Showing posts with label Ukhuwwah. Show all posts
Showing posts with label Ukhuwwah. Show all posts

Ziarah Ukhuwwah Menyusuri Sungai Buaya...


Program ziarah keluarga bulan ini bertamu di Sungai Buaya. Menjadi tuan rumah adalah Hasanah dan suami. Diserikan dengan kesyukuran atas ulang tahun kelahiran bagi Puan Pengetua SAMER iaitu Pn Siti Romziah... yang ke... (maaf, tiada maklumat buat masa ini). Kek khas telah disumbangkan oleh InHouseCakes... (boleh layari inhousecakes.blogspot.com) berserta pulut kuning dan ayam golek. Program santai sebulan sekali ini memang ditunggu-tunggu oleh kesemua warga HALUAN Rawang. Majlis yang bermula kira-kira jam 3 petang telah bersurai selepas solat Asar bersama. Misi peningkatan ukhuwwah ini menjadi sesuatu yang amat penting kerana ianya adalah kekuatan yang perlu dijana. Sesungguhnya, dakwah dan tarbiah itu amat memerlukan hati-hati yang bertaut dalam ukhuwwah yang diusahakan di hampir setiap ketika dan saat. Mari bertemu lagi dalam Kembara Ziarah di bulan Mei...

    


Liputan dan Rakaman oleh:


Syawal...tabur ukhuwwah dan buang mazmumah persahabatan

Di bumi Malaysia ini, Syawal adalah bulan menabur ukhuwwah, membuang mazmumah persahabatan dan mencerap amalan berkongsi rezeki di mana yang boleh. Meriah dan ceria seandainya amalan tradisi kita di bulan Syawal ini mampu disuburkan di bulan-bulan yang lainnya. Sesungguhnya amalan sebegitu dianjur Rasulullah asal saja kita tidak beriktikad bahawa ianya hanya perlu dilakukan di bulan Syawal sahaja.

Menabur ukhuwwah adalah seni yang perlu dipupuk. Menabur ukhuwwah keranaAllah mengundang lebih usaha kerana di situ ada dakwah dan tarbiyah serta fikrah yang jelas. Kemungkaran juga menagih keakraban di antara pelakunya. Maka ukhuwwah dan ikatan perkenalan atas sesuatu tujuan mempunyai perbezaan yang jelas ketara. Kita ada pilihan apabila merenung perkenalan kita dengan sesiapa sahaja. Pilihan untuk berukhuwwah atau sekadar ikatan perkenalan yang biasa. Dipandang daripada sudut tanggungjawab, menghimpunkan kenalan dilingkungan ukhuwwah adalah lebih dituntut. Sentiasalah kemaskini kenalan kita ke tahap yang membolehkan untuk kita berukhuwwah dengannya.

Mazmumah persahabatan mempunyai pelbagai sisi. Menyediakan ruang untuk bermaafan dan membuang mazmumah yang membunuh persahabatan atau ukhuwwah adalah penting. Kita juga punya pilihan untuk membuang mazmumah ini dan disirami dengan kesegaran ukhuwwah. Mazmumah persahabatan ini adalah parasit yang mampu meruntuhkan persahabatan. Penyingkiran awal mazmumah persahabatan adalah usaha terbaik dalam memelihara ukhuwwah. Apa mazmumah persahabatan? Apa sahaja yang boleh mencacatkan persahabatan, itulah mazmumah persahabatan.

Memberi makan adalah sifat mulia, hati akan mudah bertaut dengan suapan. Sajian makanan tidak penting namun bersama-sama mengadap rezeki itulah lebih terkesan dalam hati. Bersama melayar ukhuwwah akan menerbitkan ruang kebersamaan yang mantap dan sukar digugat.

Hampir tiada agenda lain di hujung minggu bulan Syawal ini selain menabur ukhuwwah, membuang mazmumah persahabatan dan berkongsi rezeki. Hadirlah siapapun untuk ‘menumpang kasih’ di Syawal ini, pasti bersahut dan berbalas rasa hati. Melempar pandang akan matlamat ketaqwaan yang dicari, kita sebenarnya mampu mewujudkan suasana-suasana yang membentuk ukhuwwah. Mudah-mudahan ianya tidak bermusim dan kekal bersemi seruan-seruan tarbawi di setiap jamuan dan ‘open house’.

Abang Long......hajat yang tertunai

4 September 2010 – Sungai Buaya, Hulu Selangor. Akhirnya hajat untuk menjamu sahabat-sahabat di Rawang telah menjadi kenyataan bagi En Abdul Rahim aka Abang Long. Iftar bersama di penghujung Ramadhan 1431H terhidang di rumah beliau di Sungai Buaya. Adat pengusaha kedai makanan, menjamu tetamu sentiasa menemui rentak dengan nasi beriyani, ayam goreng berempah, kuah dalca, rendang daging istimewa dan acar diikuti pula dengan kuih-muih serta pengat pisang yang diadun sejahtera antara selera dan rasa. Minuman panas dan sejuk menjadi penyejuk badan mengimbangi juadah yang istimewa lagi menyelerakan.


Seperti biasa, solat berjemaah Maghrib dengan diimami tuan rumah turut disertai ahli keluarganya. Renungan ringkas yang disampaikan oleh En Ahmad Fisal sekadar untuk mengisi kekosongan sebelum Isya’ dan menantikan terhadamnya beriyani Abang Long telah menyentuh perihal pentingnya untuk seorang daie itu untuk sentiasa berperanan dan memberi khidmat kepada masyarakat. Laksana pohon kurma yang nyata berguna setiap apa yang ada; daripada pucuk dan pelepah boleh dianyam menjadi pelbagai perkara, hasil buahnya yang tiada tolok bandingnya, teras pohonan yang  mampu menyangga dan menjadi pancang yang kukuh, hinggalah akar sampai ke benih pohon ini ada manfaatnya kepada manusia. Firman Allah SWT :


“Oleh sebab itu berikanlah peringatan karana peringatan itu bermanfaat”
(Al A’la: 9)


Untuk meningkatkan kemampuan dalam kerja-kerja Islam kita mesti membuka seluasnya kebolehan diri sendiri pada kemampuan yang ada untuk melakukan apa saja yang boleh menjayakan apa saja program Islam. Tidak merasakan diri serba tidak cukup sehinggakan tidak mahu melakukan apa sahaja kerana merasa rendah diri yang melampau. Tidak juga merasakan diri itu telah tertingkat lantas mengambil mudah apa yang ingin diusahakan. Yang paling selamat ialah lakukan kerja-kerja Islam secara bersama dan selalu tercari-cari apakah lagi yang boleh dilakukan. Kita wajib kreatif, mempelbagaikan pendekatan agar boleh muncul dalam apa sahaja suasana dan berbicara dengan sesiapa sahaja kerana tugas menyampaikan Islam bukan terbatas di dalam kawasan masjid sahaja, ianya perlu disampaikan dimana sahaja sehingga tertunduk maksiat yang sedang likat di dalam masyarakat.


Pengarah syarikat wajib menyampaikan Islam. Ahli perniagaan wajib menyampaikan Islam. Pemandu teksi wajib menyampaikan Islam. Pengurus bank dan kakitangannya yang bersyahadah wajib menyampaikan Islam. Para guru , pensyarah, professor dan doktor wajib menyampaikan Islam. Agen Insuran serta kakitangannya wajib menyampaikan Islam. Seorang peguam perlu menyampaikan Islam. Penjawat awam wajib menyampaikan Islam. Juruterbang dan jurutera wajib menyampaikan Islam. Kontraktor wajib menyampaikan Islam. Apa saja profesyen, orangnya wajib menyampaikan Islam. Yang tiada profesyen juga wajib menyampaikan Islam.

Selesai tazkirah ringkas, sebahagian besar yang hadir telah ke surau berdekatan bagi mengerjakan solat Isya’ berjemaah, berterawikh, witir bersama masyarakat setempat dan seterusnya bersurai. Iftar bersama kali penghabisan bagi Ramadhan kali ini. Bagi Abang Long, inilah hajat yang tertunai. Bagi sahabat-sahabat Rawang, ahlan wa sahlan Abang Long kerana nanti akan berperanan selayaknya di Sungai Buaya; sebagai tukang masak dan daie. Jazakumullah Khairan Kathir, ‘Beriyani’dan masakan pantai timurmu sentiasa kami dan masyarakat nantikan.

Ziarah Tarbawi 3... S.R.I.K, semoga Allah permudahkan...


31 Ogos 2010 – Rawang. Ziarah Tarbawi disuburkan lagi dan kali ini HALUAN Rawang menerima kunjungan sahabat-sahabat dari KL Utara atau Gombak. Seperti biasa bersesuaian dengan Ramadhan Kareem yang berbaki beberapa hari, iftar dan solat bersama adalah wadah terindah dalam memupuk ukhuwwah dan kemesraan. Menu utama iaitu Nasi Ayam yang menjadi juadah kegemaran dan mudah serta ringkas bagi tetamu kehormat kali ini.

Resam bersahabat dan bersatu dalam jalan dan fokus yang sama, ada sahaja perkara yang mahu dikongsi. Itulah keajaiban kerja-kerja Islam. Melahirkan tautan hati yang sukar untuk dihuraikan andai ada yang bertanya. Gerak dan gaya bahasa yang penuh terdidik dalam menyemai rasa kebersamaan sekalipun buah bicara bertajukkan perkara umum namun selingan yang datang daripada lanskap sentuhan tarbawi yang amat terjaga dan sesiapa yang mendengar pasti tahu bahawa itu bukan perkara yang sia-sia.

Pertemuan ini difokuskan kepada Sekolah Rendah Ibnu Kathir(SRIK) yang memerlukan prasarana baru kerana dengan itu dirasakan akan dapat melonjakkan institusi pendidikan anak-anak kita ke tahap yang lebih selesa. Prasarana sedia ada telah dimanfaatkan dalam kapasiti maksima maka ruang baru perlu diteroka. Ini memerlukan belanja yang besar dengan perancangan sedia ada memutuskan untuk membina prasarana baru yang lebih luas sesuai juga dengan permintaan masyarakat yang ingin agar anak mereka dididik di SRIK.

Sasaran perbelanjaan adalah di sekitar RM1.5 juta. Atas laluan ini Jabatan Agama Islam Selangor telah meluluskan dan membenarkan agar sumbangan kewangan daripada masyarakat boleh dikutip dan disalurkan terus kepada SRIK bagi membangunkan keperluan yang murni ini. Kutipan dana serta pertukaran kupon sumbangan sedang diusahakan. Selain itu, sumbangan terus juga boleh dilakukan ke akaun :

PEMBANGUNAN SEKOLAH RENDAH IBN KATHIR
NO AKAUN : 14032010020064 Bank Islam Malaysia Bhd

SEKOLAH RENDAH IBN KATHIR
NO AKAUN : 564221612554 Malayan Banking Berhad

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya akan dilipat gandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” Al Hadid, ayat 18



Bersempena dengan Ramadhan 1431H yang sedang kita lalui ini, suburkan fokus amal ibadah kita lebih-lebih lagi dalam mengeluarkan wang atau harta, mudah-mudahan jariah yang terbina itu menjadi bekalan amal kebajikan yang berterusan buat kita. Cari ruang-ruang mengisi redha serta keampunan Allah di setiap ketika. Institusi pendidikan untuk anak-anak ini adalah satu keperluan. Mari kita usahakan keperluannya bersama. Iftar dan ziarah kali ini meninggalkan tugasan yang ingin dipikul bersama. Semoga Allah permudahkan.

Tetamu pertama untuk Khidmat Musafir...

Pejabat HALUAN unit Rawang menerima tetamu pertama untuk Khidmat Musafir. Petugas mengatur selia kaunter untuk Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) di Masjid Wilayah yang bakal berlangsung Seminar Wanita dan pelbagai wacana Ilmiah dan kemasyarakatan pada 24 April 2010. Petugas yang tiba di Lembah Klang pada 23 April 2010, sehari sebelum acara berlangsung telah mengambil peluang untuk bermalam di pejabat HALUAN unit Rawang sebelum menyempurnakan tugas.

Menyediakan pakej menarik sesuai dengan keperluan para musafir, HALUAN unit Rawang juga menyediakan nilai tambah kepada anggota HALUAN yang bermusafir atau bertugas di Lembah Klang. Pakej-pakej ini akan dilancarkan pada hari perasmian pejabat tidak berapa lama lagi.

Penyediaan ini akan memudahkan logistik dan tumpuan anggota HALUAN apabila bermusafir di Lembah Klang. Lokasi pejabat HALUAN unit Rawang yang strategik mampu memberi kemudahan kepada semua anggota yang datang dari utara dan timur Semenanjung Malaysia.

Perkembangan kita adalah berkembangnya iman di dalam setiap hati.....


“Bukankah mudah menyandarkan kejayaan itu berdasarkan kerja yang dilakukan atau asset yang berjaya kita miliki atau ramainya masyarakat turut serta atau tersiarnya berita di dalam akhbar atau orang telah mula menyebut nama kita.” Lintasan fikiran yang sebegini sering bermain dan singgah di pinggir emosi yang kadang-kadang terlepas kawal. Tetapi di dalam penyampaian dan perbincangan seterusnya ditegaskan “….berkembangnya kita ini adalah dengan berkembangnya atau tertingkatnya iman individu atau anggota di dalam unit Rawang ini.” Sahabat ni macam boleh baca je apa yang difikirkan.”

Diperbincangan yang lain, kita disalurkan maklumat tentang puluhan program serta aktiviti yang mendatang dan bertembung dengan perancangan di Rawang… “…..fuh banyaknya aktiviti yang nak dibuat…”, lalu sahabat membalas ringkas….”banyak aktiviti tak pa….jangan tak da aktiviti….itu baru masalah.” 2010 adalah tahun penuh keramat, mengalir di dalamnya ujian dalam mengisi perjalanan HALUAN Selangor unit Rawang. Berkongsi dalam wadah yang tersusun dan memberi erti kepada ilmu dan mewarnai akhlak yang dibawa serta menghulur bakti di sisi yang perlu.

Mari kita warnai perspektif ini, agar dapat menyegarkan ukhuwwah, menoleh ke belakang untuk muhasabah dan memandang ke depan untuk terus berada di landasan yang benar. Mari melangkah penuh makna, sesungguhnya kita memahami bahawa matlamat mencari redha Tuhan adalah lebih daripada segalanya.