Jatidiri & Kesukarelawanan Remaja 2010 Zon Tengah di ILIM Bangi


26 Disember 2010 – Bangi. Kursus Jatidiri Dan Kesukarelawanan Remaja 2010 (JDK) bagi Zon Tengah telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Othman Bin Mustapha, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM. Kursus Jatidiri bagi zon tengah ini akan berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) selama 22 hari iaitu dari 25 Disember 2010 hingga 15 Januari 2011. Serentak dengan perjalanan di ILIM Bangi ini, juga berlangsung modul latihan serta kursus yang sama di dua lagi tempat yang berasingan iaitu ILIM Besut Terengganu dan Batu Ampar Resort Kuala Kangsar Perak.


Kursus anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), HALUAN Malaysia dan Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) telah melalui tahun kedua perlaksanaan. JDK memberi peluang kepada para pelajar yang tidak berpeluang atau terpilih untuk menyertai PLKN merasai satu proses pembentukan modal insan yang tersusun kepada remaja yang diselenggara HALUAN. Terdapat tujuh modul yang bakal dilalui para remaja termasuklah khidmat masyarakat bersama-sama penduduk Kampung Abu Bakar Baginda.


Di dalam ucapan perasmian, Yang Berbahagia Tuan Hj Othman Bin Mustapha telah menyentuh kemelut permasalahan ummah hari ini serta impak kepada remaja khususnya telah menjadikan golongan muda begitu lemah dalam soal ketahanan dalaman diri. Hasilnya berlakulah kebejatan jatidiri serta konflik identiti yang kronik kepada remaja. Beliau amat terharu apabila ada Organisasi Bukan Kerajaan seperti HALUAN tampil membantu dalam usaha membentuk keperibadian serta jatidiri remaja Islam di Malaysia. Hampir sepi malah tiada sumber sokongan seumpana yang diberi HALUAN kepada isu yang sebenarnya menjadi tanggungjawab bersama ini. Beliau menambah, seandainya ada sebarang program yang dirancang untuk kepentingan ummah di Malaysia yang dianjur HALUAN maka JAKIM tiada masalah untuk bekerjasama dalam apa jua aspek. Dengan harapan agar lebih banyak usaha dan penganjuran seumpama ini dilakukan, beliau yakin bahawa HALUAN mampu berperanan dalam banyak dimensi demi kemajuan ummah seluruhnya.



Dengan disusuli gimik perasmian yang memaparkan konflik pembelajaran remaja barat yang kini menjadi sebahagian daripada ikutan remaja di Malaysia, klip AMAR – adik kecil yang di dalam peribadinya penuh dengan imaginasi jangkauannya sebagai insan yang hatinya putih bersih dan sajak – Wahai Pemuda & Pemudi, kursus selama 22 hari itu dibuka dengan rasminya.

Terdahulu, bacaan ayat-ayat suci Al Quran surah Al Luqman ayat 12 – 19 telah diperdengarkan oleh adik Mohammad Bin Ahmad Zahid Al Hafiz. Sebelum itu, para peserta telah menyanyikan lagu Negaraku dan lagu tema JDK iaitu Bingkai Kehidupan diikuti bacaan ikrar Jatidiri oleh kesemua peserta. Penghulu Kampung Abu Bakar Baginda turut hadir di perasmian JDK Zon Tengah 2010. Manakala HALUAN diwakili oleh Yang Dipertua HALUAN Selangor merangkap Pengerusi JDK 2010 Zon Tengah iaitu Ir A Aziz Mat Ali, bersama-sama dipentas perasmian.


Mari kita tanamkan di jiwa anak-anak remaja jatidiri yang mantap agar laluan kehidupan dan perjuangan mereka terpelihara dan jelas di setiap detik. Kursus berstatus nasional ini mudah-mudahan memberi nilai tambah yang menjadi bekalan kepada para peserta. Seluruh warga kerja dan tenaga pembimbing mengucapkan selamat berkursus dan membentuk jatidiri yang kelak diredhai Allah.