...Allah beri perkembangan itu tanpa kita memikirkannya...
Banyak perkara yang berlaku pasti memberi kita didikan. Bermula munajat harian di dinihari malam, menyusun langkah menagih rezeki, mencari ruang-ruang berperanan sebagai penyambung risalah Rasulullah, mengisi minda dan jiwa dengan ilmu dan muamalah semasa, peduli apa yang berlaku di sekeliling hatta dari mana sahaja di seluruh dunia, bertanyakan kesejahteraan pasangan hidup, baik yang bermonogami atau lebih-lebih lagi yang berpoligami – sungguhpun sensitif ia tidak bermakna wajib dipinggirkan kerana Allah lebih tahu cuma kita yang serba serbi tidak tahu, perkembangan anak-anak di takuk mana, sampai mana tarbiah kalian, di tahap mana kecergasan tubuh badan kalian, disiplin hidup apa yang kita turuti dan sehinggalah pelupuk mata lelap menantikan saat munajat seterusnya.
Terlalu banyak yang berlaku setiap hari. Di antara sela waktu itu pasti akan ada ujian yang menduga apakah kita tetap pada jalan yang sebetulnya. Duri di jalanan perlu kita alihkan dan seandainya ada yang tertusuk, perlu kita rawat. Membiarkan bermakna merelakan luka itu terbuka dan di situ ada kesakitan yang perlu diuruskan.
Mengambil peranan untuk menyampaikan risalah Islam menuntut kita untuk sedar hakikat di atas. Kritikan dan cadangan itu perlu lebih banyak daripada pujian kerana apabila pujian berada di mana-mana, keikhlasan itu akan menjadi debu-debu yang berterbangan. Penuh dengan kritikan dan seranah bukanlah pula baik , cuma ianya lebih baik daripada hanyut di tengah pujian. Sering apabila kita berada di tengah-tengah pertembungan antara kemaslahatan peribadi dan tuntutan kerja-kerja dakwah dan Islam yang semakin meningkat, kita perlukan banyak kekuatan. Tanpa kekuatan ini, kita pasti ada masalah. Kekuatan iman tidak kita persoalkan, kerana itu akan berlaku berterusan. Kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan ukhuwwah kerana Allah. Kita harus mampu menerima seandainya ada tanggungjawab atau kerja-kerja yang perlu kita atau sahabat kita lakukan tetapi terhalang atas sebab-sebab yang tertentu maka perlu ada rasa ingin menampung semula kekurangan agar kerja-kerja Islam itu dapat mengalir terus. Menjalankan kerja-kerja secara tatawu’ ini adalah amat-amat kritikal. “Tidak ada kuasa yang mengarahkan atau mengenakan denda kepada kita sekiranya kita tidak melaksanakan kerja-kerja itu. – UDMZ 2/3/1990”
Jaluran komunikasi kini perlu lebih tersusun. Tuntutan untuk kita tersusun dan terus menyusun kerja-kerja Islam yang kita lakukan tidak dapat lagi untuk kita kesampingkan. Jazakumullah khairan kathira kepada sahabat dan sahibah semua, bekerja dengan kalian melahirkan ‘chemistry’ yang indah dan penuh dengan motivasi yang amat berharga. Selagi kita istiqamah dalam apa yang kita lakukan, rupanya Allah beri perkembangan itu tanpa kita memikirkannya dan Allah terlebih tahu apa yang sesuai buat kita ………………….Tentu sekali, semuanya itu bukan juga susunan kita.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment