....Kecairan dan Resmi air..

No comments

Dalam sistem kewangan atau perbankan semasa ada satu terma yang berbunyi ‘liquidity’ atau dalam bahasa Malaysia ianya membawa maksud kecairan yang merujuk terus kepada wang. Fenomena ini mempunyai risiko dan risiko itu mesti diuruskan demi kelangsungan mana-mana institusi kewangan. Ringkasnya, sesebuah bank mesti ada cukup simpanan sebelum boleh memberi pinjaman kepada sesiapa sahaja. Krisis kewangan dunia 2008 memperlihatkan bagaimana tindakan bank-bank Amerika yang memberi pinjaman di luar kemampuan berhadapan krisis pembayaran balik kelompok ‘sub-prime’ apakala ekonomi perlahan dan kemampuan mereka amat terhad. Di situlah risiko kecairan berlaku, pelanggan bank tersebut mula mengeluarkan deposit mereka daripada bank-bank yang terlibat di ketika tidak wujud kecairan pada zahirnya. Komitmen mesti dipenuhi , maka bertambahlah kesempitan bank-bank terbabit kerana tiada pembayaran balik pinjaman dan janaan keuntungan yang amat terhad.


Dakwah dan Tarbiyah mempunyai kecairannya. Ianya juga mempunyai risiko seperti yang dihadapi oleh institusi kewangan. Namun begitu tidaklah kita berhajat membuat perbandingan ‘apple to apple’ kerana ianya sama sekali tidak sama. Kecairan di dalam kerja-kerja Islami harus kita lihat daripada aspek iman, ukhuwwah dan bagaimana tindak balas mukmin terhadap kehidupan. Kritisnya, kita perlu tumpahkan tumpuan kepada bagaimana untuk mengekalkan kepelbagaian tuntutan aspek ruh, aqal dan jasad sebagai media fakulti insan yang asas agar dicerna sebati mungkin dan diikat dengan balutan fikrah dan simpulan ukhuwwah. Semua itu suatu kekuatan yang membolehkan dakwah dan tarbiyyah terus berjalan dan berkembang sebagai satu institusi yang mendidik akhlak masyarakat. Itulah kecairan dakwah dan tarbiyyah, tanpa kekuatan itu, akan ada risiko yang perlu diuruskan.


Antara risiko kecairan di jalan ini menurut almarhum Ustaz Mustafa Masyhur adalah :
1. Kerjaya dan usaha untuk mencari rezeki
2. Isteri dan anak-anak
3. Mabuk Dunia dan Harta
4. Suara-suara Penghalang Dan Pelemah Yang Melemahkan
5. Kekerasan Hati Kerana Telah Lama Berehat
6. Merasa Aman

Kita wajib mengharapkan setulusnya daripada Allah agar kekal dan tetap di jalan ini, menjauhkan dari segala kesalahan, melindungi dari kejahatan diri dan kejahatan syaitan serta menamatkan hidup dengan kebaikan.

Lantaran kritikalnya kecairan di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, maka wajib kita
gandakan usaha , menyusun dan melaksanakan amalan Islami dalam kehidupan seharian. Sekali lagi, medan penulisan dan kata-kata, tidak selalu seiring dengan hakikat sebenar kehidupan. Andai datang rasa gundah dan merasa sukar menjalin mesra apa yang dipelajari dan kerisauan itu disusuli usaha untuk membuat perubahan pada kadar yang termampu, maka itulah kejayaan. Tetapi jika kebimbangan itu hanya sekadar berlalu begitu sahaja tanpa berbuat apa-apa, maka berjayalah syaitan musuh yang nyata itu melambat-lambatkan kemampuan kita di medan ini.

Risiko kecairan di jalan dakwah dan tarbiyyah ini memerlukan kreativiti kita sebagai individu untuk sentiasa melihat mana-mana kekurangan yang nyata agar dapat diselenggarakan secara bijaksana. Moga semua ini menjadi peringatan yang mengalir laksana aliran air yang tidak mungkin dihalang, sekalipun dihalang, ia akan memenuhi halangan dan meneruskan aliran sampai ke muara dan terus meneroka laut lepas. Begitulah resmi air.

No comments :

Post a Comment