.....sesekali kita perlu sedih, kecewa dan derita....

No comments

Rasa sedih dan kecewa adalah lumrah selagi bernama insan dan detiknya datang terkadang tanpa kita menduganya. Rasa itu cukup luar biasa sesuai dengan kekayaan Pencipta kepada rasa itu iaitu Allah yang satu. Luar biasanya fenomena sedih dan kecewa itu sebenarnya tersedia satu kekuatan kepada insan. Istimewa sungguh makhluk yang bernama insan ini hinggakan segala rasa yang dialami akan terselit didikan yang akhirnya menyenangkannya. Nyatanya, ramai di antara kita kurang sedar keadaan ini dan terus beranggapan langsung menerima keadaan itu sebagai sesuatu yang wajar diratapi. Namun kesedihan dan kekecewaan tetap dengan sifatnya yang pasti menghiris hati dan mengundang hadir kekuatan kesabaran yang ada. Menjadi renungan buat kita ialah bagaimana harus kita hadapi rasa sedih dan kecewa ini selayaknya.

Rasulullah yang diuji kedukaan apabila isteri yang tercinta Khadijah r.a. dan pak ciknya Abu Thalib pergi meninggalkan baginda selamanya dan berhadapan pula dengan penolakan keras penduduk Taif tatkala berdakwah menyampaikan Islam, baginda telah Allah hiburkan dengan diperjalankan dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Palestin) dan seterusnya naik ke Sidratul Muntaha langsung menerima kewajipan solat 5 waktu lengkap segalanya dalam satu malam. Pada perspektif dakwah, sekalipun berduka namun Rasulullah tetap berdakwah di bumi Taif dan apa yang dilalui Rasulullah sesungguhnya Allah hiburkan sesudahnya.

“Maha suci Allah yang telah menperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesunguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Q.S. Al-Israa’:1)

Nah, kedukaan – sedih dan kecewa ini perlu dirawat atau dihiburkan rupanya. Janganlah kita mengimpikan hiburan setara Rasulullah namun pengajaran daripada apa yang dilalui Rasulullah sudah cukup untuk kita mencari ruang yang syarak bagi menundukkan rasa sedih dan kecewa dan bersedia melaluinya dengan sentuhan tarbiyah. Kita sambut rasa kedukaan apabila ditinggalkan insan tersayang umpama dialami Rasulullah namun kita juga pasrah yang kekuatan kita terlalu jauh untuk menyamai Rasulullah. Masih juga kita perlu menghadapi saat itu dengan rasa yang diimbangi ketaqwaan yang jernih.

Sedih dan kecewa ini perlu kita uruskan sebaiknya. Ada diperlihatkan sekiranya sedih dan kecewa ini tidak diuruskan dengan baik, maka kemurungan yang melampau akan melanda, hilang dan tenggelam segala punca yang baik tatkala itu. Di ketika itu, usah bicara soal prestasi kerana kekalutan fikiran tidak betah menyambut lontaran itu. Usah ditanya perkara yang remeh kerana hanya akan mengundang gelodak hati. Berikan ruang dan hadirkan sokongan di sisi mana yang termampu. Keampuhan ukhuwwah benar-benar dihajati di kala ini. Orang yang sedih dan kecewa jangan dibiarkan berterusan dalam dimensi itu, kelak menjemput musuh yang nyata kemampuannya turut sama berlari dalam arus anatomi dan minda kita. Kesedihan dan kekecewaan yang dihadapi perlu di hilangkan dengan iitisal fardi tidak lain dan tidak bukan daripada sahabat-sahabat dan teman-teman yang pastinya ada fikrah serta dekat dan hampir hati-hatinya. Lalu di mana natijah baik atau indah daripada musibah atau ujian sedih dan kecewa itu?

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap. “
Al Insyirah , ayat 5-8


Sungguh kita akan hiba, rasa tertekan, dihimpit putus asa, melempar pandang yang tidak seperti selalu, menjauhkan diri, menyendiri dan pelbagai resam melayari resah namun setiap kesulitan telah Allah janjikan kemudahan. Cuma detik dan ketikanya sahaja yang kita tidak tahu. Mengharap kepada Allah adalah laluan kekuatan dalam banyak perkara, pengharapan yang penuh keberuntungan. Berharaplah penuh kepada Allah kerana segala yang berlaku adalah susunanNya. Kita tidak mahu sedih dan kecewa, itulah naluri semulajadi kita sebagai insan. Melihat dari sisi yang lain, sesekali …….kita perlu sedih atau derita untuk mengenali erti bahagia, sesekali juga…… kita perlu untuk kecewa untuk mengenali makna berjaya, malah sesekali juga…… kita perlu menangis untuk mensyukuri nikmat yang diberi, malah sesekali yang tertentu…….. kita perlu terhiris untuk kita mengenali diri sendiri. Sungguh maha kaya Allah dalam mencipta rasa dan segalanya.

No comments :

Post a Comment