ku dengari arahan laksana guruh di langit atau ‘speaker’ pecah yang mencarik akhlak. Indah berkerja dengan mereka yang menjaga akhlak.

Kembali pada tema tahun ini, itu satu seruan yang begitu relevan. Perubahan kepada yang lebih baik itu sentiasa dituntut. Perkembangan di kiri dan kanan dalam kehidupan menuntut perubahan demi perubahan. Namun begitu, perubahan itu mestilah tidak mengorbankan akhlak, dakwah dan tarbiah. Andai sebuah organisasi Islam itu amat terkehadapan daripada aspek ketegasan kerja (result oriented) yang keterlaluan, keriuhan menjadi sandaran ukuran kejayaan, mendabik dada tanda tiada lain yang benar atau apa sahaja kejelekan organisasi yang mengorbankan akhlak, dakwah dan tarbiah, maka di ketika itu, wajiblah pakat-pakat melihat apakah yang keciciran sewaktu melaksanakan kerja-kerja Islam dalam kehidupan.


Kekuatan itu sentiasa ada, pasti kekuatan yang disinergikan akan lebih berpotensi melakukan perubahan. Perjalanan ke bumi Kelantan sentiasa mencipta pengalaman. Selain jarak yang sayup mata memandang,perjalanan darat merentas banjaran Titiwangsa langsung menambah keterujaan seiring tema muktamar kali ini.

Misi utama bagi syabab di Rawang tiada lain melainkan ‘live streaming’ bagi Mesyuarat Perwakilan Tahunan . Kali ini, kami dibantu pakar audio tersohor, Sifu Zaini…..calon terbaik mengisi sebahagian amanah di Produksi Penyiaran. Kepada Sdra Hasan, Sdra Zakiran dan Sdra Afiq yang merupakan krew utama streaming kali ini,tidak lupa kepada Sdra Mus'ab yang sentiasa menyediakan 'back up', diucapkan syabas, tidak lupa Sdra Fahmi yang bertungkus lumus membuat suntingan video, biar pun tidak tersiar…..jangan bimbang, kita perbaiki hasil kerja itu…..yang penting anda bermula.


Pembentangan perbahasan ucapan dasar rata-rata seiring dengan hala tuju muktamar. Jelas sekali seandainya seratus peratus komponen gerakerja di dalam HALUAN ini disinergikan, terlalu banyak manfaat yang bakal terhasil. Bukan sahaja kebaikan itu dirasai oleh anggota malah akan melata ke pangkuan masyarakat. Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan dan jelas bermatlamatkan kepada Allah SWT, anggotanya tidak mampu meninggalkan penekanan akhlak, usaha-usaha dakwah dan pengukuhan tarbiah. Perjumpaan tahunan ini amat dinanti-nantikan, banyak pandangan dapat diselaraskan, seribu persefahaman mampu ditanam dan sejuta tautan ukhuwah merantai hati.

Sahabat 1 : Jom plan Family Day HALUAN

Sahabat 2 : Dah, jangan pandai-pandai……aktiviti yang ada pun tak terlarat nak dibawa……

Sahabat 1 : owh ….ok

Apapun, setiap kali Mesyuarat Perwakilan HALUAN, banyak kenangan manis mercup di sana sini, yang dah lama tidak bertemu….bertemu semula. JazakAllah Khairan Kathir buat Ustaz Mahamad Senik atas kemudahan yang diberi sewaktu di sana. Kali ini bertandang ke rumah beliau bersama isteri dan anak bongsu…..rasa seperti 20 tahun yang lalu….pandangan dan nasihatnya tetap terpahat dan akan terus tersemat. Semangat yang menjurus kepada sinergi kekuatan dan dahagakan perubahan.

1 comment :

  1. Keep it up bro. May Allah assist all of You always. And may He leads you to jannah the easy way..InsyAllah...

    WASH

    ReplyDelete