Pasir, Padi, Awan, Angin, Cakerawala dan Kita.....

No comments

Setiap dari kita punya peranan masing-masing. Mereka yang punya ilmu berperanan untuk menyampaikan ilmu. Mereka yang mencari ilmu berperanan mencari sumber ilmu agar mampu diperolehi. Mereka yang tuntas berbicara dalam apa jua keadaan berperanan untuk berbicara pada sisi yang selayaknya. Mereka yang kurang bisa dalam pengucapan umum perlu melihat-lihat mereka yang mampu agar diri sendiri juga mampu. Mereka yang tahu keperitan umat di tempat lain perlu membuka minda mereka yang tidak tahu agar semua jadi tahu. Mereka yang ada kesedaran dan kefahaman tentang Islam perlu mula berbicara tentangnya agar yang lainnya mampu untuk sedar dan faham. Mereka yang ingin untuk faham tentang cara hidup Islam perlu mencari kebenaran tentang Islam bukan bertaklid tanpa erti. Mereka yang ingin tahu memasak perlu bertanya kepada yang boleh memasak. Dengan kata mudah, sesiapa sahaja boleh untuk tahu dan lakukan apa yang diingini asal sahaja masing-masing ingin untuk tahu dan lakukan. Masalah utama kita ialah tidak ada rasa untuk melakukan perkara-perkara yang di luar kebiasaan. Kita tidak mahu berubah.


“Yang demikian (siksaan) itu adalah karena sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,”
Al-Anfaal ayat 53


Ada yang berkata, apa perlu perubahan jika ianya menyusahkan. Perubahan itu perlu apabila kita ingin berbuat sesuatu tetapi suasana atau kemampuan sedia ada tidak memacu kita mencapai apa yang kita ingin lakukan. Di saat itu kita perlu berubah. Untuk ke syurga, seharusnya kita perlu melalui jalan dan liku untuk ke sana. Andainya kita masih di persimpangan yang jauh daripada tujuan, maka di situ kita perlu melakukan perubahan agar laluan ke sana kembali terbuka. Untuk berubah kita memerlukan kekuatan yang langsung diminta daripada Allah. Hanya dengan itulah segala langkah akan kelihatan terbuka dan memudahkan.

Andai berjaya berubah, natijahnya akan Allah hadirkan tentu sekali kepada apa yang
terbaik buat kita. Namun begitu, jika kita telah berubah tetapi natijahnya tidak hadir, maka perlu bersabar kerana ukuran kejayaan dalam perubahan ialah perubahan itu sendiri dan bukanlah natijah.


Maka, ambillah peranan walau sekecil mana sekalipun kerana sememangnya kita masing-masing mempunyai peranan. Jika tidak kita yang berperanan maka siapa lagi yang akan melakukan kerja-kerja Islam yang banyak itu ? Seorang suami jika tidak berperanan mengajak isterinya duduk berbincang tentang kemaslahatan keluarga, maka siapa yang akan berperanan? Seorang isteri jika tidak berperanan menenangkan hati suami, maka siapakah yang diharap untuk itu? Seorang murabbi jika tidak berperanan mendidik hati-hati yang berada bersamanya, maka siapakah yang diharapkan untuk itu? Walau diperingkat manapun kita, kita mesti bijak mengisi ruang, pandai membantu dan tidak senang andai tidak dapat mengeluarkan idea, bersungguh melaksanakan idea yang disepakati dan berlumba untuk mencari pembaharuan baik dalam iman mahupun kerja-kerja lainnya agar semuanya sentiasa segar.


Ujian pasti ada, meski ada membuat perubahan namun hasilnya tidak seperti yang dihajati. Maka teruslah berfikir apa langkah seterusnya dan jangan sekali-kali berhenti. Tiada formula atau ubat yang boleh kita ambil melainkan berterusan berbincang, gandakan doa, perkemaskan gerakerja, tingkatkan iman dan peliharalah ukhuwwah. Berubahlah kepada yang lebih baik kerana itu yang diperintah Allah dan ditunjuk Rasulullah. Pasir di pesisiran pantai sering berubah apabila dilanda ombak dan natijahnya begitu indah melanskapkan kebesaran Ilahi. Ambillah resmi padi dalam menundukkan riak. Lihatlah resmi air dalam mengendali arus perubahan. Pelajari tari awan yang tidak pernah seiras setiap menyinsing fajar dalam mewarnai hidup sebagai insan. Hampirkan diri dengan deruan angin dalam menyegarkan resam tarbiyyah. Renunglah cakerawala dalam melihat medan yang disediakan Allah kepada kita.


“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,” Al Imran ayat 190

No comments :

Post a Comment