Coklat atau 'Cup Cake' ?

No comments

Persefahaman adalah elemen penting dalam hubungan suami dan isteri, kerana dengan ikatan merekalah bermulanya perjalanan institusi keluarga pada dasarnya. Mereka jugalah yang mewarnai peribadi anak-anak. Mereka jugalah yang menjadi nadi di dalam masyarakat. Pincang hubungan masyarakat maka mereka juga ada sahamnya. Mengimbangi generasi sebelum mereka yang juga ibu dan ayah mereka dan atuk serta nenek kepada anak-anak mereka, juga adalah mereka. Menggali rezeki dan melayari kokpit keluarga, siapa lagi selain suami dan isteri atau isteri-isteri……… ada baiknya kita jamakkan maksud ‘entry’ kali kepada suami dan isteri sahaja, untuk kita lebih mesra.

Peranan suami dan isteri selalunya seiring, saling lengkap melengkapi, saling ada dan
meng’ada’kan, saling fikir dan memikirkan, saling tampung menampung apa saja keperluan di dunia ini. Tidak terhenti di situ, semua yang kita lakukan di dunia ini akan ada kesannya kepada kehidupan di akhirat nanti. Maka siapa lagi yang perlu bekerjasama dalam mensejahterakan hubungan duniawi dan ukhrawi ini selain suami dan isteri.


Pentingnya persefahaman mereka mampu merangsang pertumbuhan dan perkembangan anak-anak, psikologi anak-anak, kekuatan jiwa anak-anak, keperibadian anak-anak, cara tutur kata anak-anak lantaran gaya anak-anak berjalan dan terkadang wajah-wajah anak-anak, kesukaan anak-anak malah kesugulan anak-anak juga ada hubungkaitnya dengan suami dan isteri itu tadi. Tentunya suami dan isteri adalah manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan, suka dan duka, tawa dan tangis, pasang surut keimanan, hadir dan tidak kelas peningkatan iman dan pelbagai vis-à-vis. Bagaimana boleh persefahaman itu melahirkan begitu banyak kesan yang bermacam ragam ? Itulah kekuasaan Allah yang menjadikan segala sesuatu penuh teliti dan saling lengkap melengkapi .

“(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan-pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Asy-Syuura ayat 42.


Adakah salah andai suami memasak untuk memberi makan isteri dan anak-anak? Adakah terlampau jika suami itu membasuh baju, mengeringkannya di jemuran langsung melipatnya dan di simpan di dalam gerobok? Apakah pincang apabila suami melayan anak-anak, mendidik dan mengajar anak-anak? Di zaman moden ini, semua itu adalah kebiasaan sehinggakan isteri juga berperanan menambah ehwal kewangan keluarga dengan keizinan suaminya. Dilihat dari sudut manapun, lakukanlah apa sahaja kerana bertolong bantu di dalam keluarga adalah perilaku mulia dan bakal mencambahkan keserasian yang mengkagumkan. Bukan sesiapa mengambil peranan sesiapa yang perlu dipersoalkan, tetapi bagaimana tanggungjawab itu boleh dilaksanakan dengan jayanya di dalam sesebuah keluarga, itu yang terlebih penting. Jika ada persefahaman, tatkala melihat suami membasuh kain, si isteri akan bingkas memasak. Apabila hampir masuk waktu solat, si isteri tergesa mengumpulkan anak-anak untuk solat di rumah….. jangan pula si suami tidak pergi ke masjid. Si isteri bertungkus lumus menghidangkan makanan, si suami menggerakkan pasukan menyusun pinggan mangkuk dan mencucinya apabila selesai, sekalipun anak-anak yang melakukan, tetapi si suami ada bersama. Inginkan anak-anak tidur jam 10.30 malam, suami isteri perlu sepakat untuk sama-sama mengosongkan gerakerja lain. Si suami ada kelas pengajian mingguan, telah tersedia di minda isteri untuk menyelia rumahtangga sehingga si suami pulang. Ada program keluarga yang dianjurkan HALUAN atau masyarakat setempat, berlumbalah untuk bersiap menghadirinya bukan membina persefahaman untuk menjauh daripada masyarakat.


Jarang kita melukis garis sempadan dalam banyak perkara kerana suami dan isteri itu mempunyai ruang berbincang dan membuat keputusan yang begitu luas. Namun jauh di sudut hati, si isteri begitu mengharapkan si suami memahaminya, begitu juga si suami amat memerlukan si isteri memahami sisinya yang pelbagai. Jauh di pinggir minda, si suami itu mengharapkan agar si isteri menyokongnya dalam semua urusan yang ada kaitan dengan perjalanan kesejahteraan duniawi dan ukhrawi keluarganya kerana di pundak suamilah akan ditanya semua kepincangan. Di kejauhan masa, si isteri itu ingin selalu dihargai kerana kelembutan mereka sensitif dengan sentuhan sedemikian sekalipun dengan kata-kata terima kasih. Bajailah persefahaman dan keteguhan ikatan dengan memberi hadiah yang dipersembahkan cantik sekali pun isinya mungkin sekadar coklat atau ‘cup cake’. Siapa kata seorang suami tak boleh menerima coklat atau ‘cup cake’? Berilah hadiah kepada pasangan kita.

No comments :

Post a Comment