Anak-Anak Ku... Buah Hati Ku... Damai Di U.K.

No comments

Genta rasa anak-anak sama ada lelaki (aulad) atau perempuan (banat) sering sahaja mencabar naluri keibubapaan kita. Namun apa pun, itulah yang dikurniakan Allah Azzawajalla kepada kita pasca pernikahan yang mengundang tangis syaitan yang terkutuk. HALUANITA Rawang telah berterusan menyuburkan perilaku anak-anak demi mencari jatidiri yang cemerlang dan soleh, berdaya saing dan tarbawi serta penuh semangat juang dan beriltizam. Kasih dan sayang kita kepada anak-anak janganlah menjadikan mereka tidak punya kederasan dalam kehidupan. Kederasan menggenggam kefahaman Islam dan keterujaan berdiri sebagai individu yang ingin melaksanakan Islam dalam kehidupan walau dalam apa ketika sekalipun.




Kali ini HALUANITA Rawang meneroka damai teratak Restu Ibu Resort di suatu sudut daerah Hulu Selangor. Destinasi kali ini digamit Kampung Ulu Kalong, Ulu Yam yang terletak kira-kira 6 kilometer dari Bandar Batang Kali dan mengambil masa 10 minit dari pekan Ulu Yam Baru. Aroma desa teratak ini begitu menyegarkan, deruan kali serta kejernihan airnya menyingkap memori zaman kanak-kanak sewaktu di kampung. Pohonan yang merimbun juga melambai kedamaian rasa, hati dan minda. Resam anak-anak serba serbi aktif baik diketika mandi manda, berbicara, bermain sehinggalah sewaktu makan, benar-benar mencuit rasa. Azam kita agar kecergasan ‘aulad’ dan keceriaan ‘banat’ membuahkan warisan untuk Islam. Warisan yang tertegak di dalam diri mereka akan kefahaman Islam dan berdiri mereka selaku peribadi yang membawa sahsiah Islam walau di mana mereka berada.

Kedamaian mini rehlah ini begitu dirasai dalam mengisi waktu senggang anak-anak. Dengan azam untuk bertamu kembali ke teratak Restu Ibu Resort, program ‘Aulad Banat’ anjuran HALUANITA Rawang diakhiri pesanan daripada Pengerusi HALUAN Rawang, En Ahmad Fisal yang mengingatkan peri pentingnya pengisian jiwa anak-anak dengan aktiviti seumpama ini dalam usaha memastikan hati mereka sentiasa dekat dengan Allah dan sentiasa segar bercita-cita membawa sahsiah Islam. Ketenangan desa kami tinggalkan dan kembali menongkah realiti kesibukan kehidupan harian.

Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu untuk memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkan hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan yang sebenar) tentangMu…….








No comments :

Post a Comment