Di sini bermula...... agar Allah permudahkan
Sering kita menerima, dengar, malah terbaca berita daripada pelbagai sumber. Selalu juga kita menggeleng kepala tanda penuh gusar, kadang-kadang sedih, mungkin juga marah, tidak kurang juga gembira dan menyenangkan. Peristiwa, berita dan pemberitaan adalah kata am dan kerja yang terlalu bersangkutan. Perlu dan memerlukan. Penampilan dan penyampaiannya pasti menyuntik pengaruh. Boleh berperanan membina tamadun malah berupaya juga meruntuhkannya. Apa saja yang berlaku walau di pelusuk manapun di dunia ini ada sisi terang dan gelapnya. Santunnya kita disajikan berita beruang kutub diketika Zionist merempuh saudara seIslam di bumi Palestin, khabar sotong dan bolasepak yang kononnya penuh prestij diwaktu Mavi Marmara dihujani serangan Zionist, hamparan dunia hiburan yang penuh leka seiring kemusnahan akhlak muda mudi dan ribuan lagi rangkaian berita yang telah disajikan.
Kita kagum dengan kemampuan pemberitaan massa, persembahannya, kecekapan aliran
berita yang mereka laporkan, sokongan medium media yang pelbagai menjadikan penyampaian itu begitu terkesan kepada sesiapa sahaja. Petugas-petugas agensi berita manapun selayaknya kita berterima kasih, mencontohi dan belajar tentang kemampuan mereka. ‘Committed’ nya mereka sewajarnya membuahkan inspirasi kepada kita tentang peri pentingnya minda umat Islam hari ini disajikan dengan pemberitaan yang membina peradaban dan lebih fokus kepada pembentukan ummah keseluruhannya. Penghasilan berita atau sebarang hasil kerja media mampu merangsang sesiapa sahaja kerana keseluruhan masyarakat hari ini rata-ratanya senang dengan penyampaian audio dan video yang dipersembahkan secara digital hasil daripada transformasi teknologi yang hampir tidak mampu disaingi. Lalu di mana peranan kita?
“Dan Kami turunkan (Al Qur'an) itu dengan sebenar-benarnya dan Al Qur'an itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.” Al Isra’, 105.
Di dalam Al Quran, terdapat 104 tempat disebut perihal ‘berita’ membuktikan bahawa hebahan itu adalah satu tugas yang wajib kita pikul dan medium hebahan perlu kita kuasai. Tidak sekali-kali kita ketepikan dakwah secara langsung kerana itu adalah tugas hakiki yang sedia digalas. Menyediakan kekuatan media sudah menjadi sebahagian daripada keperluan, khususnya media rakaman dan dokumentasi serta pemberitaan semasa. Kekuatan yang relevan seraya amat diminati dan dihajati.
Banyak perkara yang perlu kita adakan dan ianya memerlukan titik permulaan dan diperkayakan sedikit demi sedikit. Di mana ada kemahuan, insyaAllah di situ ada jalan yang Allah sediakan. Tanamkan niat dan panjatkan doa setulusnya agar dipermudahkan. Buat sahaja, tidak perlu diperhebahkan. Namun itulah sifat media, terbuka tetapi mesti ada batas, menyampaikan bukan menyembunyikan, bertanggungjawab atas apa yang diberitakan, sentiasa mendidik dalam persembahan, sentiasa ada akhlak yang terjaga apabila menyampaikan, mengutamakan aspek ketaqwaan dalam kerja, menzahirkan fungsi tarbiyah dan dakwah dalam tugasan dan mencari redha Allah dalam setiap penghasilan. Media HALUAN Rawang adalah media kita di bahagian utara Selangor, mari kita manfaatkan.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment