Anak-anak.....di setiap muhasabah, sentiasa ada kalian

No comments

Anak-anak adalah permata yang memberi sejuta sinaran, keberkatan, harapan, penyambung perjuangan, mata rantai yang diharapkan, penyegar kasih sayang, pembantu yang penuh inginkan gurauan hampir tiap ketika – membantu namun selalunya menjadikan suasana gamat menampil keletah, tawa mereka terkadang hanya mereka yang tahu lucunya, tangisan mereka juga dalam rangka mencari tawa, kesedihan mereka meminta perhati, teriakan mereka sekadar ingin perhatian, segala perkara tidak bersendikan permasalahan, bermain adalah agenda unggul setiap hari, mengadunya mereka bukan ada asas – Cuma mengharap kita membalas apa yang ditanya. Ini semua diketika mereka di usia putik, segalanya perlu kita bajai agar menjadi akar dan pohon yang sejahtera.


Memberi didik kepada mereka di usia awal memerlukan praktik daripada kita kerana mereka lebih mudah menerima apa yang kita lakukan dari yang kita tuturkan. Berteleku dengan mereka mengadap mentari muncul sesudah solat subuh, membuahkan tanya yang tiada henti………. berhenti setelah merungut – Ayah, banyak nyamuk la !.....Menegaskan bahawa keindahan suasana ketika fajar mula menyingsing adalah susunan Allah, tidak kurang hebat cabarannya, berbunga rasa hati bila difahami mereka. Sedang menerangkan suasana kebesaran itu adalah bukti Allah itu ada, si kecil mengajak – Ayah jom makan roti canai. – maka beralihlah segalanya daripada fajar kepada roti canai. Hari ini mereka muda dalam serba serbi jurus kehidupan. Dirasakan cuma sekelip saat mereka dewasa.


Kalian yang namanya anak-anak wajib mengikut apa yang dididik ayah serta bonda. Namun keremajaan selalunya menyisih ‘chemistry’ semulajadi itu, menjadikan anak-anak dewasa sebelum saatnya. Adapun kedewasaan yang matang dengan kebiasaan tarbiyah dan resam pendidikan yang luhur, adalah peningkatan yang sihat. Namun andainya kalian hanyut di zaman remaja, maka carilah apa sahaja pautan agar tidak terus hanyut. Bentuklah jaringan rakan-rakan yang memimpin kita ke syurga bukan yang membuka lorong-lorong ke neraka. Ada yang mencebik, tidak kurang juga yang mencemuh, mengapa anak-anak mesti kita risaukan arah mereka, mereka masih kecil, biar mereka memilih jalan hidup mereka apabila sampai masa. Selaku ayah atau ibu yang diizinkan Allah sedikit hidayah, kefahaman tentang Islam, menjalani proses tarbiyah, serta punya rakan-rakan yang celik iman; gesaan seperti bait-bait sebelum ini hanyalah seolah menyerahkan permata ke lembah kotor tanpa kejernihan minda.


Di sisi yang lain, kita harus sedar bahawa muslihat keji jahiliyah hari ini telah menjadi sebahagian daripada sistem di dalam kehidupan. Tanpa kita mencari, sogokan media dan rangkap-rangkap kelalaian telah sedia membunuh ‘chemistry’ kekeluargaan. Siapapun tidak mampu menolak hanya usaha membina sahsiah anak-anak perlu dipelbagaikan dan diangkat ke dimensi sistem tarbiyah yang tersendiri. Ketahuilah anak-anak, kami ibu dan ayah mahu kalian menyambung rantaian yang ditunjukkan Rasulullah agar bersama kita mencari sebab untuk dipilih ke syurga Allah. Jadilah pemuda yang berketerampilan memimpin siapa sahaja ke jalan yang benar. Jadilah pemudi yang punya cita berperanan pada sisi yang dibenarkan dan punya fikir untuk mendidik anak-anak ke tujuan yang hakiki.


Anak-anak adalah pewaris. Mewarisi perjuangan kita yang tidak pernah selesai selagi maya pada ini bernadi. Memberi pengertian atas persoalan Dari manakah kita datang? Mengapakah kita didatangkan? dan Kemanakah kesudahan kita? dewasa ini bukanlah perbincangan yang mudah. Anak-anak seakan melihat kehidupan pada perspektif yang terlalu kecil, seolah melihat televisyen di ‘flat screen’ biar pun HD ‘High Definition’ namun tiada sentuhan tarbawi yang mendidik walaupun mempunyai sejuta pengetahuan. Memberi maklum akan peri pentingnya taqwa, memerlukan satu proses bersama agar curahan ilmu itu merata ke pintu hati mereka. Taqwa adalah neraca. Ia juga membezakan antara baik dan buruk. Bertaqwa akan memurahkan rezeki. Memudahkan segala kesusahan. Penyebab terbukanya pintu syurga.


Saban hari di kala malam, merenung muhasabah apakah yang berlaku di siang harinya
sering membuahkan kebimbangan. Bimbang tentang diri, pasangan, anak-anak dan segala muamalat setiap hari mendatang. Bila tiba merenung perjalanan anak-anak, hati mula bergetar. Rasakanlah getaran itu bersama wahai anak-anak. Getaran kasih dan sayang yang wajib dibajai apabila kita dipilih berhimpun sebagai satu keluarga di dunia ini sekalipun itu bukan pilihan kita. Hargailah detik ini, mari kita semai kasih sayang agar berbuah keimanan , mekar ketaqwaan, terpelihara daripada kesilapan dan dosa, menggali ilmu Allah agar nanti meniti di landasan yang diredhaiNya, dihitung amal kebaikan, berjuang menyampaikan seruan Tuhan dan dipanggil penuh keredhaan daripada Yang Maha Pencipta. Berpisah di dunia ini, berazamlah untuk bersama di akhirat nanti.

No comments :

Post a Comment