...teh O, susu HiGoat, biskut dan kurma.

1 comment

Bagaimana untuk kita meletakkan keadaan atau situasi yang memberi erti seseorang itu bekerja ? Bekerja bermaksud melakukan pekerjaan dengan keterikatan sama ada dengan rela mahupun paksa rela. Pokok persoalannya, sesuatu perlu dilakukan dan berusaha untuk melakukan apa sahaja dengan matlamat yang tertentu. Bagaimana pula bekerja untuk Islam ? Apa yang tergambar di kotak pemikiran kita ? Berat ‘entry’ kali ini. Di universiti, sekolah atau apa sahaja institusi pendidikan, mereka yang belajar di dalamnya sudah tentu tidak disebut bekerja. Tetapi, mereka yang mengajar akan disebut bekerja. Sinonimnya ada apa kala kita yang mengikuti kelas setiap minggu, dibekalkan dengan pesanan, ilmu dan nasihat fikrah. Itu komitmen kita untuk memahami, disegarkan, diperbetulkan, ditegur dan menegur, menerima dan memberi, menyubur dan
membajai secara berterusan. Semua itu adalah isian semula terhadap kekuatan agar kita gigih bekerja. Eh ! Itu belum dikira bekerja rupanya.

Kita bertegur sapa dengan jiran dan berusaha menzahirkan akhlak Islami di dalam pergaulan, itu sebahagian daripada erti bekerja untuk Islam. Di pejabat atau tempat
kita mencari rezeki, kita hidupkan keperibadian yang diajar Nabi maka ada pula yang terkesan dengan perilaku kita lantas terus bertanya kepada kita tentang Islam, maka itu bererti kita bekerja untuk Islam. Kita merancang dengan mana-mana sekolah untuk mendidik anak-anak agar celik akhlak Islam, maka itu adalah bekerja untuk Islam. Kita mengambil gambar tentang sketsa kehidupan dan memberi huraian kepada umum dari sudut sisi Islam dan masyarakat menerima, itu bekerja untuk Islam. Kita membawa para remaja sekolah mandi manda di kawasan rekreasi sambil memberi input akhlak yang baik, itu bekerja untuk Islam. Kita menyedarkan masyarakat tentang kemelut di Gaza dalam usaha membela negeri Islam yang terluka itu, juga bekerja untuk Islam. Membangunkan
ekonomi Muslim bebas daripada penindasan atau untung berlebihan dan bermatlamatkan keredhaan Allah, itu bekerja untuk Islam. Dan banyak lagi sehingga meliputi setiap inci realiti kehidupan kita.

Dengan kata lain, apa saja yang kita praktikkan daripada kefahaman di kelas mingguan, maka itu diertikan bekerja. Semua projek yang HALUAN rancang bersama masyarakat adalah praktik daripada kelas mingguan. Maka keterlibatan kita sudah tentu dikira satu pekerjaan .


Apapun, kita perlu uruskan banyak perkara jika ingin bekerja untuk Islam. Bijak jika menguruskan tanggungjawab hakiki sebagai ketua keluarga atau pengurus rumahtangga terlebih dahulu supaya hak ahli keluarga terpelihara. Berlumba untuk bekerja untuk Islam seharusnya telah menjadi agenda hidup kita. Mereka yang bukan Islam telah berkurun mempraktikkan apa yang diajar dalam Islam dalam versi pilihan mereka sebagai teras pekerjaan mereka. Natijahnya diberi Allah, mengapa tidak kita yang melakukannya.


Selagi kita tidak mula memikirkan apa yang boleh kita lakukan untuk mesra dalam amali kehidupan dan berorganisasi atau dalam saff yang tersusun, selagi itulah kita akan hanya melihat dari sisi pandangan kita sendiri dan untuk diri sendiri.

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”
–As Saff : 4


Bercitalah agar kita menjadi sebahagian daripada rantaian yang membina bangunan kekuatan Islam yang kukuh. Di situ ada kekuatan yang menyegarkan, keindahan yang tidak boleh diceritakan, ketenangan yang mendamaikan, jalinan ukhuwwah yang menyubur, diberi kefahaman tentang Islam dengan lebih mudah dan menjadi pemangkin kepada ibadah. Tidak perlu gusar, buangkan rasa rendah diri yang keterlaluan kerana dakwah itu ialah tugas yang hakiki. Mana mungkin kita jawab di hadapan Allah bahawa kita malu untuk bekerja untuk Islam; bimbang timbul riak; sedang mendidik hati agar mampu berdakwah atau menyampaikan Islam atau tidak mengapa, sahabat lain boleh lakukan. Ungkapan-ungkapan ini akan hanya melemahkan jiwa kita. Gantikan ungkapan itu dengan boleh, mari kita lakukan; jom lama kelamaan hilanglah rasa-rasa yang datang daripada syaitan itu; didikan itu kita teruskan disamping hujung minggu ini ada lawatan ukhuwwah ke masjid di Kuala Kubu; walaupun ada sahabat yang lakukan, ana ingin sama-sama membantu.


Bersikap proaktif adalah perlu dalam kerja-kerja Islam. Anggota yang berlumba-lumba untuk melakukan kerja-kerja yang dirancang adalah perlu. Anggota yang sering mengeluarkan idea adalah perlu. Anggota yang istiqamah dalam apa sahaja suasana juga adalah penting. Anggota yang istiqamah dalam ibadah malam adalah perlu. Anggota yang berjaya dalam kerjaya masing-masing adalah perlu. Anggota yang tidak pernah culas kelas mingguan juga adalah penting. Dalam terma yang mudah, setiap anggota mesti bekerja. Sama-sama berusaha untuk mencari sebab agar Allah pilih untuk ke syurgaNya.


Mampukah kita ungkap bahawa kita akan terus hidup lalu sampai ketikanya nanti pasti kita akan lakukan kerja-kerja Islam yang banyak itu…? Sesungguhnya kematian itu tidak pernah kita tahu bila ketikanya. Sesekali kita tidak mampu mengeluarkan ungkapan itu. Maka, mulakan apa sahaja pekerjaan untuk Islam hatta membancuh air teh ‘O’, susu Hi Goat dan menghidangkan biskut atau kurma.

1 comment :