Modul 1 Relawan - Latihan Paramedik

No comments

Rawang, 15 Februari. Bertempat di Madrasah As Siddiqin Bandar Tasik Puteri telah berlangsung Fasa Kedua latihan kepada Relawan HALUAN Malaysia. Di dalam fasa ini, telah diperkenalkan Modul 1 Relawan yang merupakan Latihan Paramedik yang dikendalikan oleh Dr Ahmad Zabidin daripada Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dengan di bantu secara praktikal oleh para pelajar BLS Training School Tour, Cyberjaya University College Of Medical Science, seramai kira-kira 66 orang Relawan telah hadir untuk Modul 1 kali ini.

Sessi amali begitu mendapat sambutan kerana semua peserta diberi peluang untuk melakukan sendiri kaedah bantuan kecemasan yang diajar ke atas patung atau alat bantuan pengajaran yang disediakan BLS Training School. Secara keseluruhan, Modul 1 – Latihan Paramedik ini berjaya memberi input yang berguna untuk persediaan para Relawan menghadapi situasi yang memerlukan sedikit sentuhan sebelum bantuan daripada pakar perubatan tiba. Melalui modul ini, Relawan HALUAN Malaysia didedahkan peri pentingnya untuk fokus dan melengkapkan ilmu yang berkaitan sebelum menjalankan sebarang usaha menyelamat yang memerlukan kepakaran. Walaubagaimanapun, modul ini terlalu ringkas dan dari masa ke semasa, kursus ulangkaji akan disusun agar para Relawan HALUAN Malaysia boleh berbakti di waktu dan ketika yang tepat.

Relawan HALUAN Malaysia sedang melalui modul latihan selepas diterima sebagai anggota Relawan melalui saluran pendaftaran yang dibuat tahun 2010. Sehingga kini, Biro Relawan telah mengadaptasikan proses pengambilan Relawan, proses penerangan dan Modul 1 – Latihan Paramedik. Terdapat 3 lagi modul asas yang bakal dilalui oleh para Relawan iaitu ‘Kecemasan Dan Penyelamat’, ‘Urus Tadbir Masjid/Surau’ dan ‘Bantuan Am’. Kesemua Relawan yang terlibat akan dihubungi dan dimaklumkan berhubung modul yang seterusnya.
Ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Madrasah As Siddiqin yang begitu memberi kerjasama kepada HALUAN Malaysia untuk menterjemahkan motto ‘Berakhlak, Mendidik Dan Berbakti’. Kesemua jawatankuasa Madrasah tersebut adalah juga Relawan HALUAN Malaysia.

Liputan dan Rakaman oleh:


No comments :

Post a Comment