Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Satu pesanan SMS...


Di awal pengajian di IPT dulu, minda ini diberi lanskap menukilkan bahawa kita perlu untuk tahu dari mana kita datang, untuk apa kita dijadikan dan ke mana arah kesudahan kita. Waktu itu, wadah fikir sedemikian terlalu amat asing malah hampir merasai satu anjakan yang baru apabila kefahaman dan kesedaran Islam itu tersuntik. Perjalanan kita mengenali Islam tentunya melalui denai dan laluan yang terhampar pelbagai, namun yang penting adalah hasilnya harus menurut apa yang ditunjukkan Rasulullah. Memahami diri sendiri sebenarnya seolah mengembalikan kita ke dalam diri. Melangkah penuh yakin adalah berbeza dengan melangkah penuh ilmu. Mendepani kesedaran ini,... eh ! satu pesanan SMS daripada Pengerusi HALUAN Rawang diterima. Pesanannya yang berbunyi:

“Dalam membentuk ummah, kita perlu ada kekuatan peribadi. Hassan Al Banna ada menggariskan bahawa untuk pembentukan ummah, mendidik bangsa, mewujudkan cita-cita Islami dan membela prinsip-prinsip Islam, perlu kepada kekuatan jiwa yang besar, lebih besar daripada ummah yang ingin diperjuangkannya. Ianya perlu jelas dan berdiri atas 4 tunggak :

  1. Iradah Qawiyyah – tidak dapat diserang oleh kelemahan.
  2. Wafa’ Tsabit – tidak memilih atau khianat.
  3. Tadkhiyyah ‘Azizah – tidak dapat dihalangi oleh tamak dan kikir.
  4. Ma’rifatul Mabda’ – yang dapat melindungi daripada kesalahan, penyimpangan dan tipu daya.

Di atas 4 tunggak ini, ada kekuatan rohani yang mengkagumkan terhadap prinsip, pemikiran dan pendidikan atau tarbiah bangsa yang ingin dibangunkan. Bangsa manapun, jika hilang 4 tunggak ini, ia adalah bangsa yang lemah sekalipun bergelar Muslim".

Nota: Sebenarnya, entry asal adalah berbeza, tetapi apabila menerima sms tentang peringatan di atas, maka ada baiknya kita berkongsi ilmu …

Bicara Kedai Kopi...


Di ribuan ketika, apabila kita bicara soal kehidupan dan rencah mengharunginya, kita sering cuba membelok mencari bicara lain ataupun mungkin menjeling jambangan perhentian yang kita anggap selesa… Jika boleh seolah tidak mahu bicara soal bagaimana harus kita harungi hidup ini. Dalam hati mungkin tertanam; “Ah! Biar saja kehidupan ini berlalu semahunya, asal saja kita punya kekuatan pada diri, pasti mampu kita harungi sebaiknya.”

Segalanya berbunyi mudah, tetapi benarkah semuanya mudah?? Minggu ini kita ingin bicara langsung memperteguhkan bahawa di dalam kehidupan ini, kita wajib untuk punyai matlamat. Kita mulakan dengan matlamat awal. “Eh! Tak tau pulak ada matlamat awal… hmmm, kalau begitu mesti ada matlamat akhir. Awal dan akhir, macam lagu pulak… ok, ok, serius.” “Masih lagi nak belok sana sini? Kita kena kerap lagi bersarapan bersama kalau macam ni…”

Kita sama-sama meyakini yang kehidupan kita ini, setelah kita faham perihal keimanan, pasang dan surutnya dalam diri dan kepentingan ukhuwwah adalah aspek dakwah dan tarbiah. Seiring dengan semua itu, kita perlu punya matlamat! Benar, matlamat awal. Apa matlamat awal kita? “Wah! Tekunnya mendengar ? ‘Order’ lagi air tu…giliran saya belanja hari ni kan?” usik saya. “Roti telur boleh?...” "Boleh, apa salahnya...”

Matlamat pertama, perlu ada matlamat membentuk kesedaran dan kefahaman Islam. Segala yang kita lakukan, tidak mengira siapa sekalipun perlu ada matlamat ini. Sebagai suami, kita perlu ada matlamat ini paling tidak dengan isteri dan anak-anak. Sebagai isteri, perlu berkongsi matlamat ini dengan suami dan anak-anak. Sebagai anak, perlu berkongsi matlamat ini dengan adik beradik serta ibu dan ayah. Sebagai ketua jabatan, perlu ada matlamat ini bersama anak buah di pejabat. Begitulah seterusnya dalam hiraki apapun walau di mana pun kita berada. Ringkasnya, matlamat ini perlu kita kongsikan dengan semua yang bernama manusia. Menghayati konsep ini seharusnya tidak mempunyai batasan masa. Imam Hassan Al Banna pernah menyatakan agar matlamat ini diperlihatkan dalam semua hal. Semasa bekerja, bekerja bersungguh-sungguh dan rajin. Masa belajar, mesti tekun. Beribadah dengan penuh tawadu'. Berdakwah dengan penuh ikhlas dan jujur. Semasa bermain, bermain dengan bersungguh-sungguh. Maka masyarakat dapat menyaksikan Islam dalam kehidupan mereka. Firman Allah, dalam Surah Al Baqarah ayat 143:

“Begitulah Kami jadikan kamu umat pilihan supaya tindakan kamu
mempersaksikan kepada orang lain dan Rasul itu mempersaksikan kepada kamu
(tentang kecontohan Islam).”

Orang mukmin mesti mengambil contoh daripada Rasulullah saw kemudian mencontohkannya kepada orang lain. Ini bermakna semua tindakan kita menjadi contoh atau model kepada orang lain. Jika amalan kita tidak membawa kepada matlamat ini meskipun gigih dan mengorbankan wang yang banyak, maka ia dikira amal yang kecil kekuatannya. “Selama ni tak de ke suasana membentuk kesedaran dan kefahaman Islam ni??” sambil menyuap potongan roti telur terakhir. “Bagus soalan tu…”

Membentuk kesedaran dan kefahaman ini berbeza dengan memberi ilmu semata-mata. Ramai orang memiliki ilmu Islam tetapi tiada kesedaran dan kefahaman maka tinggallah hukum hakam atau teras ilmu itu tanpa dilaksanakan. Tanpa kesedaran dan kefahaman ini, mereka yang mempunyai ijazah dalam pengajian Islam pun akan hanyut dalam suasana di sekeliling mereka. Pembelajaran amat memerlukan didikan atau tarbiah, tanpanya hampir tidak hadir kesedaran dan kefahaman tentang Islam. “Hmmm… kritikal juga matlamat ni, nak kena ‘start’ ni... Dik, air suam satu! Rasanya kena mula dengan diri sendiri dulu ni…” “Eh! Takkan air suam je. Bila terdetik kata nak ‘start’, maka di situ hadir matlamat yang kedua.”

Matlamat yang kedua adalah; membentuk asas-asas Islam. Apa dia asas-asas Islam ? Itu adalah kumpulan-kumpulan kecil individu-individu Islam yang faham matlamat yang pertama tadi. Asas-asas ini perlu wujud di merata tempat. “Macam kita la ni… dik air suam tak sampai lagi” tingkah yang bersahaja. “Mmm…boleh, kita pun selalu berbincang hal ini, kita pun selalu bertandang ke rumah masing-masing dengan keluarga masing-masing dan kita pun berusaha untuk menyempurnakan matlamat pertama tadi. Takpe matlamat kedua ni kita sambung di waktu lain.” kata saya meredakan semangatnya.

Pagi itu dan pagi-pagi yang lainnya, jika tidak bersama keluarga, itulah bual bicara dengan sesiapa sahaja di kedai kopi... tak minum kopi pun. Berkongsi rasa yang mencetus percikan kreatif untuk kesedaran dan kefahaman Islam. Mudah-mudahan rasa untuk mempelajari dan memenuhi keperluan diri untuk bersama di jalan yang ditunjukkan Rasulullah itu mekar di hati setiap mukmin, lebih-lebih lagi untuk mereka yang pernah disentuh fikrah Islami.

Di senja itu kita berbicara... kita dan pemuda


Dipersembahkan tugas dan peluang untuk bersama para pemuda telah menyajikan lanskap irama yang berseni ribuan kerlipan yang mendidik. Selain diri rasa muda dan bertenaga, kita akan disentuh kepelbagaian aksi dan lonjakan hati yang mengujakan. Itulah resmi yang muda, sering ingin mencuba apa sahaja sekalipun penuh risiko. Memenuhi hajat mereka ibarat mencerap cahaya matahari… tidak akan pernah habis, hanya terpendam bila mentari melabuhkan jangkauannya. Mereka ini perlu dibimbing, membiarkan mereka ibarat membiarkan generasi selepas ini bagai unggas yang berterbangan tanpa arah dan tujuan. Mereka ada arah dan tujuan mereka sendiri, namun perlu kita pimpin dan bawa mereka bersama ke persada realiti.

Kita sering melemparkan kata sumbang apabila perlakuan salah atau tidak berpekerti terjelma daripada kelompok mereka yang muda ini. Andai segala usaha telah kita bentangkan bermula daripada kefahaman Islam mereka, praktik hidup Islam mereka, pendidikan roh yang mereka miliki, kelas-kelas pengajian Islam sebagai cara hidup juga telah kita sediakan, riadah jasmani mereka, hubungan dengan alam ciptaan Allah juga kita seimbangkan dan segala sudut kehidupan Islam telah kita hidangkan kepada mereka, maka kita juga akan penuh yakin sambil bermunajat agar hidayah Allah Azzawajalla dicampakkan kepada mereka.

“SubhanAllah…banyaknya yang mesti kita sampaikan kepada mereka.” hati lantas berbisik. Sudah tentu banyak yang perlu dilakukan kerana yang mahu dididik itu adalah hati dan hati serta segalanya adalah milik Allah… bukan milik kita.

Merenung Rukhsah... Mengukur Azimah


Duduk sepetang di halaman rumah selepas riadah, sambil membiar titis peluh kering sementara mentari melabuh tirai hari itu; mata fikir merenung situasi rukhsah diri dan mengukur azimah dalam kehidupan. Hati yang luhur mencari dan menitip kesedaran Islami perlu ada perencanaan dalam gerak hidup seharian. Apa itu rukhsah dan apa itu azimah ?

Kali pertama dimengertikan makna keduanya sekitar 18 tahun yang lalu, hati dan minda terus terdetik, sesungguhnya Islam itu lengkap dan meliputi tuntutan fitrah dalam kehidupan manusia. Di saat kita kelapangan akan terbentang peringatan dan di saat kita tersepit ditawar pula jalan keluar yang sifatnya pelbagai. Hari ini, kita seperti terpaksa duduk di tengah-tengah suasana atau sistem kehidupan yang tidak mengambil Islam atau tuntutan Ilahi dalam serba serbi tindakan dan ini juga menjadi halangan-halangan atau dharurah dalam kebanyakkan perkara penting dalam diri. Dalam situasi ini, tersedia kelonggaran yang diizinkan Allah atau rukhsah . Namun begitu, kita tidak sesekali wajar selesa dalam situasi rukhsah ini untuk selama-lamanya tanpa ada usaha memperkembangkan kesedaran Islam dan menggantikan kehidupan sekeliling yang tidak mengambil tuntutan Ilahi itu tadi untuk terus menjadi cermin kehidupan.

Dalam erti kata lainnya, kita tidak boleh berpada dengan situasi rukhsah malah wajib pula berusaha membangunkan kehidupan berteraskan kehidupan Islami sehingga ada kekuatan daripada seluruh aspek kehidupan. Sehinggalah hilang keadaan dharurah.

Apabila dharurah telah hilang maka menjelmalah azimah yang mesti kita ambil. Sayangnya azimah bukan manusia yang boleh kita sunting menjadi teman kerana ianya adalah ketetapan asal yang ditetapkan Allah untuk kita yang hari ini malangnya ia menjadi sesuatu yang asing dan memerlukan usaha menyeluruh daripada kita bagi mengembalikannya ke persada kehidupan.

Renungan pada rukhsah dan ukuran pada azimah terhenti tiba-tiba…”Ayah, kami dah siap nak ke surau, jom kita pergi…” Dalam hati berkata, “Mudah-mudahan anak-anak berjaya mengutip azimah dalam kehidupan mereka nanti dengan usaha dakwah dan tarbiah yang sedikit hari ini bersama teman-teman seperjuangan. Amin.”

Curahan rasa ...... atas makna peringatan dalam manifestasi hati dan minda..


Siapa di antara kita yang boleh dengan tidak kira angkuh atau rendah diri mengatakan bahawa dia adalah manusia yang tidak memerlukan orang lain untuk diperingatkan…..? Baik perkara yang bersendikan ukhrawi mahupun duniawi. Pasti tiada siapa yang mampu mengunci dakwaan itu. Jika pun ada, biarlah dia terjun dengan labu-labunya. Selagi kita di namakan insan, selagi itulah kita berhajat kepada rakan-rakan, sahabat handai, saudara mara atau sesiapa sahaja untuk ingat mengingati dan berpesan-pesan antara satu sama lain.

Di dalam Al Quran Allah berfirman dan menyentuh perihal peringatan ini di 136 tempat, merujuk kepada beberapa zaman dan perihal umat diketika itu. Demikian status peringatan dalam kehidupan manusia. Tiada yang kekal di bumi ini untuk kita banggakan dan kita hanya ibarat petani yang bertani di batas-batas waktu sebelum kembali kepada Allah. Dalam singkat waktu yang kita lalui, kita perlu fokus agar di penghujungnya berakhir dengan kesudahan yang baik. Kelaziman sering berbisik agar kita lunak dengan masa dengan tanpa sedar masa pasti meninggalkan kita. Dalam keterbatasan itu, kealpaan selalunya menjadi teman bagi insan, alpa pada resam kehidupan malah alpa kepada yang Maha Pencipta. Tari kehidupan kemudiannya bertaburan tanpa arah, tidakkah kita begitu berhajat pada ingatan ?

Memandang jauh dimensi kehidupan, pasti akan terlihat persisir kaki langit yang padanya ada fatamorgana yang hadir bukan menipu tetapi sekadar menjalankan tugas melengkapi hukum Tuhan. Di ketika itu, insan yang jernih mata fikirnya pasti terangkat hijab tipuan duniawi. Namun bukan mudah melayari keinsafan di saat minda penuh dirembes lumpur maksiat. Hati terhijab sakti kalam Ilahi. Segalanya memerlukan keteguhan dalam segala peri. Buat kesekian kalinya, paradigma itu sukar diubati. Jejak tinggalan rasul sentiasa mekar di mana-mana, cuma insanlah yang culas mengutip rangkap-rangkap teladan untuk diikuti. Mengapa culas ? Hanya hidayah yang memisahkan kita, memandang sketsa dari sudut dosa atau pahala. Terokalah insan disekeliling yang mampu memandu kita ke landasan penuh makna.

Hati dan minda menggalas makna dalam tindakan. Luhur keduanya memancar pasti laluan perjalanan insan Rabbani. Sesekali memandang ke belakang bisa meneguhkan perjalanan yang entah bila terhenti. Hati dan minda yang mencari Tuhan, mendamba Allah dalam seluruh pencarian akan penuh pasti langkah seterusnya. Meski diburu nafsu dan syaitan, paksinya teguh mencengkam perjalanan. Kuatlah hati, tajamlah minda, di setiap ketika insan terlalu berhajat mencurah rasa dalam memburu redha Ilahi. Kita terlalu berhajat pada peringatan daripada insan sekeliling kita agar hati dan minda terus fokus dalam perjalanan dan perjuangan yang masih ada baki. Berilah peringatan.

Pandangan manusia atau pandangan Allah ? Desakan manusia atau perintah Allah ? Sanjungan manusia atau redha Allah ?....


Melampiaskan rasa, menghambur ekspresi dalaman, tunjuk perasaan dan pelbagai resam menghambur ketidakpuasan hati adalah manifestasi pertembungan rasa yang mungkin semulajadi dan mungkin juga terancang. Apa pun, kedua-duanya membawa maksud, sesuatu perlu dilakukan, satu perubahan yang drastik perlu diusahakan, satu lanskap baru mesti dibentang kerana ianya adalah gelombang rasa yang perlu diiktiraf.

Sedari kecil, fenomena teriakan atau tangisan daripada seorang anak kecil adalah satu proses melampias rasa, menghambur ekspresi dalaman, tunjuk perasaan atau pertembungan rasa yang hadir lewat fitrah . Lalu bagaimana harus kita tangani ? Selalunya pujukan, kata-kata lunak, rangsangan positif sambil mendidik serta pelbagai kaedah yang bisa meredakan teriakan atau tangisan itu akan diusahakan. Tunjuk perasaan itu berlaku seawal usia insan rupanya atau mungkin sebaik sahaja keluar dari rahim ibu…, mungkin, hanya Allah yang tahu.

Fenomena semulajadi ini dipandang sinis apabila dibawa ke pentas kedewasaan. Melampiaskan rasa, menghambur ekspresi dalaman, tunjuk perasaan dan pelbagai resam menghambur ketidakpuasan hati yang merupakan manifestasi pertembungan rasa itu santunnya diertikan sebagai keganasan, penentangan, sikap yang tidak bijak dan bermacam-macam lagi. Mengimbau sejarah pasti kita terlihat siri pertembungan rasa yang bermacam agenda, rupa dan kesudahan, dan ianya tidak pernah terhenti selagi di hati kita masih punya rasa. Berhakkah kita menentang kezaliman, penindasan, ketidakadilan atau kekejaman yang nyata lagi diperbodohkan ? Semua kemungkaran wajib ditentang. Cuma bagaimana kaedah dan pendekatan yang harus kita gunakan bakal memberi sempadan kepada perjalanan kehidupan kita sebagai manusia. Pandangan mana yang mahu kita telusuri; pandangan manusia atau pandangan Allah ? Desakan manusia atau perintah Allah ? Sanjungan manusia atau redha Allah ?

Lanskap dunia hari ini penuh dengan rentak yang tidak terduga. Di sana sini penuh dengan pertembungan rasa yang menuntut penelitian yang tajam. Mereka yang berkuasa dan seronok dengan kuasa akan mempertahan kedudukan itu sekalipun ditentang oleh jutaan rakyat. Kemelut ini tiada kesudahan, namun sesiapa yang berkuasa wajib sedar bahawa ketentuan Allah itu mengatasi kehendak nafsu yang mereka miliki. Andai tidak diizinkan Allah untuk berada ditampuk kekuasaan, maka tersungkurlah mereka kehilangan kuasa. Jika dibiarkan berkuasa dalam kejelekan, akan binasalah rantau itu. Kemelut di Tunisia dan Mesir malah di Timur Tengah di saat ini mampu mengubah geografi politik dunia keseluruhannya. Mungkinkah gegaran rasa itu kesudahannya memberi nafas baru kepada dunia Islam yang kian mengerti erti ukhuwwah dan iman yang luhur ? Biar orientalis atau regim apapun yang bekerja sepenuh masa menjauhkan manusia kepada Islam mencatur rentak di pentas dunia, pasti tersungkur dipicis rencana daripada Allah dan ketentuanNya.

Ada yang berkata, “Sampai bila kita nak cerita perihal peningkatan iman dan ukhuwwah, dakwah dan tarbiyah serta semua yang lainnya dalam silibus sebagai muslim, sedangkan mereka di sana sini sudah mula turun ke padang menentang terang-terangan akan setiap kezaliman ??” Khabarkan begini, “Gelombang kebangkitan itu pasti berlaku, tugas kita kini adalah meningkatkan iman dan ukhuwwah, perluaskan dakwah dan tarbiyah serta memperkemaskan kerja-kerja Islami dalam kehidupan, seru pada kebaikan dan jauhi kemungkaran.”

Firman Allah, Al Anfaal ayat 46 :

“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Petua "Doktor" Hj Ibrahim di JDK2010, ILIM Bangi


Rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah boleh membuahkan kegeringan, sakit kepala, ‘migraine’ malah kemurungan yang ekstrim. Semua episod layar sengsara ini adalah menyakitkan. Hari ini penulis mendapat ilmu tatkala bertugas sebagai urusetia harian JDK2010 di ILIM Bangi. Semua kesakitan di atas boleh dihilangkan. Satu harapan yang ekstrim untuk kesakitan yang tidak kurang ekstrimnya. Bagaimana caranya ? Jawab seorang pakar, tutupkan suis kesakitan itu. Bertambah keliru sidang yang mendengar. Kesemua rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah ada suis rupanya. Tambah pakar tersebut, jika kita berjaya tutup suis itu maka hilanglah segala kesakitan.

Dimana suis rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah itu? Kesemua rasa yang berteraskan minda itu ada di minda kita. Orang yang mengalami sakit tersebut perlu mengimbau minda, mengimbas peristiwa, mencari detik terjadinya satu peristiwa yang menyebabkan minda kita terganggu sehingga kesakitan-kesakitan itu bertamu. Akibat rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah, maka lahirlah kesakitan-kesakitan minda yang tidak kurang ekstrimnya tadi. Satu peristiwa yang menyakitkan di suatu waktu dahulu dan tidak kita maafkan. Akibatnya, ada saraf yang sengsara melayani satu aliran di litar yang bisa meneutralkan dan tidak kunjung tiba. Litar itu adalah litar kemaafan. Hanya dengan aliran kemaafanlah, suis kepada rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah boleh tertutup.


Maka untuk meredakan rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah; dan menghindarkan kegeringan, sakit kepala, ‘migraine’ malah kemurungan yang ekstrim, berilah kemaafan atas apa sahaja yang mengguris perasaan. Berikan senyuman dan berlapang dada atas perkara yang dirasakan jauh daripada penerimaan hati. Besarnya ‘chemistry’ yang dijana daripada tindakan memaafkan orang lain. Kemudian itu, ada tips lain untuk yang sakit lutut… kita kongsi di ‘entry’ yang lain, sebab Tuan Hj Ibrahim, Pengetua Program JDK2010 dengan nada bergurau dah minta pengeras untuk ilmu seterusnya.

Mari Bina Tamadun Dan Peradaban.......


Peradaban manusia jika diperjuangkan berteras kaum, bangsa, keturunan, darjat atau status seseorang atau kelompok atau apa sahaja yang bersifat tidak penting serta terbatas perinya, pasti tidak akan kekal sebagai satu tamadun yang mampu memayungi manusia dan dilimpahi rahmat Ilahi. Seringkali apabila kita melihat tamadun manusia yang terlakar dalam sejarah peradaban kita umat manusia ini, memperlihatkan bahawa manusia itu sifatnya sentiasa berkembang tetapi di akhirnya runtuh kerana manusia juga.

Pertalian ini disebut Allah dalam Al Quran :

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi-generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu), telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, yaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka karena dosa mereka sendiri, dan kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain.” (Al An’am ayat 6)

Nyatalah episod kebinasaan itu adalah daripada tangan-tangan manusia. Andainya ada perkembangan yang kita bina dan tidak menurut spesifikasi yang sepatutnya, maka perkembangan itu ada kepincangannya. Sifat kita sebagai manusia ialah mencuba, mencuba dan terus mencuba. Apa yang ingin dicuba? Adapun setiap perkara yang berbentuk prinsip, yang datang daripada Al Quran dan As Sunnah, maka tidak perlulah kita mencuba……., laksanakan sahaja. Susunannya nampak mudah tetapi hanya mereka yang berwibawa dan berkeyakinan atau beriman sahaja yang mampu melakukan.

Kita selalunya ingin kepada banyak perkara, namun tidak semua akan kita perolehi. Agak keterlaluan andai manusia itu menganggap dirinya tidak bernasib baik dalam keadaan ianya tidak berbuat apa-apa dan tidak juga cuba menjadi hamba kepada Allah. Sinonimnya, jika seorang hamba menuruti kehendak tuannya, maka pasti akan diterima kehadirannya dan dijaga urusan kehidupannya. Konsep kehidupan menurut acuan yang disediakan Allah adalah amat perlu malah amat kritikal namun acuan tempelanlah yang penuh tipu daya selalunya dipandang indah oleh manusia. Mengapa ini berlaku ?

Di hadapan manusia sering ada persimpangan, satunya membawa kepada Allah dan yang lainnya memacu jauh daripada redha dan rahmatNya. Carilah teman yang mampu memimpin kita ketika alpa. Aqidah, fikrah, iman serta ukhuwwah perlu mantap dan selesai andai kita bercita membina peradaban dan ketamadunan yang telah ditunjuk Rasulullah. Peradaban dan ketamadunan yang selamat lagi menyelamatkan. Suburkan dakwah dan tarbiyah kerana itu tugas kita yang hakiki dan itulah yang membasahi satu ketamadunan yang penuh dengan limpahan rahmat Tuhan. Jika bukan kita yang membangunkannya maka siapa lagi yang kita harapkan.

Seruan Transformasi Dan Peningkatan di 2011......re-visit agenda 2010


Bicara perihal transformasi dan fokus pencapaian, kita tidak boleh lari daripada melihat peningkatan iman, amal dan kesejahteraan ibadah diri sendiri. Selamanya proses mendidik hati dan merangsang minda untuk bekerja dan ‘menyarung jersey’ sebagai muslim yang menyeru kepada perkara baik dan menegah perkara yang batil tidak akan berakhir sehingga nafas terhenti. Dekad ini 1432 Hijrah atau 2011 Masehi adalah lonjakan bagi menzahirkan ilmu Islam yang selama ini kita pelajari. Itu perkembangan yang baik untuk seruan transformasi pasca Mesyuarat Perwakilan HALUAN 2010.

Mengapa perlu lonjakan, transformasi dan perkembangan ? Apa perlunya genre ini ? Apa perlunya kita mengusahakan pelbagai pendekatan untuk merealisasikan segalanya dalam perspektif Islam kepada masyarakat? Bukankah itu kerja pemerintah atau yang mempunyai kuasa atau mungkin kepada sebahagian daripada kita sahaja……bukan semua? Dan banyak lagi cuitan nakal yang sebenarnya tidak berniat untuk bertanya tetapi sekadar ingin tahu ………… walaupun sebenarnya telah lama tahu ……. sungguh nakal.

Kita semua sedia maklum bahawa fokus utama adalah untuk meletakkan Allah di hati setiap manusia, kerana itulah dakwah dan kelangsungan daripada tarbiyah yang di bawa Rasulullah. Jalannya telah ditunjuk Rasulullah. Kaedahnya telah diterangkan Rasulullah. Konsepnya telah dlaksanakan Rasulullah. Malah natijahnya telah ada dalam lipatan sejarah. Semuanya wajib kita kutip, terjemah dan laksanakan dengan tersusun………..dan semua ini adalah kerja serius. Ianya menuntut kesungguhan yang di luar kebiasaan.

Benar, peribadi hebat dan luar biasa tidak lahir dengan mudah. Tetapi, aspek hebat dan luar biasa ada di dalam diri semua manusia, cuma perlu berterusan mencari kaedah menzahirkannya dan meminta pada Allah agar dapat menyumbang untuk Islam. Beribadah sendirian dan tidak berbuat dosa adalah satu kemestian, cuma teruskan langkahan dengan bersama-sama berfikir bagaimana orang lain boleh turut sama seperti itu. Langkah inilah yang menjadikan individu muslim itu hebat, kerana ia menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara yang berdosa…….berdakwah la tu !

Benar, acara berskala besar seperti perhimpunan Lifeline4Gaza, konvensyen antarabangsa dan lain-lainnya terkadang tidak mampu mengubah hati-hati masyarakat namun ruang itu perlu diisi dan yakinlah bahawa acara itu mempunyai impaknya yang tersendiri dalam usaha dakwah dan tarbiyah yang sifatnya menyeluruh walau di mana sahaja. Adakah setelah kita menganjurkan acara berskala besar, kita dikira telah melakukan transformasi…………jawapannya tidak. Itu sekadar acara. Lantas apakah transformasi atau perubahan yang kita inginkan ini ?

Transformasi atau perubahan yang amat kita hajatkan adalah peningkatan iman di kalangan pendukung fikrah Islam. Apabila aspek itu tertingkat, maka akan berubahlah cara bekerja, pendekatan berfikir, fokus bicara, gerak kehidupan malah segala-galanya. Hanya peningkatan itulah yang membolehkan ribuan projek, aktiviti dan gaya kehidupan berubah dan akan mengalami transformasi. Menyebutnya mudah namun melaksanakannya memerlukan keazaman yang tinggi daripada semua di antara kita. Kita mempunyai kelemahan tersendiri yang secara berterusan mesti dibaiki dan dihindari namun dalam masa yang sama kita perlu bantu kerja-kerja Islam yang semakin hari semakin segar tumbuh bagai cendawan pasca hujan. Tidakkah kita tersedar bahawa kita mesti berazam untuk menjadi sebahagian daripada perubahan dan transformasi ini.

Ayuh, kemaskan tekad, hadirkan keazaman dan susun gerak kerja harian kita di tahun 1432 Hijrah atau 2011 Masehi ini. Rencanakan sumbangan dan keterlibatan kita di tahun ini, biar lebih daripada tahun lalu. Catat perencanaan itu, ikuti perkembangan apa yang kita catatkan. Andainya kita rasa sukar untuk melaksanakan, berkongsi dengan sahabat, pasti ada jalan sokongan yang pelbagai walaupun kadang kala tambah mengelirukan. Namun di situ akan hadir ukhuwwah yang nantinya menyelesaikan banyak perkara sehingga terbina iman yang dihajati.

Tarbiyah Sang Kuda..........


Sesiapa yang pernah menunggang kuda, pasti terdetik akan kebesaran Allah. Makhluk kejadian Allah ini penuh keistimewaan yang menakjubkan dalam alunan lariannya, tidak kiralah sama ada ‘trot’, ‘canter’ mahupun ‘gallop’. Seni larian ini sedemikian istilahnya dan diguna pakai di seluruh dunia apabila sang professional mengendalikan kelas. Apa istimewanya makhluk Allah yang satu ini? Ada sesuatu yang ingin dikongsikan.

Jika kali pertama kita duduk di atas pelana kuda dan ada rasa resah dan gundah gulana maka gelodak perasaan kita itu akan dirasai oleh sang kuda. Maka atas makna bergurau, sang kuda akan cuba menjatuhkan kita dan kita pasti tersungkur……..satu tabiat yang diluar jangkaan. Maka kita tiada pilihan selain bertenang dan berfikiran positif sentiasa sewaktu berada di pelana kuda. Arahan zahir yang ingin kita berikan mesti selari dengan kehendak hati, maka sang kuda akan membantu gerak hati kita.

Jurulatih hari itu menambah, jika di medan perang, satria atau penunggang kuda mempunyai kehendak atau naluri yang selari dengan kuda yang ditunggangnya dan di situ akan terlihat ketangkasan dan aksi yang mencapai sasaran. Bukan sekadar itu, alunan larian akan menguatkan tulang belakang, pinggang dan segala saraf yang bersangkutan kepada si penunggang. Patutlah Rasulullah menganjurkan untuk kita pelajari menunggang kuda. Selain menyihatkan, ia menguji dan melatih minda dan fokus dalam setiap perkara.

Menunggang kuda memaksa kita sentiasa bersedia, memacu kita untuk berlapang fikiran, mengundang fokus yang tepat dan merencana diri agar tidak tersembam atas kelalaian yang melintas. Begitu, fokus yang perlu kita beri sewaktu bersama sang kuda. Fokus ini jika dibawa dalam perjalanan kehidupan, akan menjadikan kita penuh motivasi, sentiasa bersedia, berpandangan jauh dan melihat tajribah sebagai sempadan yang nyata. Di antara kita tentu menyedari bahawa sedetik dalam alpa pasti mengundang palitan hitam dalam layar kehidupan.


Didikan sang kuda ini sesuai untuk pemimpin dalam membina seni berkepemimpinan. Di situ ada seni memugar rasa, memperhalusi gerak langkah, menyusun minda yang kreatif dan bersiap dalam pelbagai situasi. Bicara ini merujuk kepada sang kuda yang terlatih………tidak perlu kita melihat perihal sang kuda yang liar……….kerana tabiatnya mampu merempuh tembok batu apabila bergurau. Terfikir juga betapa istimewanya manusia yang mampu menjinakkan sang kuda yang liar itu.

Hari ini kereta yang kita pandu pasti tidak seperti naluri sang kuda, sekali pun kita menumpahkan seluruh fokus, kereta kita masih gagal membaca apa yang sedang kita fikirkan. Ada didikan yang tersendiri apabila bersama sang kuda………….ia sentiasa membaca naluri kita yang kadang-kadang gagal diselami oleh manusia sekalipun ahli keluarga , sanak saudara dan sahabat handai. Maka jangan pula selepas ini kita berpakat tidur di kandang kuda kerana terlalu ingin difahami seseorang. Medan kita masih bersama manusia, bukan bersama kuda.

Ukhuwwah dan kepemimpinan.......

Presiden HALUAN di resepsi walimatul urus Bdr Tasik Puteri Rawang
Pimpin, , memimpin, dipimpin, pimpinan, pemimpin dan kepemimpinan berasal daripada tunjang kata asal iaitu pimpin. Menyebutnya mudah namun membawa tanggungan atau bebanan yang berat tidak terperi. Dalam diri insan telah terpahat unsur ini yang tidak dapat dihindari. Paling tidak, tanggungjawab ini adalah kepada diri sendiri. Atau mungkin juga kepada tanggungan seperti ibu, bapa, isteri serta anak-anak serta sesiapa sahaja yang terdekat. Atau mungkin kepada kumpulan kecil. Atau mungkin juga kepada organisasi yang besar. Atau mungkin kepada masyarakat, orang ramai atau Negara.
Firman Allah, “Tiap-tiap diri bertanggung jawab atas apa yang telah diperbuatnya,” (Al Muddatsir ayat 38).
Jelas bahawa setiap daripada kita adalah pemimpin kepada diri kita sendiri. Paling tidak kita akan memimpin diri kita ke jalan yang membawa redha Allah. Itu bukanlah fenomena mudah apatah lagi apabila memimpin sebuah organisasi yang besar dan penuh
tanggungjawab. Bimbang andai tidak termampu memikul tanggungjawab adalah jatidiri yang mulia. Namun tidak kurang juga yang mencari-cari dan meminta-minta tanggungjawab itu dan kebiasaannya mereka ini mempunyai agenda kepentingan mereka sendiri.
Firman Allah,” Apakah manusia mengira, bahwa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggungjawaban)? “ (Al Qiyaamah ayat 36)
Sisi yang menakutkan adalah apabila dipertanggungjawabkan di hadapan

Allah kelak. Tidak mengira peringkat umur, asal sahaja pemimpin,
inilah kebimbangan yang men
gandungi seribu asas. Namun seseorang perlu menjadi pemimpin dan kepemimpinannya amat ditagih. Pemimpin sebegini selalu memohon petunjuk daripada Allah, setiap kata diiringi solat sunat
yang tidak putus-putus. Tidak mudah mengeluarkan arahan tetapi kata dan nasihatnya adalah apa yang disabda Nabi dan diperintah Allah. Misi dan visinya jelas disetiap langkah.
Di kalangan kita ada ramai pemimpin. Bila tiba
saat dan ketika, jiwa pemimpin itu perlu zahir. Kerana di situ ada peranan yang tersedia. Langkah ummah hari ini semakin menjurus, kita tidak punya banyak pilihan melainkan ke syurga. Bersamalah kita dengan pemimpin yang kita yakini mampu memimpin kita kepada redha Allah. Bergandinglah dengan mereka kerana banyak ilmu yang mampu kita pelajari apabila bersama mereka. Pemimpin yang bijak kebiasaannya adalah pendengar yang sabar, mampu menelan teguran dan menghamburkan idea dan pendapat yang bernas. Pemimpin yang soleh tidak pernah minta disanjung malah sentiasa mesra bersama
sesiapa sahaja.
Tidak perlu melihat sekeliling, mencari susuk tubuh mana yang diperkatakan kerana kesemua keterampilan itu seharusnya menjadi keperibadian kita sebagai pemimpin diri sendiri.

Pengorbanan Prasyarat Kemenangan


Perutusan Bersempena Aidil Adha 1431H



Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar!

Alhamdulillah syukur kepada Allah S.W.T. kerana pada tahun ini kita ummat Islam di seluruh dunia dapat menyambut satu lagi perayaan di dalam Islam iaitu Aidil Adha. Perayaan ini seharusnya di sambut dengan penuh kesyukuran, kehambaan dan keimanan kepada Allah S.W.T.

Hari raya Aidil Adha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.

Anas bin Malik r.a berkata : Nabi S.A.W. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya perayaan ini mereka (bergembira) pada waktu zaman jahiliah.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidil Adha dan Aidil Fitri.” (Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.)
Perayaan ini merupakan kesinambungan perayaan-perayaan yang disambut sebelum zaman nabi Muhamad S.A.W. Namun, kehadiran Islam telah membentuk satu sambutan perayaan yang berteraskan keimanan dan perhambaan kepada Allah S.W.T. semata-mata.
Ibadah korban dilakukan bersempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah Allah. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka Allah telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu.

Di sebalik sirah ini, dapatlah kita memperolehi suatu gambaran berkaitan suatu hakikat pengorbanan yang tulen, ikhlas dan bersungguh-sungguh hanya mengharapkan keredhaan Allah S.W.T. Inilah hasilan daripada keimanan yang hidup dan mampu melaksanakan suatu perintah Allah S.W.T. tanpa ragu-ragu.

Pengorbanan sebegini harus kita jelmakan di dalam kehidupan seharian di dalam usaha menjadikan seluruh kehidupan ini sebagai medan berubudiyah kepada Allah S.W.T.
Pengorbanan seseorang mukmin yang dilakukan sama ada dari aspek wang ringgit, harta, tenaga, buah fikiran, masa dan sebagainya perlu dilakukan tanpa rasa terbeban dan terpaksa. Keikhlasan di dalam melakukan pengorbanan akan dihiasi dengan perasaan senang hati, jiwa yang bahagia serta hati yang tenteram. Baginya, pengorbanan itu adalah suatu kenikmatan dan kemanisan dalam proses penghambaan kepada Allah S.W.T.
Ini sejajar dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah (9) :111)


Sesungguhnya, di dalam menggapai kemenangan, proses perlaksanaan pengorbanan sangat-sangat dituntut. Pengorbanan merupakan prasyarat kepada kemenangan. Pengorbanan yang ikhlas dan mendambakan keredhaan Allah S.W.T. akan disusuli dengan bantuan dan pertolongan Allah S.W.T.

Akhirnya, kemenangan itu akan disambut dengan laungan takbir membesarkan Allah S.W.T. dan ucapan tasbih memuji keagungan Allah S.W.T. Marilah kita pertingkatan pengorbanan kita dalam melaksanakan tuntutan ubudiyah ini dengan harapan hanyasanya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Salam Aidil Adha buat seluruh ummat Islam di seluruh dunia dan khususnya di Malaysia.
Semoga ruh pengorbanan yang sejati akan menjelma pada setiap tindakan seharian kita. InsyaAllah


Dr Abdullah Sudin Abd Rahman
Presiden HALUAN Malaysia

10 Zulhijjah 1431H
17 November 2010


Editorial

Benarkah 'Complaint' itu hak kita.........


‘Complaint’ atau aduan adalah ceritera biasa dalam dunia hari ini. Dimensi itu dianggap hak bagi sesetengah orang. ‘I have the right to complaint’ atau Saya ada hak untuk membuat aduan. Itu adalah hak asasi manusia, katanya. Industri perkhidmatan adalah karpet merah kepada fenomena ini. Mengapa kita mengadu atau ‘complaint’ ? Tentu sekali atas rasa tidak puas hati. Orang yang berpuas hati juga akan ‘complaint’. Mengadu bukan kerana apa, hanya kerana ingin melaksanakan ‘hak’. “Tak puas kalau tak ‘complaint’. Maka jadilah kita masyarakat yang suka ‘complaint’ dan yang kena ‘complaint’ pula akan bergegas menyelesaikan aduan yang pelbagai itu. Benarkah kita harus sentiasa ‘complaint’? Apakah kita akan mulia apabila membuat aduan ?

Di satu sudut yang lain, sekiranya kita memberi maka kita akan dianggap mulia, dan orang yang menerima akan pasti memuliakan pemberian itu. Hampir tidak pernah kita berjumpa orang yang menerima ‘complaint’ atau membuat aduan terhadap pihak yang memberi. Jika pun ada ‘complaint’ atau pun aduan, itu mungkin kes-kes yang terpencil dan mempunyai latarbelakang sebelumnya.



Berhadapan dengan urusan dunia pada hari ini sering menerbitkan rasa ketidakpuasan hati dan ini sebenarnya mendorong kepada ‘complaint’ atau aduan. Namun persoalannya, untuk berasa puas apabila berhadapan dengan sistem yang tiada akhlak Islami, pengendali yang jauh minda Islami, suasana yang hampir tiada rentak Islami dan serba serbi yang tidak ada kecenderungan kepada Islam yang selamat lagi menyelamatkan, tentulah ibarat mengharap telur ayam tetasnya itik atau ibarat mengharap manis pada yang pahit. Justeru, ‘complaint’ atau aduan terhadap fenomena itu sebenarnya ada sisi negatif dan positif malah menuntut kita pula untuk merubah keadaan yang sekian lama terpahat. Di ketika sistem Islam atau kehidupan Islam bukan agenda utama manusia maka tentu sekali pelbagai perkara akan menjadi tidak kena.

Mungkin sudah tiba ketikanya kita perlu ‘complaint’ atau buat aduan terhadap diri kita sendiri kerana culas menampilkan akhlak Islami, tidak berkehendak menyampaikan Islam atau berdakwah, tidak bijak mencerna fikrah atau kefahaman Islam yang kita ada ke dalam dimensi kehidupan kita yang sementara ini. Mungkin sudah sampai waktu apabila berhadapan dengan apa sahaja kepincangan, kita perlu bertanya dahulu adakah kepincangan itu hasil daripada sistem yang pincang pada hari ini atau akhlak Islami yang gagal bersemi di dalam hati. Usahlah mengharapkan kesempurnaan daripada sistem yang bukan datang daripada Al Quran dan As Sunnah. Begitu juga kita, seandainya dakwah dan tarbiyah itu bukan sebahagian daripada agenda kehidupan maka kitalah yang tidak kena, maka ‘complaint’lah kebejatan ini dan mengadulah kepada Allah Azzawajal agar kita diberi jiwa yang besar, mudah menerima teguran daripada sahabat dan bercita-cita besar ; kerana Islam dan ummahnya perlu mengambil semula peranan yang telah sekian lama ditinggalkan. Mulakan, kerana resam kejayaan hampir tiada seandainya langkah pertama hanya sekadar di bibir. Wallahualam.

Orang Muda Jadilah Pemburu....bukan diburu


Orang muda biasanya bertenaga dalam serba serbi perlakuannya, mindanya, kemahuannya terhadap apa sahaja, tindakbalas atas tugasannya atau kerjanya atau tanggungjawabnya. Kebiasaan ini ada di mana-mana, tidak mengira budaya apa yang dibawanya, agama apa yang diyakininya malah walau siapapun orang muda itu. Asal sahaja muda, merekalah bual bicara kita kali ini.

Acap kali kita mengharapkan bahawa golongan muda ini berperanan membantu aktiviti teras yang dirancang dan dibuat oleh golongan yang ‘tidak lagi muda’. Memang itulah yang kita harapkan namun perlu dielakkan mengharap sepenuhnya kerana mereka juga ada peranan yang perlu dijalankan. Apakah peranan golongan muda ini ? Peranan mereka terlalu banyak dan teramat penting. Kesejahteraan Negara, keharmonian masyarakat, kekuatan ummah malah segala-galanya akan ada palitan sentuhan mereka. Istimewanya orang muda ini; lebih-lebih lagi yang mempunyai asas fikrah atau kefahaman Islam; mereka ini selalunya diam tetapi penuh isi. Apabila diberi amanah atau tugasan, mereka akan segera berfikir dan menumpah penuh kreatif dalam gerak kerja. Seharusnya begitu mereka ini.

Kelesuan mereka terkadang bukanlah kemahuan mereka, tetapi daripada hasil didikan yang mereka resapi. Didikan dalam sistem kehidupan hari ini terlalu memanjakan golongan anak-anak dan remaja sehinggakan mereka tidak terdedah dengan ‘survival’ atau ikhtiar hidup yang kreatif dan berlumba mencipta sesuatu. Jadilah mereka selaku generasi pengguna yang tegar, taksub serba serbi terhadap aplikasi yang bertabur di dalam pasaran. Bukanlah salah mereka menjadi pengguna, tetapi alangkah untungnya andai mereka mencurahkan fikir membangun atau membentuk sesuatu yang baru untuk Islam, ummah dan Negara.

Lalu bagaimana mahu dididihkan tenaga mereka ini ? Sediakan pentas sebanyak mungkin, saksi dan pimpin mereka mengharungi idea mereka. Berikan amanah lantas pantau perlaksanaannya. Beri input fikrah secukupnya agar apa yang mereka curahkan akan menjadi mesra fikrah, dakwah dan tarbiyah yang dibawa. Seperti yang kita fahami, kerja-kerja Islami itu perlu seiring dengan dakwah dan tarbiyah. Begitulah juga golongan yang muda, mereka perlu kita seiringkan dalam setiap gerak kerja. Perbanyakkan musyawarah dengan mereka agar mereka tersedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada kehidupan Islami yang sedang kita lalui. Fahamkan kepada mereka bahawa kehidupan hari ini sebenarnya terlalu jauh daripada praktik Islami yang ditunjukkan Rasul. Ertikan kepada mereka bahawa telah sampai masa untuk kita ‘transform’ segala yang ada menurut cermin Islami. Jadilah pemburu amal kebaikan serta pahala dan jangan sekali-kali diburu kemungkaran serta dosa yang meruntuh rentak muda.

Jika ada idea atau cetusan minda daripada golongan muda, selalunya reaksi golongan yang ‘tidak lagi muda’ akan pelbagai. Sekalipun kita tiada hak menyusun santun perilaku sesiapa sahaja, namun jika kita ada cita-cita membina golongan muda yang kreatif dan berinovasi, bimbinglah mereka, pimpinlah mereka. Sambut idea golongan muda persis ianya sepenting idea Perdana Menteri. Kebiasaannya, golongan muda yang ada sentuhan kefahaman Islam yang menyeluruh akan berhati-hati dalam memberi idea. Cuma, jika terlalu berhati-hati maka kita tidak akan mendengar idea daripada mereka. Didik agar mereka serba serbi kritis pada tempatnya, berlumba mencipta apa sahaja yang mendatangkan pahala atau cerdas ruhi dan sentiasa bersedia melaksanakan apa sahaja kerja-kerja Islami.

Kembali melihat perihal pemburu dan yang kena buru; usahakanlah menjadi pemburu pahala agar kelak nanti bercambah idea dan kesungguhan dalam setiap pekerjaan. Elakkan menjadi sasaran buruan kerana kita akan penat menepis perkara yang merugikan sedang kita sepatutnya kepenatan mencari taqwa agar nanti menjadi sebab dipilih Allah ke syurga Firdausi.

Syawal...tabur ukhuwwah dan buang mazmumah persahabatan

Di bumi Malaysia ini, Syawal adalah bulan menabur ukhuwwah, membuang mazmumah persahabatan dan mencerap amalan berkongsi rezeki di mana yang boleh. Meriah dan ceria seandainya amalan tradisi kita di bulan Syawal ini mampu disuburkan di bulan-bulan yang lainnya. Sesungguhnya amalan sebegitu dianjur Rasulullah asal saja kita tidak beriktikad bahawa ianya hanya perlu dilakukan di bulan Syawal sahaja.

Menabur ukhuwwah adalah seni yang perlu dipupuk. Menabur ukhuwwah keranaAllah mengundang lebih usaha kerana di situ ada dakwah dan tarbiyah serta fikrah yang jelas. Kemungkaran juga menagih keakraban di antara pelakunya. Maka ukhuwwah dan ikatan perkenalan atas sesuatu tujuan mempunyai perbezaan yang jelas ketara. Kita ada pilihan apabila merenung perkenalan kita dengan sesiapa sahaja. Pilihan untuk berukhuwwah atau sekadar ikatan perkenalan yang biasa. Dipandang daripada sudut tanggungjawab, menghimpunkan kenalan dilingkungan ukhuwwah adalah lebih dituntut. Sentiasalah kemaskini kenalan kita ke tahap yang membolehkan untuk kita berukhuwwah dengannya.

Mazmumah persahabatan mempunyai pelbagai sisi. Menyediakan ruang untuk bermaafan dan membuang mazmumah yang membunuh persahabatan atau ukhuwwah adalah penting. Kita juga punya pilihan untuk membuang mazmumah ini dan disirami dengan kesegaran ukhuwwah. Mazmumah persahabatan ini adalah parasit yang mampu meruntuhkan persahabatan. Penyingkiran awal mazmumah persahabatan adalah usaha terbaik dalam memelihara ukhuwwah. Apa mazmumah persahabatan? Apa sahaja yang boleh mencacatkan persahabatan, itulah mazmumah persahabatan.

Memberi makan adalah sifat mulia, hati akan mudah bertaut dengan suapan. Sajian makanan tidak penting namun bersama-sama mengadap rezeki itulah lebih terkesan dalam hati. Bersama melayar ukhuwwah akan menerbitkan ruang kebersamaan yang mantap dan sukar digugat.

Hampir tiada agenda lain di hujung minggu bulan Syawal ini selain menabur ukhuwwah, membuang mazmumah persahabatan dan berkongsi rezeki. Hadirlah siapapun untuk ‘menumpang kasih’ di Syawal ini, pasti bersahut dan berbalas rasa hati. Melempar pandang akan matlamat ketaqwaan yang dicari, kita sebenarnya mampu mewujudkan suasana-suasana yang membentuk ukhuwwah. Mudah-mudahan ianya tidak bermusim dan kekal bersemi seruan-seruan tarbawi di setiap jamuan dan ‘open house’.

Semalam Saya Termotivasi...


Kita bangun daripada tidur, kita terus mengucapkan pujian kepada Allah atas nikmat tidur dan diberi kesempatan mencari ketakwaan dan bernafas di subuh yang indah. Di setiap waktu solat lima kali sehari semalam, kita bersegera melaksanakannya. Kita amalkan setiap kali memulakan apa sahaja pekerjaan dengan nama Allah kerana kita tahu Dialah yang menjadikan kita. Kita tekun bekerja, mencari rezeki yang dijanjikan Allah untuk kemaslahatan keluarga kerana kita suka agar keluarga kita selesa seadanya diketika kita ditakdirkan bersama di dunia ini. Kita suka belajar, mendidik diri dan ahli keluarga malah teman-teman baik yang Muslim mahupun non Muslim akan apa yang Islam anjurkan. Di setiap ketika, sinaran daripada praktik Islami itu ada di segenap sudut perlakuan kita, isteri kita, ahli keluarga kita, teman-teman kita dan pada sesiapa sahaja. Benarlah Islam itu adalah satu cara hidup. Praktik kehidupan ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah rupanya.

Menyeru kepada praktik Islami mengundang terjahan cabaran yang bermacam rupa. Seharusnya, sebagai individu yang mengaku Islam, kasih dan sayang kepada Rasulullah dan inginkan syafaat kekasih Allah itu akan mudah melaksanakan praktik Islami di tiap ketika. Bolehkah kita lakukan bersendirian atau hanya dilingkungan keluarga kita sahaja? Kita tak ganggu orang lain dan orang lain pasti tak ganggu kita. Tetapi, kita tidak seharusnya lupa, kerana Rasulullah tunjukkan bahawa di dalam kehidupan Islam itu ada dakwah dan tarbiyah. Dua gandingan yang tidak boleh dipisahkan.

Merencanakan praktik Islami dalam kehidupan mempunyai kecenderungan, sama ada mahu atau pun sebaliknya. Merencanakan praktik Islami secara bersama atau lebih daripada satu keluarga atau berjamaah atau dalam satu komuniti juga tersedia kecenderungan mahu atau pun sebaliknya. Tetapi, untuk melaksanakan dakwah dan tarbiyah, ianya memerlukan kepada praktik Islami dalam kehidupan serta bersama-sama dengan mereka yang juga mahu melaksanakan dakwah dan tarbiyah. Tanpanya kita akan mudah tergelincir dan dilarikan, ibarat kambing yang bersendirian, akan mudah dicekup pemangsa berbanding yang berada dalam gerombolan kawanan mereka.

Untuk itu, kita wajib memotivasikan diri di setiap ketika agar kesegaran keinginan itu bertahan sehingga subuh yang satu lagi. Kebolehan kita memotivasikan diri adalah amat kritikal. Keberkesanan cerminan ini ada rangsangannya yang tersendiri. Cermin diri yang satu ini, mengungkap kekuatan yang luar biasa. Namun semua itu adalah dengan keizinan Allah. Motivasi kebiasaannya dierti sebagai dorongan yang mampu melonjakkan kita ke hadapan. Namun perlu ingat, memotivasikan diri juga perlu kepada sahabat agar nanti tidak beralih kepada panjang angan-angan dan kekaburan minda yang menerawang. Sesungguhnya kita mampu memikul apa yang kita fikirkan sukar kerana dakwah dan tarbiyah itu adalah tanggungjawab dan bukannya pilihan laksana memandang cermin.

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo`a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir". Al Baqarah, ayat 286

Perkongsian Yang Dirasai....cetusan Hilal Asyraf di Langit Ilahi 20 Sept 2010


Masihkah ada jiwa yang mengaku Islam tidak tahu atau sedar bahawa Islam itu adalah cara hidup ? Atau, masihkah ada yang keliru bahawa Islam itu ialah tentang bagaimana kehidupan manusia itu perlu dilalui di dunia ini sebelum menemui akhirat ? Mudah sahaja jawapannya; sesungguhnya tidak tahu dan kekeliruaan itu masih bermaharajalela dan menjadi fenomena biasa.

Hari ini jika kita datang dengan sahsiah dan keperibadian yang baik santun seperti yang ditunjukkan Islam, maka lontaran biasa yang akan kita dengar ialah; “Baik budak ni, sejuk perut ibu yang mengandungnya. Mesti daripada aliran agama atau mesti budak UIA (sekadar contoh). Apabila kita datang dengan seorang isteri yang solehah, bertudung, aktif serta positif terhadap program berbentuk Islami saban ketika, maka lirikan biasa masyarakat akan mula berkata; “Bagus mereka ni, rajin ikut program Islam. Mesti kedua-duanya daripada aliran Islam dan ada ikut kumpulan mana-mana ni.” Seterusnya, apabila kita datang dengan isteri yang solehah dan anak-anak yang persis akhlak mereka seperti ibu dan bapanya, maka intonasi lumrah ialah; “Mesti mereka ni ada ikut mana-mana jemaah atau kumpulan Islam seperti HALUAN, JIM, ISMA, ABIM, PAS dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama) yang menitik beratkan soal Islam kepada anggota mereka.” Kaitan demi kaitan akan terus meluncur.

Apabila ada yang membuat cetusan bahawa Islam itu bukan program kelab atau persatuan maka tegasnya, benar………. Islam bukanlah sekadar program kelab atau persatuan. Malah ianya satu letak banding yang tidak begitu kena kerana Islam itu adalah cara hidup dan bukanlah program yang hadir apabila kita hadir di ketika program kelab atau persatuan. Kita faham niat cetusan itu sekadar mencabar agar mereka yang hadir program Islami anjuran mana-mana pertubuhan agar hadirkan juga ilmu yang diperolehi sewaktu program Islami itu ke dalam realiti kehidupan kerana di situlah medan yang sebenarnya dan jangan ianya terhenti selepas tamat sesuatu program.

Di bumi Malaysia ini, apa sahaja kerjasama, perpaduan, perkumpulan dan permuafakatan adalah dibenarkan oleh undang-undang dan pemerintah memandang baik usaha itu. Asal sahaja mereka berdaftar dan dijelaskan matlamat mereka, maka ia akan menjadi entiti yang sah. Maka berdaftar sebagai kelab, persatuan atau entiti yang sah adalah amat penting sebelum melangkah lebih jauh. Persoalannya, layakkah proses ini dilalui oleh satu bentuk cara hidup iaitu Islam? Bukanlah Islam yang akan melalui proses itu tetapi para pendukungnyalah yang akan menggunakan peluang itu untuk menyampaikan Islam. Bukanlah Islam yang diprogram dalam kelab atau persatuan tetapi para pendukungnyalah yang akan melalui satu dimensi latihan secara berorganisasi.

Kerisauan takut-takut kita menyangka telah melaksanakan tuntutan Islam hanya dengan hadir program kelab atau persatuan adalah kerisauan yang berasas. Kita perlu ingat, kerana proses kita mengenali Islam tentunya berbeza antara satu sama lain. Tidak semua yang menerima tarbiyah langsung tertambat dalam hati dan sentiasa dihiasi suasana yang soleh. Ada yang menerima hidayah di ketika yang tidak disangka, memelihara langsung ingin dididik terus, maka meletakkan mereka ini dalam satu organisasi yang tersusun dan sah adalah penting. Wajib hati-hati kerana apabila berkumpul tanpa ada asas entiti yang sah memungkinkan kumpulan itu dianggap kumpulan bawah tanah atau perkumpulan haram di mata pemerintah, semua daripada kita tahu fenomena ini.

Selayaknya kita sentiasa mengimpikan di setiap sudut kehidupan kita bersendikan praktik Islami. Itulah yang seharusnya kita usahakan. Adapun kelab, persatuan atau pertubuhan apa pun hanyalah sketsa yang pelbagai di atas pentas yang besar. Itulah layar kehidupan yang kita harungi, ambillah ruang apa pun yang hadir di hadapan kita dan anggaplah itu medan kita. Salam penuh kasih dan sayang buat Hilal Asyraf, teruskan perjuangan mengalun tinta di lembaran-lembaran saktimu. Tunjuk ajar Murabbi itu kita zahirkan di pentas manapun.

Kematian...semakin kita lari, semakin ia menghampiri



Melewati detik waktu kebelakangan ini terlalu banyak informasi, kejadian, peristiwa atau berita yang membawa dimensi kematian dalam kepelbagaian ragam dan bentuk. Menjadikan kematian itu sesuatu yang biasa malah umpama kunjungan ke kedai kopi. Benar, ianya suatu fenomena biasa bagi yang bernyawa, firman Allah :

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Al Munaafi quun, 11

Kita semua akan bertemu dengan kematian dan kesudahan itu akan berbeza dan dibezakan dengan kesudahan yang baik atau sebaliknya. Tidak seorang pun daripada kita yang mampu berkata pasti akan kesudahan yang bagaimanakah yang akan kita temui. Itulah sebabnya, Rasulullah saw pernah ditanya:

“Siapakah orang orang beriman yang lebih bijak (al mukminun al akyas)? Jawab baginda: Mereka yang lebih banyak mengingati mati dan lebih baik penyediaannya kepada perkara selepas mati, mereka itulah yang lebih bijak”

(hadis riwayat ibn Majah daripada ibn Umar radiallahu anhuma).

Tentang mukminun al akyas (mukmin yang bijak ) atau al kayyisu (orang yang bijak) . Diceritakan dari hadis yang lain riwayat imam Ahmad,Tarmizi,ibn Majah,Hakam daripada Saddad ibn Aus:

“Al kayyisu (orang yang bijak/cerdik) ialah siapa yang menghisab dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati.”

Ada golongan atau kelompok masyarakat yang bertegas bahawa untuk mengejar kemajuan serta melengkapkan keselesaan duniawi pada acuan semasa, minda seperti yang dianjurkan Rasulullah itu ditolak kerana akan hanya melemahkan dan tidak sesuai. Keangkuhan saranan itu ditambah dengan siri pencapaian yang cuba ditunjukkan kononnya dengan tidak mengingati mati dan melawan perintah Allah Azzawajal barulah kejayaan duniawi ini mampu dikecapi. Ringkasnya, mereka cuba meletakkan Islam itu sekadar ‘ritual’ seperti agama-agama lain, sedangkan Islam itu meliputi semua kerana ia adalah satu cara hidup. Berpeganglah mereka dengan kebobrokan itu namun kematian tetap bertamu. Mungkin dikaburkan daripada mereka akan keadaan yang berlaku sebagai ujian daripada Allah. Hasilnya, hidangkanlah berita kematian walau sekejam mana sekalipun, bagi kebanyakkan daripada kita ia hanyalah sekadar berita.

Kemampuan media telah melonjak sensasikan kematian yang berlaku menurut profil si mati. Semakin tinggi profil si mati semakin sensasi persembahan media dan semakin tinggi edaran dan tentu sekali semakin untung kepada yang berniaga. Broker teknologi juga akan turut mendapat untung hasil daripada siri kematian. Kita belum melihat ada yang menggarap berita seumpama itu dipersembahkan dalam bentuk yang boleh mendidik, semuanya hanya sekadar berita dan pemberitaan. Akhirnya jadilah tatapan akhbar atau informasi media penyiaran sebagai hidangan utama untuk kita celik tentang apa yang berlaku namun tetap juga hati kita tidak terdidik olehnya.

Berita kematian seharusnya dapat mendidik kita agar bersedia untuk mati. Berita kematian juga seharusnya mampu menjarakkan kita dengan golongan yang tiada iman dan berbuat pertimbangan hanya berpandukan aqal dan nafsu. Berita kematian seharusnya membuatkan kerja-kerja kita tersusun. Berita kematian seharusnya memotivasikan kita untuk menghadiri kelas-kelas pengajian/mingguan yang menyuburkan ketaqwaan. Berita kematian seharusnya menjadikan kita berlumba menyeru sanak saudara, rakan dan taulan serta ahli keluarga kepada Islam. Berita kematian seharusnya meletakkan kita dekat dengan kerja-kerja Islam dan mencari hati-hati yang teguh terhadapnya. Berita kematian seharusnya menjadikan kita bersedia untuk mati.

Seorang pejuang Palestin yang menemui ajalnya dengan dibedil pengganas Zionis pernah berkata; “Kematian itu…sama ada kerana dibunuh atau kerana penyakit…adalah perkara yang sama….Kita semua menunggu hari terakhir hidup kita…tiada yang berbeza. Sama ada ditembak Apatche atau kerana sakit jantung. Saya memilih (dibunuh dengan) Apatche.” Satu perspektif kematian di bumi penuh perjuangan, perjuangan mendapatkan kembali bumi umat Islam.

Di mana-manapun, perspektif tentang kematian akan berbeza. Tentu sekali yang membezakannya adalah ketaqwaan dalam jiwa, keyakinan bagaimana yang ada dalam diri, kefahaman di tahap mana akan soal hidup dan mati serta apa akan terjadi selepas kematian itu. Menyedari hakikat ini, kita tidak mampu menidakkan saranan Rasulullah agar sentiasa berpegang kepada Al Quran dan As Sunnah. Kematian itu tetap akan kita temui walau bagaimana dan apa cara sekalipun.

Abang Long......hajat yang tertunai

4 September 2010 – Sungai Buaya, Hulu Selangor. Akhirnya hajat untuk menjamu sahabat-sahabat di Rawang telah menjadi kenyataan bagi En Abdul Rahim aka Abang Long. Iftar bersama di penghujung Ramadhan 1431H terhidang di rumah beliau di Sungai Buaya. Adat pengusaha kedai makanan, menjamu tetamu sentiasa menemui rentak dengan nasi beriyani, ayam goreng berempah, kuah dalca, rendang daging istimewa dan acar diikuti pula dengan kuih-muih serta pengat pisang yang diadun sejahtera antara selera dan rasa. Minuman panas dan sejuk menjadi penyejuk badan mengimbangi juadah yang istimewa lagi menyelerakan.


Seperti biasa, solat berjemaah Maghrib dengan diimami tuan rumah turut disertai ahli keluarganya. Renungan ringkas yang disampaikan oleh En Ahmad Fisal sekadar untuk mengisi kekosongan sebelum Isya’ dan menantikan terhadamnya beriyani Abang Long telah menyentuh perihal pentingnya untuk seorang daie itu untuk sentiasa berperanan dan memberi khidmat kepada masyarakat. Laksana pohon kurma yang nyata berguna setiap apa yang ada; daripada pucuk dan pelepah boleh dianyam menjadi pelbagai perkara, hasil buahnya yang tiada tolok bandingnya, teras pohonan yang  mampu menyangga dan menjadi pancang yang kukuh, hinggalah akar sampai ke benih pohon ini ada manfaatnya kepada manusia. Firman Allah SWT :


“Oleh sebab itu berikanlah peringatan karana peringatan itu bermanfaat”
(Al A’la: 9)


Untuk meningkatkan kemampuan dalam kerja-kerja Islam kita mesti membuka seluasnya kebolehan diri sendiri pada kemampuan yang ada untuk melakukan apa saja yang boleh menjayakan apa saja program Islam. Tidak merasakan diri serba tidak cukup sehinggakan tidak mahu melakukan apa sahaja kerana merasa rendah diri yang melampau. Tidak juga merasakan diri itu telah tertingkat lantas mengambil mudah apa yang ingin diusahakan. Yang paling selamat ialah lakukan kerja-kerja Islam secara bersama dan selalu tercari-cari apakah lagi yang boleh dilakukan. Kita wajib kreatif, mempelbagaikan pendekatan agar boleh muncul dalam apa sahaja suasana dan berbicara dengan sesiapa sahaja kerana tugas menyampaikan Islam bukan terbatas di dalam kawasan masjid sahaja, ianya perlu disampaikan dimana sahaja sehingga tertunduk maksiat yang sedang likat di dalam masyarakat.


Pengarah syarikat wajib menyampaikan Islam. Ahli perniagaan wajib menyampaikan Islam. Pemandu teksi wajib menyampaikan Islam. Pengurus bank dan kakitangannya yang bersyahadah wajib menyampaikan Islam. Para guru , pensyarah, professor dan doktor wajib menyampaikan Islam. Agen Insuran serta kakitangannya wajib menyampaikan Islam. Seorang peguam perlu menyampaikan Islam. Penjawat awam wajib menyampaikan Islam. Juruterbang dan jurutera wajib menyampaikan Islam. Kontraktor wajib menyampaikan Islam. Apa saja profesyen, orangnya wajib menyampaikan Islam. Yang tiada profesyen juga wajib menyampaikan Islam.

Selesai tazkirah ringkas, sebahagian besar yang hadir telah ke surau berdekatan bagi mengerjakan solat Isya’ berjemaah, berterawikh, witir bersama masyarakat setempat dan seterusnya bersurai. Iftar bersama kali penghabisan bagi Ramadhan kali ini. Bagi Abang Long, inilah hajat yang tertunai. Bagi sahabat-sahabat Rawang, ahlan wa sahlan Abang Long kerana nanti akan berperanan selayaknya di Sungai Buaya; sebagai tukang masak dan daie. Jazakumullah Khairan Kathir, ‘Beriyani’dan masakan pantai timurmu sentiasa kami dan masyarakat nantikan.

5 Dekad Selepas Rundingan Kemerdekaan Itu......


Lanskap kemerdekaan sering kita gandingkan dengan keperwiraan tokoh silam negara yang memang tercatat dalam sejarah telah berunding dengan penjajah bagi mengisytiharkan bahawa negara telah bebas daripada cengkaman penjajah. Hasilnya, merdekalah Malaysia sehingga ketika ini. Lebih tepat bila kita sebut kemerdekaan negara kita memang melalui rundingan; siri rundingan yang berjaya. Keperitan lalu seakan terhenti dengan siri rundingan itu. Usah sesekali menidakkan usaha banyak pihak sebelum kejayaan rundingan kemerdekaan dilakukan. Kecintaan pada tanah tumpah darah ini sesungguhnya mempunyai nilai di dalam Islam sehinggakan perjuangan tersebut layak diertikan jihad. Tiada siapa boleh mempersoalkan rasa cinta kita kepada negara dan rasa itu akan berbeza di antara kita.

Sebagai warganegara yang biasa, yang tiada mempunyai kuasa untuk berbicara soal yang besar, cuma ada kuasa untuk mengundi dan mencari rezeki yang dijanjikan Allah serta memenuhi tugas menyampaikan Islam di ketika mana yang boleh; persoalan ini sering bermain di fikiran. Mengapa kita beroleh kemerdekaan dengan terlalu mudah? Mengapa penjajah melepaskan tanah jajahannya ? Jujurkah penjajah atau ada muslihat jangka panjang yang akan menjerat kita dan generasi seterusnya? Negara penjajah ini kita tahu tidak pernah berbaik sangka dengan Islam, Rasulullah dan umat Islam itu sendiri. Maka atas ruang apakah kemerdekaan diberikan, tentu ada syarat yang terselindung yang akhirnya akan terbongkar jua.

Lebih menakutkan, generasi hari ini seperti terjajah fikirannya, berbuat banyak perkara tanpa ada fokus untuk keredhaan Allah. Ada yang kita lupa dan abaikan dalam membina generasi selepas rundingan kemerdekaan ini. Mungkin kita terlupa untuk berunding atau bermusyawarah tentang akhlak bagaimana yang mahu kita tanam dalam jiwa anak-anak; kerana kita lebih mengutamakan pencapaian material. Bukan sisi itu tidak penting, kerana kehidupan yang berkembang pasti melalui transformasi kebendaan yang mengikut zaman dan ianya boleh dikejar. Tetapi, persoalan akhlak tidak boleh dibiar bermain mengikut kehendak zaman, kelak nanti ia akan jauh tersasar. Mengapa kita seolah tidak berminat bercakap soal akhlak dan tamaddunnya? Mungkin kerana kita beranggapan persoalan akhlak adalah persoalan yang harus ditangani di rumah dan mengharapkan didikan itu mampu berhadapan dengan arus pembangunan yang dibangunkan sungguh-sungguh itu.

Kita terlupa bahawa kita semua sedang melalui kehidupan secara bersama. Alangkah cantik sekiranya agama rasmi di dalam perlembagaan itu tidak hanya sekadar agama pada pengertian rundingan kemerdekaan dulu. Tidakkah sesiapa tahu bahawa Islam itu tidak perlu dinobatkan sebegitu rupa kerana ianya adalah ‘satu cara hidup’ bukan ‘ritual’ seperti pemahaman penjajah. Kesannya, terpahat di dalam setiap yang diusahakan memberi pengertian secara halus bahawa sekadar itulah Islam di negara ini. Satu tindakan yang salah jika mengisyaratkan bahawa tugas membetulkan persepsi itu adalah golongan ustaz, imam-imam, cendikiawan yang berkelulusan agama dan hanya yang bertauliah sahaja kerana tugas menyampaikan maklumat Islam adalah terletak di bahu setiap muslim. Terjadilah polemik yang penuh pertembungan dan ini amat merugikan. Memang ada kebaikkan bagi menyekat penyelewengan namun janganlah pula menyekat dakwah. Yang berkuasa tidak harus terguris dengan getusan ini, teguran bererti masih ada yang perihatin dan sayang serta kasih malah ada bibit-bibit ukhuwwah. Sentiasa raikan dan berterima kasih atas apa sahaja teguran dan itu tanda kewujudan anda disedari.


Sesungguhnya kita tetap masih bersama dalam menghadapi hari-hari berikutnya sebagai warga Malaysia selagi ada umur. Kita pasti sedar bahawa umur itu adalah milik Allah dan kita tidak tahu sampai angka yang mana kita bernafas. Penuh hikmah apabila tanahair ini dijajah, memutikkan kasih rakyat yang ada rasa cinta pada Negara. 53 tahun itu satu jangkamasa. Pasca Perang Dunia Pertama dan Kedua menjadikan kita dipersempadankan, itu juga ada hikmahnya. Namun penjajah akan tetap dengan tujuan mereka yang tersendiri. Berhati-hatilah, jangan kita menghitung saban tahun usia kemerdekaan tetapi kesejahteraan kemanusiaan kita abaikan, kesusahan mereka yang memerlukan kita kesampingkan, pemerintah dan rakyat bergurau soal penindasan dan Islam yang Allah redha dan sempurnakan sebagai cara hidup , kita sangkutkan di dinding hiasan semata. Selamat mengisi erti kemerdekaan buat kesekian kalinya.