Ziarah Bersulam Ukhuwah..........KLU & KLANG

No comments





Membina satu peradaban dan ketamadunan seperti yang pernah ditunjukkan Rasulullah bukanlah tugas yang mudah tetapi tidak juga mustahil kerana qudwahnya telah dipertontonkan. Peradaban dan ketamadunan kini tidak lagi berkiblat kepada binaan bangunan yang besar, lautan kemewahan yang memukau  dan kemegahan materialistik dan duniawi yang dijaja kesegenap rasa insan. 

Peradaban dan ketamadunan selepas ini bakal berteraskan al-Quran dan as- Sunnah. Jiwa dan kesejahteraan kehidupan seiring dalam rahmat Ilahi. Dimensi inilah yang ditakuti musuh-musuh Islam, dibayangi rasa takut akibat tidak moden, diserang sentuh gundah kerana mengutamakan Allah lebih daripada segalanya malah dikata kolot akibat ikut Rasul. Nyata kemungkaran hari ini semakin tenat memburu lenyap. Deen Allah semakin bertakhta di hati hamba.

Disekelilingnya penuh ukhuwah yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Jiwa muda mencari halus bimbingan warga lama bertenaga. Warga senja mencurah pelangi suluhan di minda pemuda.  Semuanya ini mercup di sana sini bagai tidak tertampung lagi. Adunan pelbagai usia ini adalah pewaris peradaban dan ketamadunan  yang ditunjukkan Rasul. Generasi penerus perjuangan menegakkan makruf dan mencegah mungkar kini di mana-mana.

Begitu pandangan hati memandang kehidupan dikelilingi sahabat dan sahibah yang dalam diri mereka hanya berhajatkan redha daripada Allah. Tidak menjatuhkan malah sentiasa didukungi langkah agar tidak tersasar. Jauh sekali sinis mengkritik lagak mengapi marak amarah tetapi ditegur penuh kasih dan sayang. Ruginya apabila ada yang merasai kebejatan langkah kehidupan ini hanya dirinya seorang yang benar. Sedangkan hidup berjamaah itu di ketika ini adalah satu tuntutan.





Terbaca di ‘fan page’ Pahrol Mohamad Juoi....” Jika kita sombong dengan kebenaran yang kita miliki ertinya kita bukan dalam kebenaran! Kebenaran untuk diamal dan disampaikan bukan untuk dibanggakan. Orang yang memilikinya berakhlak, bukan bongkak.” Ungkapan ringkas penuh makna.

No comments :

Post a Comment