HARI RELAWAN HALUAN @ Bdr Tasik Puteri, Rawang, Selangor

No comments

Bandar Tasik Puteri – 28 November 2010. Buat julung kalinya HALUAN Malaysia, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan Hari Relawan HALUAN dengan kerjasama Jawatankuasa Madrasah As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Hari terbuka ini bertujuan untuk membuka peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama HALUAN, mengenali ruang bicara dan mengorak langkah dalam merealisasikan agenda kesejahteraan ummah. Lebih 300 ahli qariah telah hadir dan mendengar kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Tuan Hj Noorazman, Pengerusi HALUAN Palestin yang juga ketua delegasi Malaysia dalam misi kapal Mavi Marmara menerobos sekatan pengganas Zionis di Gaza.


Pengerusi Madrasah As Siddiqin, En Harun dalam kata-kata aluannya menyifatkan aktiviti atau karnival bersama HALUAN Malaysia melalui HALUAN Unit Rawang dan Biro Relawan HALUAN adalah satu kejayaan. Ini membuka ruang pengisian yang lebih terbuka dalam menangani isu-isu kebejatan ummah dan menyusun agenda pembangunan insan khususnya di qariah Bandar Tasik Puteri. Sambil menggesa agar kesemua yang hadir turut sama mendaftarkan diri sebagai relawan HALUAN beliau turut juga memastikan kesemua Ahli Jawatankuasa Madrasah As Siddiqin turut menjadi relawan.

Hari terbuka ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua HALUAN Selangor iaitu Tuan Hj Ir Abdul Aziz Md Ali. Di dalam ucapan perasmian itu, beliau amat menekankan pentingnya untuk bersama-sama dalam ikatan ukhuwwah dalam merancang dan melaksanakan apa sahaja agenda pembangunan ummah malah menangani apa jua permasalahan di dalam masyarakat. Justeru sambil menekankan peri pentingnya bersama dalam sebarang cabaran, beliau juga menyebut bukanlah dengan menjadi relawan HALUAN hanya langkah-langkah pembangunan ummah boleh terlaksana. Lebih penting daripada itu adalah kesediaan hati-hati Muslim dan kepekaan terhadap segala bentuk anasir yang boleh merosakkan masyarakat.

Kuliah Dhuha yang disampaikan Tuan Hj Noorazman berkisar tentang kewajipan berjihad. Mengambil bumi Palestin sebagai contoh dan kecekalan saudara kita di bumi itu telah menyediakan lanskap pemikiran berfikir yang mampu merangsang keperluan untuk menjadi relawan. Beliau juga menyentuh bahawa untuk menjadi relawan, ilmu yang berkaitan suasana yang pelbagai adalah amat diperlukan. Sambil berkongsi pengalaman aktivis misi kemanuasiaan yang lalu, para hadirin diperjelaskan bahawa relawan HALUAN perlu melalui siri latihan dan melengkapkan modul mengikut minat dan kepakaran masing-masing agar berilmu dan berakhlak dengan baik sebelum mencurahkan bakti.


Selain kuliah Dhuha dan sesi penerangan berhubung relawan, pelbagai kaunter seperti pemeriksaan perubatan percuma kendalian Kelab Kesihatan HALUAN, beraneka produk yang disediakan HALUAN Palestin, jualan buku-buku, kaunter ekspress Tabung Haji, kaunter aduan JKP dan takaful tersedia kepada hadirin.

Sebanyak 140 borang telah dikembalikan dan jelas kelihatan di wajah setiap yang mengisi butiran diri pasti bersemangat untuk menantikan program susulan yang telah dirangka sepanjang 2011. Terdapat beberapa modul yang akan diketengahkan bagi menyediakan relawan yang berakhlak, mendidik dan berbakti termasuklah mempersiapkan diri untuk berperanan di dalam apa jua misi kemanusiaan yang sesuai.

Memetik ungkapan salah seorang peserta yang hadir dan telah berdaftar sebagai relawan, “Masyarakat kita amat kurang terdedah dengan keupayaan berukhuwwah, bersama-sama berfikir kemudian melangkah bersama-sama dalam menangani permasalahan ummah dan seterusnya membangunkan agenda ummah dalam pelbagai suasana. Suasana senang dan tenteram hari ini menjadikan kita lupa kepada tugas kita yang hakiki iaitu khalifah Allah di muka bumi. Mudah-mudahan dengan menjadi relawan HALUAN Malaysia, saya dan keluarga akan lebih berakhlak, mendidik dan berbakti.”

Laporan oleh :

No comments :

Post a Comment