Jom Jamuan Aidilfitri 1432H.....dan rehlah

No comments

Hulu Selangor, 25 Sep 2011 – Sempena lebaran 1432H, pertemuan silaturahim dan ramah mesra sesama insan telah menjadi satu budaya yang baik dan memberi kekuatan kepada setiap jiwa yang terikat dalam ikatan syahadah. Tidak ketinggalan bagi keluarga HALUAN Rawang yang turut mengadakan Jamuan Aidilfitri sekaligus rehlah keluarga kepada seluruh keluarga anggota, pemuda dan Relawan di daerah Hulu Selangor. Turut serta dalam pertemuan itu adalah HALUAN Sungai Buloh dan Petaling Jaya. Acara yang disusun sederhana di dalam suasana damai desa dan kehijauan dedaunan dan kesegaran air sungai yang mengalir di Resort Restu Ibu, Kampung Ulu Kalong, Batang Kali telah menghimpun kira-kira 60 orang peserta.

Acara bermula dengan kata-kata aluan daripada Pengerusi HALUAN Rawang kepada seluruh peserta yang hadir diikuti dengan jamuan makan yang telah disediakan oleh Chef Kehormat HALUAN Rawang, Abang Long yang telah menyediakan rendang ayam dan daging bersama pulut kuning. Turut disediakan ialah kuah kacang dan lodeh bersama nasi himpit sumbangan Cikgu Hamilah. Serta lain-lain juadah yang berkonsep ‘pot-luck’. Setelah puas menjamu selera, satu bentuk pengisian ilmu turut dihidangkan berkisar tentang bagaimana seharusnya Aidilfitri itu dirai atau disambut, pengisian ini telah disampaikan oleh Pengerusi HALUAN Rawang, En Ahmad Fisal Md Salleh. Antara lain berkisar tentang tuntutan atau susunan keutamaan di dalam berziarah sesama muslim. Diikuti kemudiannya dengan sesi fotografi sebagai kenang-kenangan.

Acara hari itu disambung dengan menikmati kesegaran air sungai, mandi manda, bertukar-tukar pandangan sambil terus menikmati juadah yang disediakan. Semoga kuntum ukhuwah itu terus kukuh dan bersemi di hati seluruh keluarga peserta. Inilah kekuatan yang amat diperlukan lebih-lebih lagi dalam menjalani kehidupan yang bermatlamatkan keredhaan Allah. Menuntut setiap suasana dibina dan dipupuk dengan ruh Islami, terpelihara tutur kata, terjaga tingkah laku, terpamer akhlak serta pekerti dan terserlah jiwa serta fokus dalam tindakan. Mudah-mudahan kita diberi semangat yang kuat dan kekuatan yang hebat daripada Allah dalam meneruskan kerja-kerja Islami di dalam kehidupan.

No comments :

Post a Comment