JDK2010 Melabuhkan Tirai..

No comments

15 Januari 2011 – Bangi. Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja 2010 (JDK2010) melabuhkan tirai serentak di ketiga-tiga lokasi di seluruh negara. Majlis penutup bagi JDK2010 zon tengah bertempat di ILIM Bangi telah disempurnakan oleh Al Fadhil Ustaz Che Ibrahim Bin Che Man, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia. Turut hadir adalah pemimpin masyarakat setempat yang secara langsung mahupun tidak telah terlibat dalam menjayakan kursus kali ini. Waris atau ibubapa para peserta yang hadir turut sama memenuhi auditorium yang padat sejak jam 10.00 pagi.

Kursus selama 22 hari ini telah membawa program ini ke fasa tersendiri dan begitu memberi kesan kepada para peserta. Program Khidmat masyarakat di Kampung Abu Bakar Baginda telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada semua peserta. Ramah mesra dengan penduduk setempat mencambahkan sejuta rasa kasih dan ukhuwwah. Dakwah dan tarbiyah itu memerlukan praktikal. Para peserta telah dibawa merasai rencah komunikasi dan perhubungan dalam ukhuwwah Islamiyah.

Selain itu, modul-modul yang telah dilalui telah membina minda serta kemahiran berfikir dan bertindak dalam pelbagai situasi. Malam aprisiasi seni telah mencungkil bakat menzahirkan ekspresi wajah dan watak di pentas terbuka dan telah dapat mereka lakukan dengan baik.


Dalam ucapan penutup, Al Fadhil Ustaz Che Ibrahim Bin Che Man, Pengarah ILIM, menyebut antara lain, program seumpama ini yang dikelola HALUAN adalah sesuatu yang baik dan syabas atas kejayaan penganjuran ini. Sebagai institusi kerajaan, sokongan akan sentiasa diberikan walaupun tidak boleh menjanjikan apa-apa, namun penganjuran program seumpama ini memang amat diperlukan bagi membina jiwa remaja muslim hari ini. Banyak menyentuh pengalaman dan memori silam berhubung prasarana di ILIM, beliau menambah, bahawa bukan sukar untuk membina kemudahan yang terkini dan canggih namun keberkesanan input yang diterima peserta adalah yang lebih utama. Dengan lafaz Basmallah, beliau menutup program Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja 2010.

Al Fadhil Ustaz Che Ibrahim kemudiannya telah sudi menyampaikan sijil serta hadiah kepada para peserta JDK2010. Dalam sesi rakaman video temuramah ringkas Media Rawang, para peserta menyatakan rasa gembira dan beruntungnya mereka kerana diberi peluang mengikuti JDK2010. Setiap saat berlangsungnya program tersebut telah memberi mereka input yang amat berguna. Mereka juga menyeru kepada para remaja lepasan SPM akan datang supaya merebut peluang untuk mengikuti Kursus Jati Diri seumpama ini agar dapat merasai modul dan realiti kehidupan yang disusun untuk pemantapan dan persiapan jiwa apabila melewati zaman remaja.


Keremajaan bukan suatu masalah, ianya satu peringkat kehidupan yang memerlukan sebatian yang seimbang kerana cabaran yang datang tidak mengira sumber dan kesediaan remaja itu sendiri. Mereka yang mempunyai jatidiri akan mudah meleraikan kekusutan tali kehidupan di usia ini manakala yang tidak bersedia dibimbangi terus tersimpul dalam simpulan yang semakin kusut. Semoga bertemu di Kursus Jatidiri Dan Kesukarelawanan Remaja yang akan datang, seluruh warga kerja JDK2010 mengucapkan selamat maju jaya kepada peserta kali ini dan di akhirnya, seruan ringkas daripada fasilitator…………..”Adik-adik, call kami kalau perlu nasihat dan tunjuk ajar, kami sentiasa menunggu.”

No comments :

Post a Comment