Showing posts with label Perkongsian. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian. Show all posts

Sketsa Iftar HALUAN Rawang......manifestasi kurma bertangkai.....













Satu pesanan SMS...


Di awal pengajian di IPT dulu, minda ini diberi lanskap menukilkan bahawa kita perlu untuk tahu dari mana kita datang, untuk apa kita dijadikan dan ke mana arah kesudahan kita. Waktu itu, wadah fikir sedemikian terlalu amat asing malah hampir merasai satu anjakan yang baru apabila kefahaman dan kesedaran Islam itu tersuntik. Perjalanan kita mengenali Islam tentunya melalui denai dan laluan yang terhampar pelbagai, namun yang penting adalah hasilnya harus menurut apa yang ditunjukkan Rasulullah. Memahami diri sendiri sebenarnya seolah mengembalikan kita ke dalam diri. Melangkah penuh yakin adalah berbeza dengan melangkah penuh ilmu. Mendepani kesedaran ini,... eh ! satu pesanan SMS daripada Pengerusi HALUAN Rawang diterima. Pesanannya yang berbunyi:

“Dalam membentuk ummah, kita perlu ada kekuatan peribadi. Hassan Al Banna ada menggariskan bahawa untuk pembentukan ummah, mendidik bangsa, mewujudkan cita-cita Islami dan membela prinsip-prinsip Islam, perlu kepada kekuatan jiwa yang besar, lebih besar daripada ummah yang ingin diperjuangkannya. Ianya perlu jelas dan berdiri atas 4 tunggak :

  1. Iradah Qawiyyah – tidak dapat diserang oleh kelemahan.
  2. Wafa’ Tsabit – tidak memilih atau khianat.
  3. Tadkhiyyah ‘Azizah – tidak dapat dihalangi oleh tamak dan kikir.
  4. Ma’rifatul Mabda’ – yang dapat melindungi daripada kesalahan, penyimpangan dan tipu daya.

Di atas 4 tunggak ini, ada kekuatan rohani yang mengkagumkan terhadap prinsip, pemikiran dan pendidikan atau tarbiah bangsa yang ingin dibangunkan. Bangsa manapun, jika hilang 4 tunggak ini, ia adalah bangsa yang lemah sekalipun bergelar Muslim".

Nota: Sebenarnya, entry asal adalah berbeza, tetapi apabila menerima sms tentang peringatan di atas, maka ada baiknya kita berkongsi ilmu …

Curahan rasa ...... atas makna peringatan dalam manifestasi hati dan minda..


Siapa di antara kita yang boleh dengan tidak kira angkuh atau rendah diri mengatakan bahawa dia adalah manusia yang tidak memerlukan orang lain untuk diperingatkan…..? Baik perkara yang bersendikan ukhrawi mahupun duniawi. Pasti tiada siapa yang mampu mengunci dakwaan itu. Jika pun ada, biarlah dia terjun dengan labu-labunya. Selagi kita di namakan insan, selagi itulah kita berhajat kepada rakan-rakan, sahabat handai, saudara mara atau sesiapa sahaja untuk ingat mengingati dan berpesan-pesan antara satu sama lain.

Di dalam Al Quran Allah berfirman dan menyentuh perihal peringatan ini di 136 tempat, merujuk kepada beberapa zaman dan perihal umat diketika itu. Demikian status peringatan dalam kehidupan manusia. Tiada yang kekal di bumi ini untuk kita banggakan dan kita hanya ibarat petani yang bertani di batas-batas waktu sebelum kembali kepada Allah. Dalam singkat waktu yang kita lalui, kita perlu fokus agar di penghujungnya berakhir dengan kesudahan yang baik. Kelaziman sering berbisik agar kita lunak dengan masa dengan tanpa sedar masa pasti meninggalkan kita. Dalam keterbatasan itu, kealpaan selalunya menjadi teman bagi insan, alpa pada resam kehidupan malah alpa kepada yang Maha Pencipta. Tari kehidupan kemudiannya bertaburan tanpa arah, tidakkah kita begitu berhajat pada ingatan ?

Memandang jauh dimensi kehidupan, pasti akan terlihat persisir kaki langit yang padanya ada fatamorgana yang hadir bukan menipu tetapi sekadar menjalankan tugas melengkapi hukum Tuhan. Di ketika itu, insan yang jernih mata fikirnya pasti terangkat hijab tipuan duniawi. Namun bukan mudah melayari keinsafan di saat minda penuh dirembes lumpur maksiat. Hati terhijab sakti kalam Ilahi. Segalanya memerlukan keteguhan dalam segala peri. Buat kesekian kalinya, paradigma itu sukar diubati. Jejak tinggalan rasul sentiasa mekar di mana-mana, cuma insanlah yang culas mengutip rangkap-rangkap teladan untuk diikuti. Mengapa culas ? Hanya hidayah yang memisahkan kita, memandang sketsa dari sudut dosa atau pahala. Terokalah insan disekeliling yang mampu memandu kita ke landasan penuh makna.

Hati dan minda menggalas makna dalam tindakan. Luhur keduanya memancar pasti laluan perjalanan insan Rabbani. Sesekali memandang ke belakang bisa meneguhkan perjalanan yang entah bila terhenti. Hati dan minda yang mencari Tuhan, mendamba Allah dalam seluruh pencarian akan penuh pasti langkah seterusnya. Meski diburu nafsu dan syaitan, paksinya teguh mencengkam perjalanan. Kuatlah hati, tajamlah minda, di setiap ketika insan terlalu berhajat mencurah rasa dalam memburu redha Ilahi. Kita terlalu berhajat pada peringatan daripada insan sekeliling kita agar hati dan minda terus fokus dalam perjalanan dan perjuangan yang masih ada baki. Berilah peringatan.

Petua "Doktor" Hj Ibrahim di JDK2010, ILIM Bangi


Rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah boleh membuahkan kegeringan, sakit kepala, ‘migraine’ malah kemurungan yang ekstrim. Semua episod layar sengsara ini adalah menyakitkan. Hari ini penulis mendapat ilmu tatkala bertugas sebagai urusetia harian JDK2010 di ILIM Bangi. Semua kesakitan di atas boleh dihilangkan. Satu harapan yang ekstrim untuk kesakitan yang tidak kurang ekstrimnya. Bagaimana caranya ? Jawab seorang pakar, tutupkan suis kesakitan itu. Bertambah keliru sidang yang mendengar. Kesemua rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah ada suis rupanya. Tambah pakar tersebut, jika kita berjaya tutup suis itu maka hilanglah segala kesakitan.

Dimana suis rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah itu? Kesemua rasa yang berteraskan minda itu ada di minda kita. Orang yang mengalami sakit tersebut perlu mengimbau minda, mengimbas peristiwa, mencari detik terjadinya satu peristiwa yang menyebabkan minda kita terganggu sehingga kesakitan-kesakitan itu bertamu. Akibat rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah, maka lahirlah kesakitan-kesakitan minda yang tidak kurang ekstrimnya tadi. Satu peristiwa yang menyakitkan di suatu waktu dahulu dan tidak kita maafkan. Akibatnya, ada saraf yang sengsara melayani satu aliran di litar yang bisa meneutralkan dan tidak kunjung tiba. Litar itu adalah litar kemaafan. Hanya dengan aliran kemaafanlah, suis kepada rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah boleh tertutup.


Maka untuk meredakan rasa duka, sedih, dendam, benci dan marah; dan menghindarkan kegeringan, sakit kepala, ‘migraine’ malah kemurungan yang ekstrim, berilah kemaafan atas apa sahaja yang mengguris perasaan. Berikan senyuman dan berlapang dada atas perkara yang dirasakan jauh daripada penerimaan hati. Besarnya ‘chemistry’ yang dijana daripada tindakan memaafkan orang lain. Kemudian itu, ada tips lain untuk yang sakit lutut… kita kongsi di ‘entry’ yang lain, sebab Tuan Hj Ibrahim, Pengetua Program JDK2010 dengan nada bergurau dah minta pengeras untuk ilmu seterusnya.

Seruan Transformasi Dan Peningkatan di 2011......re-visit agenda 2010


Bicara perihal transformasi dan fokus pencapaian, kita tidak boleh lari daripada melihat peningkatan iman, amal dan kesejahteraan ibadah diri sendiri. Selamanya proses mendidik hati dan merangsang minda untuk bekerja dan ‘menyarung jersey’ sebagai muslim yang menyeru kepada perkara baik dan menegah perkara yang batil tidak akan berakhir sehingga nafas terhenti. Dekad ini 1432 Hijrah atau 2011 Masehi adalah lonjakan bagi menzahirkan ilmu Islam yang selama ini kita pelajari. Itu perkembangan yang baik untuk seruan transformasi pasca Mesyuarat Perwakilan HALUAN 2010.

Mengapa perlu lonjakan, transformasi dan perkembangan ? Apa perlunya genre ini ? Apa perlunya kita mengusahakan pelbagai pendekatan untuk merealisasikan segalanya dalam perspektif Islam kepada masyarakat? Bukankah itu kerja pemerintah atau yang mempunyai kuasa atau mungkin kepada sebahagian daripada kita sahaja……bukan semua? Dan banyak lagi cuitan nakal yang sebenarnya tidak berniat untuk bertanya tetapi sekadar ingin tahu ………… walaupun sebenarnya telah lama tahu ……. sungguh nakal.

Kita semua sedia maklum bahawa fokus utama adalah untuk meletakkan Allah di hati setiap manusia, kerana itulah dakwah dan kelangsungan daripada tarbiyah yang di bawa Rasulullah. Jalannya telah ditunjuk Rasulullah. Kaedahnya telah diterangkan Rasulullah. Konsepnya telah dlaksanakan Rasulullah. Malah natijahnya telah ada dalam lipatan sejarah. Semuanya wajib kita kutip, terjemah dan laksanakan dengan tersusun………..dan semua ini adalah kerja serius. Ianya menuntut kesungguhan yang di luar kebiasaan.

Benar, peribadi hebat dan luar biasa tidak lahir dengan mudah. Tetapi, aspek hebat dan luar biasa ada di dalam diri semua manusia, cuma perlu berterusan mencari kaedah menzahirkannya dan meminta pada Allah agar dapat menyumbang untuk Islam. Beribadah sendirian dan tidak berbuat dosa adalah satu kemestian, cuma teruskan langkahan dengan bersama-sama berfikir bagaimana orang lain boleh turut sama seperti itu. Langkah inilah yang menjadikan individu muslim itu hebat, kerana ia menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara yang berdosa…….berdakwah la tu !

Benar, acara berskala besar seperti perhimpunan Lifeline4Gaza, konvensyen antarabangsa dan lain-lainnya terkadang tidak mampu mengubah hati-hati masyarakat namun ruang itu perlu diisi dan yakinlah bahawa acara itu mempunyai impaknya yang tersendiri dalam usaha dakwah dan tarbiyah yang sifatnya menyeluruh walau di mana sahaja. Adakah setelah kita menganjurkan acara berskala besar, kita dikira telah melakukan transformasi…………jawapannya tidak. Itu sekadar acara. Lantas apakah transformasi atau perubahan yang kita inginkan ini ?

Transformasi atau perubahan yang amat kita hajatkan adalah peningkatan iman di kalangan pendukung fikrah Islam. Apabila aspek itu tertingkat, maka akan berubahlah cara bekerja, pendekatan berfikir, fokus bicara, gerak kehidupan malah segala-galanya. Hanya peningkatan itulah yang membolehkan ribuan projek, aktiviti dan gaya kehidupan berubah dan akan mengalami transformasi. Menyebutnya mudah namun melaksanakannya memerlukan keazaman yang tinggi daripada semua di antara kita. Kita mempunyai kelemahan tersendiri yang secara berterusan mesti dibaiki dan dihindari namun dalam masa yang sama kita perlu bantu kerja-kerja Islam yang semakin hari semakin segar tumbuh bagai cendawan pasca hujan. Tidakkah kita tersedar bahawa kita mesti berazam untuk menjadi sebahagian daripada perubahan dan transformasi ini.

Ayuh, kemaskan tekad, hadirkan keazaman dan susun gerak kerja harian kita di tahun 1432 Hijrah atau 2011 Masehi ini. Rencanakan sumbangan dan keterlibatan kita di tahun ini, biar lebih daripada tahun lalu. Catat perencanaan itu, ikuti perkembangan apa yang kita catatkan. Andainya kita rasa sukar untuk melaksanakan, berkongsi dengan sahabat, pasti ada jalan sokongan yang pelbagai walaupun kadang kala tambah mengelirukan. Namun di situ akan hadir ukhuwwah yang nantinya menyelesaikan banyak perkara sehingga terbina iman yang dihajati.

Mari Transformasikan Idea Kepada Realiti.......


Jika kita pernah terfikir ingin berbuat sesuatu dan pada firasat diri, perkara itu ada kebaikannya atau memang perlu dilaksanakan, dan sememangnya ia ada manfaat baik daripada sudut jangka pendek mahupun untuk kepentingan ummah di masa akan datang dan tentu sekali tidak menerbitkan dosa, maka teruskan.

Cetusan minda atau idea bukanlah bulat-bulat merupakan kemampuan individu kita sebagai manusia. Ianya tetap anugerah atau ketetapan yang dicampak oleh Allah. Justeru, apabila kita ada idea, maka manfaatkan secepat mungkin. Hargailah ilham yang Allah beri dengan mengusahakan atau membangunkan idea atau cetusan minda yang terlintas itu. Sentiasa ada jurnal atau buku catatan ringkas di sisi agar boleh ditulis apa yang terlintas.

“Hey. Kita tidak boleh berbuat sembarangan. Kena rujuk si polan. Kena dapat kelulusan si polan. Kena dapat restu polan yang itu. Mereka semua itu hanya akan bermesyuarat bulan hadapan, maka jika semua bersetuju, tahun hadapan boleh buat cadangan itu……….itu pun bergantung kepada budget, kalau ada. Cadangan yang tak masuk budget biasanya tak lulus……………Apa cadangan tadi?”

Begitulah nasib idea atau cetusan minda apabila ingin dicadangkan. Resamnya seolah budaya yang mendarah daging. Asal ada sahaja perkara baru, maka perkara baru itu sering dimusuhi.

“Bukan begitu, kita cuma inginkan keputusan yang kolektif, keputusan yang dibuat secara bersama.”

Mereka yang punya idea atau cetusan minda perlu diberi ruang untuk membangunkan atau memperkembangkan atau merealisasikan lintasan itu. Mendahulukan birokrasi akan hanya melambatkan perkembangan yang berinovatif. Para sarjana Islam dekad lampau begitu inovatif. Banyak penghasilan yang mercup di zaman itu telah diizinkan Allah. Mungkin untuk mengajar manusia bahawa mereka boleh membuat banyak perkara. Hari ini juga memerlukan sentuhan itu. Belajarlah memberi dorongan dan tidak membunuh hasrat mereka yang ingin mencuba sesuatu.

Seandainya, idea atau cetusan minda itu daripada mereka yang membawa sahsiah Islam, sebati perilaku dan akhlak sebagai Muslim serta sentiasa mempertingkatkan ilmu diri sebagai hamba Alllah, maka buanglah kesangsian dan sematlah dorongan agar manusia muslim itu terus berkarya. Setiap karya agung di sepanjang zaman pasti bermula dengan idea atau cetusan minda kurniaan Ilahi. Bangunlah pencetus karya agung masakini, mari kita bersama memberi manfaat kepada manusia lain.

Mencari Motivasi Unggul......

Mudahnya seruan agar memotivasikan diri oleh para pakar memberi nasihat atau pakar motivasi, tidak kiralah bertauliah atau tidak, kerana ianya tetap menyeru kepada kebaikan, akan menghadirkan rasa yang pelbagai. Mengunggis layar rasa dalam apa ketika sekalipun adalah elemen terpenting dalam dakwah.Pendengaran, penglihatan dan hati adalah ciptaan Allah Azzawajal yang terlalu berharga. Tiada ungkapan perbandingan yang sesuai untuk di meja bulatkan. Firman Allah swt :

“Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati". (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur.” Al Mulk, ayat 23

Memotivasikan diri untuk ke syurga adalah cita besar yang amat relevan. Kita mendengar, kita melihat dan kita memberi pertimbangan dalam kalbu adalah kronologi asas dalam menggarap apa sahaja seruan. Mereka yang menghamburkan kata atau menulis perlu bertanggung jawab dalam apa yang ingin disampaikan. Motivasi adalah proses secara total antara seruan dan garapan kepada matlamat yang murni. Ada yang bercita tinggi maka motivasinya juga perlu tinggi. Mereka yang tiada cita-cita juga perlu kepada motivasi kerana mereka perlu untuk terus hidup. Untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan juga memerlukan motivasi yang luar biasa dan sering di perbaharui. Justeru, kita dianjurkan untuk sentiasa bergandingan agar saling memotivasi.

Berjiwa besar adalah dorongan yang dipunyai oleh hanya sesetengah manusia. Rasulullah adalah contoh terbaik kepada lanskap motivasi dari banyak sisi dan sudut. Antara angan-angan dan cita-cita hanyalah tindakan atau usaha yang bakal membezakan.

Kita sering mendengar, tatkala merancang apa saja projek – jangan la pakai duit banyak sangat – sedangkan perkara yang dirancang itu adalah sebahagian daripada dakwah dan tarbiyah. Dalam kata lain mungkin ertinya, kurangkan kos, berjimat atau jangan keluar apa pun tetapi projek itu mesti berjaya. Ada yang tidak kena apabila ruh pengorbanan itu dikesampingkan tatkala Siti Khadijah mengorbankan seluruh hartanya ke jalan Allah. Sesuatu yang ganjil apabila kita perit mengharungi dimensi itu sedangkan Saiyidina Abu Bakar amat kehadapan dalam memberi demi Islam. Ada seperti yang melanggar fitrah apabila para sahabat berkorban segalanya sedangkan kita berfikir berulang kali untuk berbicara tentang dimensi perjuangan yang satu itu. Mungkin rentak perjuangan sudah tidak sama tetapi tersirat matlamat yang sama dan mengharapkan keredhaan yang sama.

Berbuat sesuatu yang baru di dalam suasana yang rata-rata beranggapan ianya bukan satu keperluan memang amat memeritkan. Itulah yang menariknya. Dalam keperitan ada didikan yang orang lain tidak rasai. Namun biarlah Allah yang menentukan kerana setiap yang kita lakukan adalah kerana Allah dan bukan sekali-kali kerana yang lain.

Berbalik perihal motivasi; iringlah setiap usaha dengan doa, puasa dan qiamullail lantaran bantuan yang amat kita harapkan adalah daripada Al Khalid yang Maha Mendengar. Ikhlaskan tekad agar dikurnia rezeki daripada sumber yang tidak kita sangkakan. Mengadulah kepada Allah, itulah motivasi paling unggul, melangkaui ribuan kesangsian bagi mereka yang ada taqwa dalam hati.

Semalam Saya Termotivasi...


Kita bangun daripada tidur, kita terus mengucapkan pujian kepada Allah atas nikmat tidur dan diberi kesempatan mencari ketakwaan dan bernafas di subuh yang indah. Di setiap waktu solat lima kali sehari semalam, kita bersegera melaksanakannya. Kita amalkan setiap kali memulakan apa sahaja pekerjaan dengan nama Allah kerana kita tahu Dialah yang menjadikan kita. Kita tekun bekerja, mencari rezeki yang dijanjikan Allah untuk kemaslahatan keluarga kerana kita suka agar keluarga kita selesa seadanya diketika kita ditakdirkan bersama di dunia ini. Kita suka belajar, mendidik diri dan ahli keluarga malah teman-teman baik yang Muslim mahupun non Muslim akan apa yang Islam anjurkan. Di setiap ketika, sinaran daripada praktik Islami itu ada di segenap sudut perlakuan kita, isteri kita, ahli keluarga kita, teman-teman kita dan pada sesiapa sahaja. Benarlah Islam itu adalah satu cara hidup. Praktik kehidupan ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah rupanya.

Menyeru kepada praktik Islami mengundang terjahan cabaran yang bermacam rupa. Seharusnya, sebagai individu yang mengaku Islam, kasih dan sayang kepada Rasulullah dan inginkan syafaat kekasih Allah itu akan mudah melaksanakan praktik Islami di tiap ketika. Bolehkah kita lakukan bersendirian atau hanya dilingkungan keluarga kita sahaja? Kita tak ganggu orang lain dan orang lain pasti tak ganggu kita. Tetapi, kita tidak seharusnya lupa, kerana Rasulullah tunjukkan bahawa di dalam kehidupan Islam itu ada dakwah dan tarbiyah. Dua gandingan yang tidak boleh dipisahkan.

Merencanakan praktik Islami dalam kehidupan mempunyai kecenderungan, sama ada mahu atau pun sebaliknya. Merencanakan praktik Islami secara bersama atau lebih daripada satu keluarga atau berjamaah atau dalam satu komuniti juga tersedia kecenderungan mahu atau pun sebaliknya. Tetapi, untuk melaksanakan dakwah dan tarbiyah, ianya memerlukan kepada praktik Islami dalam kehidupan serta bersama-sama dengan mereka yang juga mahu melaksanakan dakwah dan tarbiyah. Tanpanya kita akan mudah tergelincir dan dilarikan, ibarat kambing yang bersendirian, akan mudah dicekup pemangsa berbanding yang berada dalam gerombolan kawanan mereka.

Untuk itu, kita wajib memotivasikan diri di setiap ketika agar kesegaran keinginan itu bertahan sehingga subuh yang satu lagi. Kebolehan kita memotivasikan diri adalah amat kritikal. Keberkesanan cerminan ini ada rangsangannya yang tersendiri. Cermin diri yang satu ini, mengungkap kekuatan yang luar biasa. Namun semua itu adalah dengan keizinan Allah. Motivasi kebiasaannya dierti sebagai dorongan yang mampu melonjakkan kita ke hadapan. Namun perlu ingat, memotivasikan diri juga perlu kepada sahabat agar nanti tidak beralih kepada panjang angan-angan dan kekaburan minda yang menerawang. Sesungguhnya kita mampu memikul apa yang kita fikirkan sukar kerana dakwah dan tarbiyah itu adalah tanggungjawab dan bukannya pilihan laksana memandang cermin.

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo`a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir". Al Baqarah, ayat 286

Perkongsian Yang Dirasai....cetusan Hilal Asyraf di Langit Ilahi 20 Sept 2010


Masihkah ada jiwa yang mengaku Islam tidak tahu atau sedar bahawa Islam itu adalah cara hidup ? Atau, masihkah ada yang keliru bahawa Islam itu ialah tentang bagaimana kehidupan manusia itu perlu dilalui di dunia ini sebelum menemui akhirat ? Mudah sahaja jawapannya; sesungguhnya tidak tahu dan kekeliruaan itu masih bermaharajalela dan menjadi fenomena biasa.

Hari ini jika kita datang dengan sahsiah dan keperibadian yang baik santun seperti yang ditunjukkan Islam, maka lontaran biasa yang akan kita dengar ialah; “Baik budak ni, sejuk perut ibu yang mengandungnya. Mesti daripada aliran agama atau mesti budak UIA (sekadar contoh). Apabila kita datang dengan seorang isteri yang solehah, bertudung, aktif serta positif terhadap program berbentuk Islami saban ketika, maka lirikan biasa masyarakat akan mula berkata; “Bagus mereka ni, rajin ikut program Islam. Mesti kedua-duanya daripada aliran Islam dan ada ikut kumpulan mana-mana ni.” Seterusnya, apabila kita datang dengan isteri yang solehah dan anak-anak yang persis akhlak mereka seperti ibu dan bapanya, maka intonasi lumrah ialah; “Mesti mereka ni ada ikut mana-mana jemaah atau kumpulan Islam seperti HALUAN, JIM, ISMA, ABIM, PAS dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama) yang menitik beratkan soal Islam kepada anggota mereka.” Kaitan demi kaitan akan terus meluncur.

Apabila ada yang membuat cetusan bahawa Islam itu bukan program kelab atau persatuan maka tegasnya, benar………. Islam bukanlah sekadar program kelab atau persatuan. Malah ianya satu letak banding yang tidak begitu kena kerana Islam itu adalah cara hidup dan bukanlah program yang hadir apabila kita hadir di ketika program kelab atau persatuan. Kita faham niat cetusan itu sekadar mencabar agar mereka yang hadir program Islami anjuran mana-mana pertubuhan agar hadirkan juga ilmu yang diperolehi sewaktu program Islami itu ke dalam realiti kehidupan kerana di situlah medan yang sebenarnya dan jangan ianya terhenti selepas tamat sesuatu program.

Di bumi Malaysia ini, apa sahaja kerjasama, perpaduan, perkumpulan dan permuafakatan adalah dibenarkan oleh undang-undang dan pemerintah memandang baik usaha itu. Asal sahaja mereka berdaftar dan dijelaskan matlamat mereka, maka ia akan menjadi entiti yang sah. Maka berdaftar sebagai kelab, persatuan atau entiti yang sah adalah amat penting sebelum melangkah lebih jauh. Persoalannya, layakkah proses ini dilalui oleh satu bentuk cara hidup iaitu Islam? Bukanlah Islam yang akan melalui proses itu tetapi para pendukungnyalah yang akan menggunakan peluang itu untuk menyampaikan Islam. Bukanlah Islam yang diprogram dalam kelab atau persatuan tetapi para pendukungnyalah yang akan melalui satu dimensi latihan secara berorganisasi.

Kerisauan takut-takut kita menyangka telah melaksanakan tuntutan Islam hanya dengan hadir program kelab atau persatuan adalah kerisauan yang berasas. Kita perlu ingat, kerana proses kita mengenali Islam tentunya berbeza antara satu sama lain. Tidak semua yang menerima tarbiyah langsung tertambat dalam hati dan sentiasa dihiasi suasana yang soleh. Ada yang menerima hidayah di ketika yang tidak disangka, memelihara langsung ingin dididik terus, maka meletakkan mereka ini dalam satu organisasi yang tersusun dan sah adalah penting. Wajib hati-hati kerana apabila berkumpul tanpa ada asas entiti yang sah memungkinkan kumpulan itu dianggap kumpulan bawah tanah atau perkumpulan haram di mata pemerintah, semua daripada kita tahu fenomena ini.

Selayaknya kita sentiasa mengimpikan di setiap sudut kehidupan kita bersendikan praktik Islami. Itulah yang seharusnya kita usahakan. Adapun kelab, persatuan atau pertubuhan apa pun hanyalah sketsa yang pelbagai di atas pentas yang besar. Itulah layar kehidupan yang kita harungi, ambillah ruang apa pun yang hadir di hadapan kita dan anggaplah itu medan kita. Salam penuh kasih dan sayang buat Hilal Asyraf, teruskan perjuangan mengalun tinta di lembaran-lembaran saktimu. Tunjuk ajar Murabbi itu kita zahirkan di pentas manapun.

Abang Long......hajat yang tertunai

4 September 2010 – Sungai Buaya, Hulu Selangor. Akhirnya hajat untuk menjamu sahabat-sahabat di Rawang telah menjadi kenyataan bagi En Abdul Rahim aka Abang Long. Iftar bersama di penghujung Ramadhan 1431H terhidang di rumah beliau di Sungai Buaya. Adat pengusaha kedai makanan, menjamu tetamu sentiasa menemui rentak dengan nasi beriyani, ayam goreng berempah, kuah dalca, rendang daging istimewa dan acar diikuti pula dengan kuih-muih serta pengat pisang yang diadun sejahtera antara selera dan rasa. Minuman panas dan sejuk menjadi penyejuk badan mengimbangi juadah yang istimewa lagi menyelerakan.


Seperti biasa, solat berjemaah Maghrib dengan diimami tuan rumah turut disertai ahli keluarganya. Renungan ringkas yang disampaikan oleh En Ahmad Fisal sekadar untuk mengisi kekosongan sebelum Isya’ dan menantikan terhadamnya beriyani Abang Long telah menyentuh perihal pentingnya untuk seorang daie itu untuk sentiasa berperanan dan memberi khidmat kepada masyarakat. Laksana pohon kurma yang nyata berguna setiap apa yang ada; daripada pucuk dan pelepah boleh dianyam menjadi pelbagai perkara, hasil buahnya yang tiada tolok bandingnya, teras pohonan yang  mampu menyangga dan menjadi pancang yang kukuh, hinggalah akar sampai ke benih pohon ini ada manfaatnya kepada manusia. Firman Allah SWT :


“Oleh sebab itu berikanlah peringatan karana peringatan itu bermanfaat”
(Al A’la: 9)


Untuk meningkatkan kemampuan dalam kerja-kerja Islam kita mesti membuka seluasnya kebolehan diri sendiri pada kemampuan yang ada untuk melakukan apa saja yang boleh menjayakan apa saja program Islam. Tidak merasakan diri serba tidak cukup sehinggakan tidak mahu melakukan apa sahaja kerana merasa rendah diri yang melampau. Tidak juga merasakan diri itu telah tertingkat lantas mengambil mudah apa yang ingin diusahakan. Yang paling selamat ialah lakukan kerja-kerja Islam secara bersama dan selalu tercari-cari apakah lagi yang boleh dilakukan. Kita wajib kreatif, mempelbagaikan pendekatan agar boleh muncul dalam apa sahaja suasana dan berbicara dengan sesiapa sahaja kerana tugas menyampaikan Islam bukan terbatas di dalam kawasan masjid sahaja, ianya perlu disampaikan dimana sahaja sehingga tertunduk maksiat yang sedang likat di dalam masyarakat.


Pengarah syarikat wajib menyampaikan Islam. Ahli perniagaan wajib menyampaikan Islam. Pemandu teksi wajib menyampaikan Islam. Pengurus bank dan kakitangannya yang bersyahadah wajib menyampaikan Islam. Para guru , pensyarah, professor dan doktor wajib menyampaikan Islam. Agen Insuran serta kakitangannya wajib menyampaikan Islam. Seorang peguam perlu menyampaikan Islam. Penjawat awam wajib menyampaikan Islam. Juruterbang dan jurutera wajib menyampaikan Islam. Kontraktor wajib menyampaikan Islam. Apa saja profesyen, orangnya wajib menyampaikan Islam. Yang tiada profesyen juga wajib menyampaikan Islam.

Selesai tazkirah ringkas, sebahagian besar yang hadir telah ke surau berdekatan bagi mengerjakan solat Isya’ berjemaah, berterawikh, witir bersama masyarakat setempat dan seterusnya bersurai. Iftar bersama kali penghabisan bagi Ramadhan kali ini. Bagi Abang Long, inilah hajat yang tertunai. Bagi sahabat-sahabat Rawang, ahlan wa sahlan Abang Long kerana nanti akan berperanan selayaknya di Sungai Buaya; sebagai tukang masak dan daie. Jazakumullah Khairan Kathir, ‘Beriyani’dan masakan pantai timurmu sentiasa kami dan masyarakat nantikan.

5 Dekad Selepas Rundingan Kemerdekaan Itu......


Lanskap kemerdekaan sering kita gandingkan dengan keperwiraan tokoh silam negara yang memang tercatat dalam sejarah telah berunding dengan penjajah bagi mengisytiharkan bahawa negara telah bebas daripada cengkaman penjajah. Hasilnya, merdekalah Malaysia sehingga ketika ini. Lebih tepat bila kita sebut kemerdekaan negara kita memang melalui rundingan; siri rundingan yang berjaya. Keperitan lalu seakan terhenti dengan siri rundingan itu. Usah sesekali menidakkan usaha banyak pihak sebelum kejayaan rundingan kemerdekaan dilakukan. Kecintaan pada tanah tumpah darah ini sesungguhnya mempunyai nilai di dalam Islam sehinggakan perjuangan tersebut layak diertikan jihad. Tiada siapa boleh mempersoalkan rasa cinta kita kepada negara dan rasa itu akan berbeza di antara kita.

Sebagai warganegara yang biasa, yang tiada mempunyai kuasa untuk berbicara soal yang besar, cuma ada kuasa untuk mengundi dan mencari rezeki yang dijanjikan Allah serta memenuhi tugas menyampaikan Islam di ketika mana yang boleh; persoalan ini sering bermain di fikiran. Mengapa kita beroleh kemerdekaan dengan terlalu mudah? Mengapa penjajah melepaskan tanah jajahannya ? Jujurkah penjajah atau ada muslihat jangka panjang yang akan menjerat kita dan generasi seterusnya? Negara penjajah ini kita tahu tidak pernah berbaik sangka dengan Islam, Rasulullah dan umat Islam itu sendiri. Maka atas ruang apakah kemerdekaan diberikan, tentu ada syarat yang terselindung yang akhirnya akan terbongkar jua.

Lebih menakutkan, generasi hari ini seperti terjajah fikirannya, berbuat banyak perkara tanpa ada fokus untuk keredhaan Allah. Ada yang kita lupa dan abaikan dalam membina generasi selepas rundingan kemerdekaan ini. Mungkin kita terlupa untuk berunding atau bermusyawarah tentang akhlak bagaimana yang mahu kita tanam dalam jiwa anak-anak; kerana kita lebih mengutamakan pencapaian material. Bukan sisi itu tidak penting, kerana kehidupan yang berkembang pasti melalui transformasi kebendaan yang mengikut zaman dan ianya boleh dikejar. Tetapi, persoalan akhlak tidak boleh dibiar bermain mengikut kehendak zaman, kelak nanti ia akan jauh tersasar. Mengapa kita seolah tidak berminat bercakap soal akhlak dan tamaddunnya? Mungkin kerana kita beranggapan persoalan akhlak adalah persoalan yang harus ditangani di rumah dan mengharapkan didikan itu mampu berhadapan dengan arus pembangunan yang dibangunkan sungguh-sungguh itu.

Kita terlupa bahawa kita semua sedang melalui kehidupan secara bersama. Alangkah cantik sekiranya agama rasmi di dalam perlembagaan itu tidak hanya sekadar agama pada pengertian rundingan kemerdekaan dulu. Tidakkah sesiapa tahu bahawa Islam itu tidak perlu dinobatkan sebegitu rupa kerana ianya adalah ‘satu cara hidup’ bukan ‘ritual’ seperti pemahaman penjajah. Kesannya, terpahat di dalam setiap yang diusahakan memberi pengertian secara halus bahawa sekadar itulah Islam di negara ini. Satu tindakan yang salah jika mengisyaratkan bahawa tugas membetulkan persepsi itu adalah golongan ustaz, imam-imam, cendikiawan yang berkelulusan agama dan hanya yang bertauliah sahaja kerana tugas menyampaikan maklumat Islam adalah terletak di bahu setiap muslim. Terjadilah polemik yang penuh pertembungan dan ini amat merugikan. Memang ada kebaikkan bagi menyekat penyelewengan namun janganlah pula menyekat dakwah. Yang berkuasa tidak harus terguris dengan getusan ini, teguran bererti masih ada yang perihatin dan sayang serta kasih malah ada bibit-bibit ukhuwwah. Sentiasa raikan dan berterima kasih atas apa sahaja teguran dan itu tanda kewujudan anda disedari.


Sesungguhnya kita tetap masih bersama dalam menghadapi hari-hari berikutnya sebagai warga Malaysia selagi ada umur. Kita pasti sedar bahawa umur itu adalah milik Allah dan kita tidak tahu sampai angka yang mana kita bernafas. Penuh hikmah apabila tanahair ini dijajah, memutikkan kasih rakyat yang ada rasa cinta pada Negara. 53 tahun itu satu jangkamasa. Pasca Perang Dunia Pertama dan Kedua menjadikan kita dipersempadankan, itu juga ada hikmahnya. Namun penjajah akan tetap dengan tujuan mereka yang tersendiri. Berhati-hatilah, jangan kita menghitung saban tahun usia kemerdekaan tetapi kesejahteraan kemanusiaan kita abaikan, kesusahan mereka yang memerlukan kita kesampingkan, pemerintah dan rakyat bergurau soal penindasan dan Islam yang Allah redha dan sempurnakan sebagai cara hidup , kita sangkutkan di dinding hiasan semata. Selamat mengisi erti kemerdekaan buat kesekian kalinya.

Saya Bukan Usain Bolt...


Semua di antara kita tentu pernah berlari di trek balapan sewaktu di sekolah atau setidak-tidaknya menyusuri laluan merentas desa sekalipun berjalan kerana sudah tidak tertanggung kepenatan walaupun tidak sejauh mana. Berlari atau berjalan adalah menifestasi kemampuan yang dimiliki oleh berbilang antara kita. Tumpuan kita kali ini ialah tentang bagaimana persepsi kita apabila melihat trek balapan atau laluan merentas desa tadi. Sejauh mana pula kita dapat melihat laluan kita semasa hidup di dunia ini kerana laluan di akhirat nanti amat banyak bergantung tentang bagaimana sejahteranya perjalanan sewaktu di dunia ini.

Acara 100, 200 dan 400 meter memerlukan kita sekata dalam pecutan dan jika dilihat ligamen pelari pecut, ianya berkemampuan pula memberi henjutan akhir yang sukar untuk kita duga. Sekalipun pendek jaraknya tetapi tetap juga memerlukan perancangan. Selebihnya adalah acara jarak jauh, yang memerlukan stamina yang tersusun dan membina pula kemampuan larian yang turun naik kelajuannya sesuai dengan asakan pesaing serta perancangan pelari untuk menamatkan lariannya. Kehidupan dan kerja-kerja Islam kita boleh juga kita ibaratkan umpama acara larian yang pernah kita sertai di waktu zaman persekolahan dulu.

Pernah suatu ketika bertanya kepada anak jiran yang menyertai acara larian di sekolah dalam acara 100 meter; “Kenapa di awal tadi kamu bermula perlahan?” Anak itu menjawab, “Semalam tengok rakaman larian Usain Bolt dengan ayah saya, kami tengok dia mula perlahan kemudian makin laju, jadi saya mulalah dengan perlahan.” Kemudian saya tanya, “Kenapa di akhirnya kamu tak laju macam Usain Bolt?” Jawabnya, “Entahlah, mungkin saya adalah saya dan tak sama macam Usain Bolt.” Dengan senyum penuh puas anak itu berlalu kerana dia tetap menang sebab yang lainnya perlahan belaka dan anak itu memang jaguh berlari cuma taktiknya tidak seperti selalu.

Kehidupan seorang daie ini adakalanya perlu bermula perlahan dan ada ketikanya perlu laju dan ada saatnya cukup sekadar berjalan, namun sesuatu yang luar biasa jika seorang daie itu berdiam tidak melakukan apa-apa. Laju dan perlahan sepanjang jalan dakwah dan tarbiah adalah lumrah. Memperlahankan langkah dalam kerja-kerja Islam demi mencari lonjakan yang baik itu juga biasa. Ketika berlari dalam acara pecut, kebiasaannya kita membayangkan garisan penamat sebagai matlamat yang mahu digapai. Dalam kehidupan dunia ini, garis penamat kepada segalanya adalah kematian, cumanya kita kurang membayangkan garisan itu dan terkadang mengelak untuk berbicara perihal itu. Firman Allah SWT :

“Kehidupan itu tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan kita hidup dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi.” Al Mukminun, ayat 37

Jika kita merasa penat di dalam apa saja perlumbaan yang memerlukan kita berlari sekuatnya, percayalah apabila menemui garisan penamat, kepenatan itu dengan sendirinya hilang terhijab atas gembira kerana kemenangan itu. Begitu juga perihal kita dan kerja-kerja Islam walau apa sahaja tugasan yang bersendikan fikrah atau pemahaman yang jelas, pasti dorongan dalam diri itu ibarat berada di dalam perlumbaan yang amat sengit.

Trek kehidupan itu amatlah pelbagai dan tidak semudah di mana-mana balapan atau laluan perlumbaan biasa. Terkadang kita ingin untuk bersama di dalam perlumbaan itu tetapi terlalu banyak halangan yang tumbuh. Halangan-halangan inilah yang perlu kita uruskan sebaik mungkin. Ada ketikanya halangan itu kerana kelemahan dan dosa kita sendiri dan diketika yang lainnya, halangan itu datang dari luar kemampuan untuk kita kendalikan. Di penghujung madrasah Ramadhan ini, marilah kita menanamkan tekad bahawa hasrat kita ikhlas di atas jalan ini dan amat mengharapkan agar Allah permudahkan segala urusan. Walau tidak memecut laju namun janganlah kita terjerat dalam vakum jahiliyah yang amat banyak di sekeliling kita. Buatlah satu panggilan telefon atau hantarlah sms kepada mana-mana sahabat kita dalam sehari di setiap hari kerana suara dan balasan sms mereka ada kekuatan untuk kita meneruskan larian sebelum sampai melintasi garisan penamat.

Merasai kebersamaan secara tatawu’...



Apa jua projek, amalan, perencanaan, program dan kerja berorganisasi perlu kita laksanakan betul-betul. Semua itu adalah wasilah untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan dalam rangka kita berta’abud kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagilah dalam suasana Islam ditekan sekarang. Segala sesuatu yang kita lakukan dan khidmat yang kita sumbangkan cukup bermakna kepada Islam. Biarlah setiap pengorbanan kita benar-benar menepati konsep ‘ubudiyyah kepada Allah SWT.

Diseru kepada semua yang terlibat dalam pembangunan tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah, da’wah Islamiyyah dan takwin organisasi supaya benar-benar merasai kebersamaan dan keterlibatan dalam segala projek, kerja dan rancangan yang dijalankan oleh organisasi.

Kita perlu memberi apa sahaja yang dapat kita berikan. Kita boleh memberi tunjuk ajar, bimbingan dan apa saja yang mampu. Terutama, dalam keadaan sekarang di mana kita jalankan kerja secara tatawu’. Tidak ada kuasa yang mengarahkan atau mengenakan denda kepada kita sekiranya kita tidak melaksanakan kerja-kerja itu. Kerja-kerja kita berdasarkan tatawu’, keikhlasan, keimanan dan ‘ubudiyyah kepada Allah SWT semata-mata.

UDMZ/aq/2 Mac 1990