Bahtera keluarga....hujungnya ada ombak rindu yang membadai lembut....

No comments

Kehidupan berkeluarga itu perlu dimulakan. Permulaan yang baik akan memudahkan perjalanan seterusnya. Merisik, bertunang dan pernikahan adalah siri kebiasaan kearah kehidupan itu. Asal sahaja majlis itu bersendikan syarak, tidak pula meniru amalan menurut kepercayaan agama selain Islam, tersulam bibit ukhuwah yang baik, maka terselamatlah segalanya dan justeru mampu mengharapkan keberkatan yang sentiasa dihajati. Bermula daripada merisik hinggalah selesai majlis, pasti banyak tekanan yang dihadapi oleh keluarga yang ingin menjemput tetamu.

Diketika kehendak sebenar segalanya akan selesai dengan aqad, kita terlalu banyak mempersoalkan aspek budaya dan adat yang di suatu sudut hanyalah berbentuk harus. Memang berat tatkala tercari-cari bagaimanakah yang telah Rasul tunjukkan khusus untuk masyarakat melayu. Soal adat dan budaya mesti disempadankan dengan kehendak syarak. Dahulukan syarak atau pandukan amali adat dan budaya dengan kehendak syarak. Terkadang, kehendak adat dan budaya ini bersifat psikologi sedangkan keutamaan hanyalah segenggam aqad sebagai pengakuan yang mengangkat batasan perhubungan lelaki dan wanita yang bukan muhrim dan bermulalah peran tangis kem syaitani.

Pengertian mudah yang lainnya adalah menzahirkan aqad dan bersedialah untuk melayari kehidupan sebagai suami dan isteri. Perjalanan sesudah aqad itu adalah satu bentuk kehidupan yang menuntut sejuta kewarasan dan segunung kekentalan. Usah berjanji, layari sahaja kehidupan itu dan jangan tinggalkan tarbiah malah pertingkatkan usaha menyampaikan wa’yun Islami kerana kehidupan yang diwarnai suasana yang solehah akan memudahkan komunikasi untuk mencari redha Allah. Bersedialah dengan gelombang sebagai adat berlayar dan yakinlah di hujung gelombang nanti akan ada ombak rindu yang membadai lembut.

Ujian itu pasti ada bagi menzahirkan kesetiaan dan keikhlasan dalam mengharungi kehidupan sebagai insan yang mengaku beriman. Antara suami dan isteri akan ada banyak perbezaan maka neutralkan perbezaan itu dengan kasih dan sayang yang telah halal itu. Dalam perbezaan itu terkandung sejuta rahmat Ilahi. Sentiasa ingat matlamat mencari keredhaan Allah dan mengharap ganjaran syurga.

Sungguh segalanya ini bersifat misteri namun di situlah rindu, kasih dan sayang yang bersifat halal perlu ditimba. Perlu juga ingat kerana kita tidak lagi berseorangan dalam melayari bahtera kehidupan. Banyakkan tolak ansur dalam mencipta tari kehidupan kerana diketika itu kita tidak lagi bersendirian, kita ada teman yang bersedia memberi sokongan atas apa saja yang kita lakukan untuk dakwah dan tarbiah yang sama-sama diyakini.

No comments :

Post a Comment