....Apakah Yang Terjamin Buat Kita ?

No comments

Syurga itu adalah idaman setiap orang. Sesekali meniti sirah tentu kita pernah tahu adanya para sahabat yang memperoleh jaminan syurga. Tidak cukup sekadar mengaku sebagai Muslim malah turut menuntut ketaatan dan pengorbanan. Siapakah mereka ?

1. ABU BAKAR AS SIDDIQ

Khalifah pertama setelah nabi wafat. Merupakan sahabat yang paling dekat dengan nabi dan merupakan sahabat pertama memeluk Islam. Sahabat yang pertama membenarkan peristiwa Isra’ Mi’raj dan digelar Rasul as Siddiq. Wafat pada usia 63 tahun di tahun ke 13 Hijrah. Dimakamkan bersebelahan dengan makam Rasulullah.

2. UMAR BIN KHATTAB

Merupakan khalifah yang kedua. Memeluk Islam setelah mendengar surah Thoha yang dibaca saudara perempuannya. Sangat tegas dalam membela agama Allah. Pemimpin yang sederhana dan prihatin kepada rakyat. Wafat dibunuh oleh Abu Lukluk di tahun ke 23 Hijrah. Dimakamkan berdekatan dengan Abu Bakar dan Rasulullah.

3. UTHMAN BIN AFFAN

Khalifah Islam yang ketiga ini di waktu kepimpinannya berhasil mengumpulkan wahyu dan menyusunnya dalam bentuk mushaf al-Quran. Seorang saudagar yang kaya dan dermawan dan selalu menafkahkan harta ke jalan Allah. Wafat pada tahun ke 35 Hijrah.

4. ALI BIN ABI TALIB

Suami kepada Fatimah ini merupakan orang yang pertama masuk Islam dari golongan anak-anak. Terkenal sebagai seorang yang berani, strategis dan cerdas. Dalam peristiwa Hijrah, Ali tidur di atas tempat tidur nabi sehingga tentera Quraisy yang mengepung rumah nabi menyangka nabi masih berada dalam rumah. Wafat pada tahun 40 Hijrah ditikam oleh Abdurrahman Bin Muljam setelah solat Subuh pada usia 63 tahun. Dimakamkan di Kufah, Iraq.

5. THALHAH BIN ABDULLAH

Berasal dari suku Quraisy. Dikenali sebagai salah seorang penasihat Rasulullah. Ketika di medan Uhud, beliau menjadikan dirinya perisai melindungi Rasulullah dan mengalihkan panah yang menghala kea rah nabi dengan tangannya semua jari-jarinya putus. Wafat pada tahun 36 Hijrah syahid di waktu perang Jamal.

6. ZUBAIR BIN AWWAM

Dia antara golongan yang pertama masuk Islam di usia 15 tahun. Tidak pernah tertinggal dalam pelbagai pertempuran dan selalu berada di barisan hadapan. Ia sangat dicintai Rasulullah. Wafat akibat ditikam ketika menghadap Allah di tahun 36 Hijrah.

7. SA’AD BIN ABI WAQQAS

Memeluk Islam di usia 17 tahun. Sangat mahir menunggang kuda dan memanah. Hampir semua peperangan diikutinya. Pernah diancam oleh ibunya untuk mogok makan dan minum selagi tidak meninggalkan Islam, namun tidak dipedulikan olehnya dan tidak dijual keyakinan pada Islam dengan ugutan itu. Di zaman khalifah Umar, pernah diangkat menjadi gabenor tentera di Iraq. Wafat pada usia 70 tahun.

8. SAID BIN ZAID

Memeluk Islam ketika berumur 20 tahun bersama-sama isterinya iaitu Fathimah binti Al Khattab, adik perempuan Umar Al Khattab. Mencurahkan segenap kudrat untuk Islam. Turut bersama Rasulullah di dalam setiap peperangan. Pernah diperintah Rasulullah menjadi perisik kepada aktiviti musuh. Wafat sewaktu berumur 70 tahun di tahun 51 Hijrah.

9. ABDURRAHMAN BIN AUF

Di antara 7 orang terawal masuk Islam. Dia antara sahabat yang mempunyai harta yang melimpah. Seluruh hartanya itu diperolehi daripada perniagaan. Selalu menafkahkan hartanya ke jalan Allah. Seluruh kekayaannya dikeluarkan demi menegakkan Islam. Wafat pada umur 72 tahun di tahun 32 Hijrah.

10. ABU UBAIDAH BIN JARRAH.

Seorang yang amanah dan jujur dalam perilaku. Memeluk Islam melalui perantaraan Abu Bakar As Siddiq di awal kerasulan Rasulullah. Juga beberapa kali memimpin peperangan. Wafat pada tahun 18 Hijrah.

Perlu kita akui, pengorbanan para sahabat yang memperoleh jaminan ini mesti kita ambil iktibar lantas menjadi kayu ukur kepada diri sendiri. Cukupkah sekadar apa yang kita lakukan hari ini bagi balasan syurga yang memang kita idamkan. Dengan apa yang kita lakukan untuk Islam hari ini, apakah yang terjamin buat kita ?

No comments :

Post a Comment