Mari Bina Kerajaan Hati..........

No comments

Tarbiah atau pendidikan adalah fitrah dambaan hati. Hati yang dididik akan sentiasa awas dalam kehidupan. Hati yang terdidik sering tidak menghampakan dalam serba serbi tindakan. Hati yang mendidik hati-hati lain akan lestari dalam hubungan sesama manusia dan andai didikan itu adalah seperti yang ditunjukkan Rasulullah dan disyariatkan Allah maka bertambah mekarlah kecintaan kepada Allah Rabbul Jalil. Ringkasnya, hati itu terlalu berperanan dalam mencorak karektor insani.

Berjaya menawan hati-hati manusia akan lebih mempunyai impak yang besar berbanding undian yang diperolehi di dalam pilihanraya. Realitinya mungkin undi itu dilihat sebagai laluan yang membolehkan sebuah kerajaan terbentuk di dalam amalan demokrasi. Namun kita begitu sedar bahawa bukan amalan demokrasi itu satu-satunya cara untuk sesebuah kerajaan terbentuk. Andaikata sebuah kerajaan telah terbentuk tetapi hati-hati rakyatnya melihat kebejatan yang diamalkan maka diketika itu tertolaklah pada asasnya kerajaan tersebut dan berjalanlah kerajaan tersebut atas dasar teknikal dan perlembagaan yang seringkali menjadi perisai sesebuah kerajaan melalui sistem yang ada. Soalnya, apabila hati menolak tetapi tiada apa yang boleh dilakukan, maka kewarasan akal dan fikiran akan menjadi medan perkiraan. Begitulah tabiat hati apabila dikawal oleh sistem yang ada pada hari ini.

Seorang murabbi mampu menjadi pendidik, namun tidak semua pendidik itu adalah murabbi. Menebarkan jaringan Islami menuntut kerendahan hati, tinggi pekerti, akhlak yang cemerlang, teladan yang mantap, semangat yang ibarat air yang mengalir – tetap mengalir meski diempang dari sudut mana sekalipun -, dikelilingi rakan yang lestari mata fikir dan iman yang mantap. Mereka ini mampu menakluk hati dan membina kerajaan hati.

No comments :

Post a Comment