Sepetang ..........Di Iftar 11 Ramadhan 1431H.

No comments

21 Ogos 2010, Rawang. Sua rasa iftar Ramadhan tahun hijrah 1431 bagi keluarga HALUAN Rawang telah berlangsung di Sekolah Agama Menengah Rawang (SAMER). Pertemuan kali ini telah turut disertai oleh wakil keluarga HALUAN Sg Buloh dan Petaling Jaya dan tidak ketinggalan wakil Kelab Relawan HALUAN serta keluarga masing-masing. Kira-kira 60 orang hadirin telah diperdengarkan bacaan Al-Quran bermula ayat 1 – 6 daripada surah As Saf sebagai permulaan majlis oleh Saudara Mohamad Afiq.

Iftar kali ini sungguh bertuah kerana turut sama dihadiri oleh Tuan Hj Rosdi
Baharom, Pengurus Hal Ehwal Pelajar, Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) Kelantan. Sebelum beliau menyampaikan tazkirah, Pengerusi HALUAN Rawang telah turut meyampaikan rasa gembira atas kesudian Tuan Hj Rosdi untuk hadir bersama pada petang itu dan menyifatkan kehadiran tetamu istimewa ini ibarat sireh pulang ke gagang. Menekankan pentingnya ukhuwwah serta keutamaan madrasah Ramadhan, beliau amat mengalu-alukan kehadiran pada petang itu.


Mengimbas sejarah perkembangan serta permulaan bermulanya dakwah dan tarbiyah Islam yang diusahakan HALUAN di daerah Hulu Selangor umumnya dan Rawang khasnya, Tuan Hj Rosdi meletakkan bahawa syarat utama untuk bercita atau mengimpikan syurga Allah ialah dengan membina ketaqwaan. Tingkat ketaqwaan itu perlu boleh menyelamatkan dirinya daripada api neraka dan menghindarkannya setiap ketika. Boleh juga membawa keluar ahli keluarganya daripada sapaan neraka. Kegembiraan yang hadir dengan menjadikan orang lain gembira adalah sifat orang yang bertaqwa. Sensitif dengan dosa adalah sendi dasar yang menjadi pemisah kepada semua kemelut permasalahan masa kini. Tidak merasakan dosa itu adalah dosa yang kelak bakal memusnahkan satu peradaban sesungguhnya menjadi senario yang amat merugikan walau di ketika mana sekalipun. Di sepanjang sejarah, manusia itu Allah binasakan hanyalah disebabkan dosa. Beliau juga menyarankan bahawa ambillah madrasah Ramadhan ini sebagai peluang untuk meningkatkan ketaqwaan kerana peluang untuk beribadah di bulan Ramadhan ini terbuka begitu luas.


Selain itu, HALUAN Rawang telah melancarkan dua projek bagi para pemuda iaitu blog bagi HALUAN Rawang dan Media HALUAN Rawang. Pelancaran itu telah disempurnakan oleh Tuan Hj Rosdi Bin Baharom. Kedua-dua projek ini adalah untuk membuka peluang kepada sesiapa sahaja daripada pemuda HALUAN dan masyarakat untuk sama-sama menyebarkan input Islami serta menyediakan pentas bagi generasi muda untuk berganding dengan HALUAN dengan membangunkan medium tersebut.

Kesemua hadirin menikmati juadah ringkas berbuka puasa di surau SAMER dan kemudiannya
bersama-sama menyempurnakan solat Maghrib dengan diimamkan oleh Ustaz Mohd Noor Sukrie daripada Darul Quran. Selepas itu, kesemua hadirin dibawa menikmati makan malam yang disediakan di kantin SAMER dan iftar 1431 Hijrah ini bersurai kira-kira 8.30 malam dengan tekad untuk terus melalui madrasah Ramadhan dengan genggam keazaman mencari tawaran dan ganjaran daripada Allah selagi masih ada umur dan pertemuan kesekian kalinya ini sudah pasti menyuburkan ikatan ukhuwwah yang diketika manapun sentiasa kita hajati.

No comments :

Post a Comment