Syawal...tabur ukhuwwah dan buang mazmumah persahabatan
Di bumi Malaysia ini, Syawal adalah bulan menabur ukhuwwah, membuang mazmumah persahabatan dan mencerap amalan berkongsi rezeki di mana yang boleh. Meriah dan ceria seandainya amalan tradisi kita di bulan Syawal ini mampu disuburkan di bulan-bulan yang lainnya. Sesungguhnya amalan sebegitu dianjur Rasulullah asal saja kita tidak beriktikad bahawa ianya hanya perlu dilakukan di bulan Syawal sahaja.Menabur ukhuwwah adalah seni yang perlu dipupuk. Menabur ukhuwwah keranaAllah mengundang lebih usaha kerana di situ ada dakwah dan tarbiyah serta fikrah yang jelas. Kemungkaran juga menagih keakraban di antara pelakunya. Maka ukhuwwah dan ikatan perkenalan atas sesuatu tujuan mempunyai perbezaan yang jelas ketara. Kita ada pilihan apabila merenung perkenalan kita dengan sesiapa sahaja. Pilihan untuk berukhuwwah atau sekadar ikatan perkenalan yang biasa. Dipandang daripada sudut tanggungjawab, menghimpunkan kenalan dilingkungan ukhuwwah adalah lebih dituntut. Sentiasalah kemaskini kenalan kita ke tahap yang membolehkan untuk kita berukhuwwah dengannya.
Mazmumah persahabatan mempunyai pelbagai sisi. Menyediakan ruang untuk bermaafan dan membuang mazmumah yang membunuh persahabatan atau ukhuwwah adalah penting. Kita juga punya pilihan untuk membuang mazmumah ini dan disirami dengan kesegaran ukhuwwah. Mazmumah persahabatan ini adalah parasit yang mampu meruntuhkan persahabatan. Penyingkiran awal mazmumah persahabatan adalah usaha terbaik dalam memelihara ukhuwwah. Apa mazmumah persahabatan? Apa sahaja yang boleh mencacatkan persahabatan, itulah mazmumah persahabatan.
Memberi makan adalah sifat mulia, hati akan mudah bertaut dengan suapan. Sajian makanan tidak penting namun bersama-sama mengadap rezeki itulah lebih terkesan dalam hati. Bersama melayar ukhuwwah akan menerbitkan ruang kebersamaan yang mantap dan sukar digugat.
Hampir tiada agenda lain di hujung minggu bulan Syawal ini selain menabur ukhuwwah, membuang mazmumah persahabatan dan berkongsi rezeki. Hadirlah siapapun untuk ‘menumpang kasih’ di Syawal ini, pasti bersahut dan berbalas rasa hati. Melempar pandang akan matlamat ketaqwaan yang dicari, kita sebenarnya mampu mewujudkan suasana-suasana yang membentuk ukhuwwah. Mudah-mudahan ianya tidak bermusim dan kekal bersemi seruan-seruan tarbawi di setiap jamuan dan ‘open house’.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment