Tautan Kurma Bertangkai...di Iftar HALUAN Rawang
RAWANG, 28 Julai 2012 – Ramadhan datang lagi. Iftar daerah
mengambil tempat seperti tahun-tahun yang lalu. Ketika itulah ukhuwah dibajai,
keserasian diatur, perkenalan dikutip, saling bertukar gema tarbiah dan
memahami hati sahabat itu dan sahabat ini, keluarga sana dan keluarga sini. Pendek
kata, rasa kebersamaan itu mercup setiap ketika.
Iftar daerah bagi HALUAN unit Rawang telah diadakan untuk
kesekian kalinya di Sekolah Menengah Agama Rawang (SAMER). Kali ini lebih
meriah dengan kehadiran adik-adik Alumni SAMER
dan Hufaz Darul Quran. Seperti biasa, ibarat sirih pulang ke gagang,
Tuan Hj Rosdi Baharom pasti memahatkan ungkapan nasihat dan kasih sayang kepada
hadirin. Terkenal dengan ratusan ungkapan yang mampu menjadi pemangkin dan
mengetuk genta hati, kali ini menyajikan tautan kurma bertangkai sebagai sajian
minda di petang yang indah. Lanskap ukhuwah harus dimulai, mulakan walau dengan
berkongsi kurma bertangkai. Bermula dengan hadiah, hati manusia pasti
tersentuh. Lantas jajaran fikrah dan perkongsian seterusnya akan menjadi mudah.
Kisahnya, usahakanlah agar orang disekeliling kita tersentuh dengan akhlak
Islam dan menjadi sebab mendalami Islam dalam kehidupan.
Dengan kehadiran hampir 80 orang termasuk Pengerusi Biro
Pengajian Tinggi, Dr Ismail Ahmad dan Pengerusi Kelab HALUAN Siswa, Dr Solehuddin
Shuib, kemeriahan iftar kali ini amat dirasai. Seusai solat Isya’, sedikit suai
kenal dengan Alumni SAMER dan hufaz Darul Quran berlangsung meriah. Turut hadir
adalah warden yang disayangi iaitu Ustaz Abdul Hidir dan telah sudi memberi
kata nasihat dan aluan kepada bekas warga asrama dan semua yang hadir. Sedikit cenderahati
kepada pihak SAMER tanda terima kasih atas kesudian memberi kebenaran untuk
aktiviti seumpama ini disambut penuh makna oleh pentadbiran sekolah dan turut
berterima kasih kerana HALUAN sudi berkongsi tanggungjawab mendidik anak-anak.
Sungguh segar rasa kebersamaan dan ukhuwah di iftar daerah
kali ini, sesegar tautan kurma bertangkai.
No similar posts
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment