Di antara medan kata-kata dan medan realiti........dan versi HD

No comments

Kelas mingguan adalah saat dan ruang yang amat dinanti-nantikan. Di sana ada ilmu, diskusi ilmiah, diskusi semasa, bacaan – terjemahan – garapan kalam Allah, pencerahan minda terhadap hadith Rasulullah, solat berjamaah, adunan ‘chemistry’ ukhuwwah, merancang dan mencurahkan idea untuk kerja dakwah dan Islami dan banyak lagi. Setiap kali pertemuan, pasti dirasakan detik itu amat cepat berlalu. Mahu sahaja diteruskan hingga ke subuh tetapi kita ada tanggungjawab lain yang perlu diperhitungkan. Semalam kita berbincang tentang satu juzuk berhubung sifat orang-orang yang hidup untuk Islam, pesan lama daripada almarhum Ustaz Fathi Yakan. Pesanan yang memberi kesan langsung kepada kita dan sesiapa sahaja yang ada kesungguhan untuk mengambil Islam sebagai cara hidup dan bukan sekadar anutan resmi semata.


- Sifat pertama – benar-benar terikat dengan ajaran Islam dan yang mengikatnya adalah iman. Tidak mampu melihat kemungkaran. Allah menempelak orang yang mengaku beriman tetapi tidak mengajak atau peduli tentang orang lain.
- Sifat kedua – mengutamakan kepentingan Islam walau di mana sahaja. Perlu sensitif dengan apa yang berlaku kepada umat Islam seluruhnya. Kita mempunyai sudut-sudut tertentu yang berperanan untuk kita pelihara.
- Sifat ketiga – merasa mulia dengan Islam dan amalannya. Apa sahaja yang menjurus kepada kemuliaan dan amalan Islam yang hakiki kita akan izzah terhadapnya.
- Sifat keempat – sentiasa bekerja untuk Islam. Bekerja secara bersama dan dengan siapa sahaja yang jelas fikrah dan yang mahu bekerja untuk Islam atau dengan istilah ta’awun. Apa sahaja yang baik ingin dibuat oleh sesiapa sahaja, kita mesti boleh untuk bekerjasama. Kita tidak boleh mengasingkan diri.


Memang sering kita ‘tersedar’ dari lamunan yang entah bila bertamu. Didesirkan pesanan demi pesanan di kelas saban minggu. Kita rasa yakin apabila bersama dengan sahabat dan ianya satu impak kebersamaan yang baik. Kita juga yakin kita boleh terikat, mendahulukan kepentingan Islam dan mulia dengan Islam dan amalannya serta ta’awun atau bekerjasama atas kerja-kerja Islam apabila di kalangan sahabat. Di rumah, seharusnya rasa itu perlu sama kerana pasangan kita tentunya punya fikrah sama dengan kita dan berkongsi cita-cita ukhrawi yang sama.


Apa sikap kita dengan saudara seIslam yang lain, yang tiada bersama kita dalam kelas mingguan dan apa sahaja yang kita lakukan ? Bersama dalam perkara yang boleh kita sepakati dan berlapang dada pada perkara yang sebaliknya adalah ungkapan nasihat yang wajar dan tidak mustahil untuk dimanfaatkan. Namun ianya kekal ungkapan selagi ianya tidak lahir, dirasai dan kelihatan secara ‘High Definition (HD)’ atau jelas. Berjuta hikmah apakala kita mencari-cari titik pertemuan yang membolehkan kita bersama. Usaha mencari ukhuwwah pada ungkapan sudah nampak mulia, apalagi jika dilakukan. Kita penuh yakin, bila tiba saat dan ketikanya, sesiapa sahaja yang jelas fikrah Islam itu akan bersatu dalam versi yang tidak tergambar oleh musuh. Di kala itu fikrah yang jelas, keterikatan dengan Islam, mendahulukan kepentingan Islam dan mulia dengan Islam dan amalannya serta ta’awun dalam kerja-kerja Islam yang selama ini kita bajai oleh semua yang hidup untuk Islam akan terjelma. Usah terlalu gusar jika kita belum jumpa titik persamaan antara sesama jamaah Islam yang pelbagai hari ini. Teruskan sahaja mempertingkatkan kefahaman serta mendalami sifat-sifat di atas.




“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?”
Al Imran : 54

Ingatlah selalu, kerana kita amat selalu berada dalam alpa. Buktikan sesuatu agar nanti dihitung Allah. Bukan redha manusia yang kita cari kerana itu sifatnya sekejap cuma. Malu perlu biar bertempat, berani perlu biar berhemah, kata biar ditapis aqal, rasa biar dinilai hati, tindakan biar lahir daripada iman, ikhlas biar yang ditunjuk Nabi dan akhirnya kita biar diredhai Allah.

No comments :

Post a Comment