Manhaj, Tanzim.....dan Aku

No comments

Aku bersyukur kerana diizinkan Allah mengenali Islam melalui ‘manhaj’, jalan atau kaedah yang jelas. Terasa seperti di selamatkan dari tebing kegelapan kepada cahaya yang indah. Namun rasa ini hanya bermakna kepada yang merasainya atau dengan kata lain kepada yang dipilih Allah. Aku penuh yakin, keberadaan aku bersama sahabat dan sahibah malah teman-teman yang mendukung manhaj yang sama, juga menjadi sebahagian daripada mata rantai yang menyambung apa yang Rasulullah lakukan. Aku juga yakin, seandainya ‘manhaj’, jalan atau kaedah yang jelas ini berulang kali diyakini dan diiktiraf oleh ulama’ yang muktabar bermakna aku bersama Allah dan Rasul dalam garapan kehidupan. Bagaimana dengan ‘tanzim’ atau organisasi ? InsyaAllah, aku penuh yakin walau bagaimanapun ianya dicerna, hanya yang jelas ‘manhaj’nya, jalannya atau kaedahnya akan terpelihara kesinambungan di jaluran waktu. Hampir lebih 20 tahun bersama, aku melihat abang-abang dan kakak-kakak malah pak cik dan mak cik yang lebih dahulu melalui ‘manhaj’ ini. Mehnah di sana sini itu biasa namun daripada awal sehingga hari ini merekalah yang aku kenali tanpa jemu bersama. Di watanku ini, yang mengakui mengambil ‘manhaj’ seperti yang ku lalui ini, ada lebih daripada satu. Sering juga tertanya mengapa tidak bersama sahaja, namun ku sedari semuanya itu terselindung hikmah yang berjuta. Tentunya di dalam setiap kumpulan akan ada kepimpinan yang mengendali halatuju dan aku penuh yakin dengan abang-abang, kakak-kakak, pak cik dan mak cik. Apa sahaja yang kalian gariskan akan ku turuti. Ah, itukan resam biasa dalam berkumpulan, mana ada ekstrim……orang yang hidup sendirian tetapi mengaku mesra dengan masyarakat sahaja yang iri hati dengan mereka yang mempunyai teman-teman sehaluan dan selalu saling menjaga antara satu sama lain. Berbalik perihal bersatu kepada mereka yang mendukung manhaj yang sama……mmmm…..aku yakin dan tahu, usaha itu sedang berlaku dan yang bakal tinggal nanti adalah mereka yang benar ikhlas dan dipilih Allah. Biarkan semua yang diamanahkan mencari titik persamaan itu menjalankan amanah masing-masing. Hakikat sebenarnya kita memang telah bersatu dalam manhaj yang sama, namun kita mahu lebih daripada itu. Bermula di ketika manapun, kerja mesti kita teruskan, perancangan menanti untuk kita laksanakan, tugasan terlalu banyak untuk disempurnakan dan masa itu tetap 24 jam. Di lingkaran waktu itu jugalah usaha berterusan memperbaiki diri dan menyeru insan lain kepada kefahaman Islam yang benar mesti aku laksanakan. Detik demi detik, rasa demi rasa, semoga dipelihara Allah segala hidayah dan diperkuatkan keazaman dan ukhuwah dalam perjalanan manhaj, tanzim…….dan aku.

No comments :

Post a Comment