Showing posts with label Pejabat. Show all posts
Showing posts with label Pejabat. Show all posts

Bersama Ahli Parlimen Sik, YB Tuan Haji Che Uda Che Nik

Rawang, 28 jun 2011 – HALUAN Rawang telah melestarikan usaha berkongsi rasa dan memekarkan ukhuwah dalam masyarakat melalui sumbangan dan tanda ingatan ke kawasan parlimen yang dapat dikenalpasti secara berperingkat-peringkat. Gerak kerja kali ini telah memilih Parlimen Sik, Kedah sebagai permulaan melalui wakil rakyat kawasan itu yang juga ahli parlimen iaitu Yang Berhormat Tuan Hj Che Uda Bin Che Nik. Majlis ringkas itu telah berlangsung di pejabat HALUAN Rawang dan dihadiri oleh seluruh Jawatankuasa Kerja HALUAN Rawang. Turut hadir adalah Setiausaha Kerja HALUAN Pusat iaitu En Mohd Fadzil Bin Husin.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi HALUAN Rawang, En Ahmad Fisal Bin Md Salleh telah menyatakan hasrat HALUAN sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin bersama masyarakat menerusi apa sahaja ruang atau saluran yang ada dan sentiasa berusaha berkerja sama dengan kerajaan persekutuan, negeri mahupun ahli parlimen agar rasa kebersamaan serta ukhuwah itu sentiasa menjadi teras perhubungan sesama masyarakat. Usaha yang sewajarnya datang daripada segenap lapisan anggota masyarakat mengikut kemampuan masing-masing juga merupakan akhlak yang dituntut oleh Islam. HALUAN Malaysia sentiasa membuka ruang bekerjasama dalam pembangunan insan serta usaha khidmat kemasyarakatan yang memberi impak transformasi kepada kesejahteraan masyarakat umumnya dan kefahaman tentang Islam khasnya. HALUAN Malaysia amat berbesar hati atas kesudian Yang Berhormat menerima sumbangan untuk para pelajar miskin di kawasan Sik, Kedah.

Dengan menyifatkan usaha yang berteraskan memburu keredhaan Allah dan berterusan bekerjasama di peringkat mana sekalipun, Yang Berhormat Tuan Hj Che Uda menegaskan bahawa langkah HALUAN Malaysia menyuntik pendekatan sebegini amat dipandang tinggi . Sambil berkongsi keperitan dan cabaran dalam memberi khidmat, YB Che Uda yang terkenal dengan sikap tidak memandang siapa atau apakah latarbelakang masyarakat di parlimennya, telah memberi gambaran kehidupan masyarakat di kawasannya yang rata-rata membawa pengertian bahawa kerjasama seperti ini perlu diperbanyakkan lagi. Sifat suka bergaul dengan masyarakat tidak mengira apa latarbelakang telah menyebabkan beliau diterima dan pendekatan seumpama ini penting kepada mereka yang membawa sahsiah Islam. Dengan ucapan terima kasih dan berbesar hati, seluruh masyarakat di parlimen Sik khususnya para pelajar miskin yang bakal menerima sumbangan yang di sampaikan pada hari ini pasti akan kekal dalam ingatan.

Meluangkan masa hampir lebih 2 jam di pejabat HALUAN Rawang, YB Che Uda dan seorang pengiring sempat bertukar-tukar pandangan dan berbincang langkah yang lebih bersepadu dalam usaha menyalurkan apa sahaja bentuk bantuan yang amat dihajati. Tetamu kehormat kali ini telah dijamu dengan menu nasi hujan panas berserta lauk pauk yang menyelerakan. Menu istimewa ini telah disediakan oleh Ketua Unit Ekonomi merangkap Chef Kehormat HALUAN Rawang iaitu ‘Abang Long’.

Penglibatan bersepadu Jawatankuasa Kerja HALUAN Rawang bersama-sama HALUANITA Rawang dan Unit Pemuda serta Media HALUAN Rawang dirasakan begitu bermakna apabila program bersama Ahli Parlimen ini membuahkan hasil dan kami penuh percaya bahawa usaha ini tidak terhenti di sini dengan tekad untuk membina langkah penerusan yang dapat memberikan kebaikan kepada masyarakat dan memartabatkan kefahaman dan pengertian Islam dalam seluruh lanskap kehidupan.











Satu Lagi Mercu Tanda Di Rawang...


HALUAN Rawang terus mengorak langkah
mempromosikan kerja dan identiti kepada masyarakat.
Hasrat itu bakal diteruskan.
Aspirasi untuk bersama masyarakat dalam apa jua bentuk aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan ruang lingkup
-BERAKHLAK-MENDIDIK-BERBAKTI-.
Kita komited untuk bergerak kehadapan,
bersedia dan bangga untuk membantu.
Hasrat ini tidak dapat dijayakan tanpa bersama masyarakat.
Mudah-mudahan dengan mercu tanda ini,
akan memudahkan setiap yang mencari dan ingin bertamu
atas nama ukhuwwah dan persaudaraan sesama manusia.




Ziarah Tarbawi 3... S.R.I.K, semoga Allah permudahkan...


31 Ogos 2010 – Rawang. Ziarah Tarbawi disuburkan lagi dan kali ini HALUAN Rawang menerima kunjungan sahabat-sahabat dari KL Utara atau Gombak. Seperti biasa bersesuaian dengan Ramadhan Kareem yang berbaki beberapa hari, iftar dan solat bersama adalah wadah terindah dalam memupuk ukhuwwah dan kemesraan. Menu utama iaitu Nasi Ayam yang menjadi juadah kegemaran dan mudah serta ringkas bagi tetamu kehormat kali ini.

Resam bersahabat dan bersatu dalam jalan dan fokus yang sama, ada sahaja perkara yang mahu dikongsi. Itulah keajaiban kerja-kerja Islam. Melahirkan tautan hati yang sukar untuk dihuraikan andai ada yang bertanya. Gerak dan gaya bahasa yang penuh terdidik dalam menyemai rasa kebersamaan sekalipun buah bicara bertajukkan perkara umum namun selingan yang datang daripada lanskap sentuhan tarbawi yang amat terjaga dan sesiapa yang mendengar pasti tahu bahawa itu bukan perkara yang sia-sia.

Pertemuan ini difokuskan kepada Sekolah Rendah Ibnu Kathir(SRIK) yang memerlukan prasarana baru kerana dengan itu dirasakan akan dapat melonjakkan institusi pendidikan anak-anak kita ke tahap yang lebih selesa. Prasarana sedia ada telah dimanfaatkan dalam kapasiti maksima maka ruang baru perlu diteroka. Ini memerlukan belanja yang besar dengan perancangan sedia ada memutuskan untuk membina prasarana baru yang lebih luas sesuai juga dengan permintaan masyarakat yang ingin agar anak mereka dididik di SRIK.

Sasaran perbelanjaan adalah di sekitar RM1.5 juta. Atas laluan ini Jabatan Agama Islam Selangor telah meluluskan dan membenarkan agar sumbangan kewangan daripada masyarakat boleh dikutip dan disalurkan terus kepada SRIK bagi membangunkan keperluan yang murni ini. Kutipan dana serta pertukaran kupon sumbangan sedang diusahakan. Selain itu, sumbangan terus juga boleh dilakukan ke akaun :

PEMBANGUNAN SEKOLAH RENDAH IBN KATHIR
NO AKAUN : 14032010020064 Bank Islam Malaysia Bhd

SEKOLAH RENDAH IBN KATHIR
NO AKAUN : 564221612554 Malayan Banking Berhad

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya akan dilipat gandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” Al Hadid, ayat 18



Bersempena dengan Ramadhan 1431H yang sedang kita lalui ini, suburkan fokus amal ibadah kita lebih-lebih lagi dalam mengeluarkan wang atau harta, mudah-mudahan jariah yang terbina itu menjadi bekalan amal kebajikan yang berterusan buat kita. Cari ruang-ruang mengisi redha serta keampunan Allah di setiap ketika. Institusi pendidikan untuk anak-anak ini adalah satu keperluan. Mari kita usahakan keperluannya bersama. Iftar dan ziarah kali ini meninggalkan tugasan yang ingin dipikul bersama. Semoga Allah permudahkan.

Tetamu pertama untuk Khidmat Musafir...

Pejabat HALUAN unit Rawang menerima tetamu pertama untuk Khidmat Musafir. Petugas mengatur selia kaunter untuk Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) di Masjid Wilayah yang bakal berlangsung Seminar Wanita dan pelbagai wacana Ilmiah dan kemasyarakatan pada 24 April 2010. Petugas yang tiba di Lembah Klang pada 23 April 2010, sehari sebelum acara berlangsung telah mengambil peluang untuk bermalam di pejabat HALUAN unit Rawang sebelum menyempurnakan tugas.

Menyediakan pakej menarik sesuai dengan keperluan para musafir, HALUAN unit Rawang juga menyediakan nilai tambah kepada anggota HALUAN yang bermusafir atau bertugas di Lembah Klang. Pakej-pakej ini akan dilancarkan pada hari perasmian pejabat tidak berapa lama lagi.

Penyediaan ini akan memudahkan logistik dan tumpuan anggota HALUAN apabila bermusafir di Lembah Klang. Lokasi pejabat HALUAN unit Rawang yang strategik mampu memberi kemudahan kepada semua anggota yang datang dari utara dan timur Semenanjung Malaysia.