AGM 2011 - Media @ Work
Kelompok media pada resminya sentiasa berfikir bagaimana untuk menyalurkan apa sahaja maklumat kepada minda masyarakat atau kumpulan sasaran. Dalam percaturan ini, apa yang masyarakat atau kumpulan sasar itu bakal terdedah pada peringkat awal adalah apa yang dipersembahkan oleh pengamal media. Kelompok media ini mempunyai saluran yang pelbagai dalam menyampaikan berita atau perkhabaran seperti akhbar, penyiaran langsung atau rakaman, penerbitan makalah, majalah atau buku-buku, sistem pesanan ringkas, sidang video, laman web, blog dan apa sahaja medium penyampaian yang mampu sampai kepada masyarakat pada kadar maksimum.
Pada dasarnya, kelompok media wajib bertanggungjawab dalam apa sahaja butir penyampaian yang ingin dipersembahkan. Bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, negara dan Allah swt. Memahami hirarki tanggungjawab dan menyedari bahawa tanggungjawab asasi manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah adalah asas terpenting untuk melihat kredibiliti pengamal media. Menjadi kelebihan yang menakjubkan andai ada pengamal media yang turut memahami bahawa dakwah dan tarbiah adalah juga pakaian mereka dalam menghamparkan persembahan atau pemberitaan. Kelompok media sebeginilah yang menjadi sebahagian keperluan mendesak di dalam dunia hari ini. Memperkasakan dakwah dan tarbiah serta menyediakan santapan minda yang mampu menghadirkan perspektif Islam pada landasan yang cemerlang.
Daripada aspek yang lainnya, ramai yang menyangka apa yang terhidang hari ini adalah hiburan yang katanya adalah suatu keperluan kepada masyarakat hari ini, maka tersebar luaslah genre hiburan dalam persembahan yang kita lihat bertaburan dan mudah diperolehi. Langsung tidak menyalahi andai ada yang beranggapan, semua ini adalah hasil daripada rencana musuh-musuh ummah yang tidak pernah lalai merencanakan kehancuran Islam dan umatnya. Lalu apakah peranan kita ?
Soalan yang memerlukan jawapan yang lahir daripada kesungguhan dan pemikiran yang di luar kebiasaan. Menjadi keperluan yang perlu diisi sebaik mungkin akan tenaga pengamal media yang mampu memberi satu wajah baru kepada dimensi media, masyarakat dan perspektif kehidupan yang peka pada kewujudan ukhrawi
Seminar Antarabangsa, Bantuan Kemanusiaan Dan Keamanan Untuk Gaza 2011

HALUANdotTV

Mari kita bangunkan dimensi ini. Soalan yang perlu kita tanya dan jawab selengkap yang mungkin ialah :
Siapa sasaran kita ?
Apa slot paparan yang hendak kita paparkan ?
Siapa pelakon atau artis kita ?
Siapa krew penerbitan kita nanti ?
Di mana studio kita nanti ?
Siapa yang akan terlibat nanti ?
Kita bina kepakaran ini sedikit demi sedikit. Kita warnai bidang ini bersama. Mari kita sampaikan Islam dari perspektif ini. Kita cari kepakaran ini. Mari kita berta’aruf dengan rakan media yang lain. Fikrah Islam mesti kita siar dan syiarkan. Untuk menjadi pakar dan arif, semuanya memerlukan langkah pertama yang bermakna. Kita memerlukan ratusan nasihat, ribuan teguran dan jutaan bimbingan. Munajat kepada Allah adalah permulaan segalanya.
Jendela Konvensyen di Putrajaya......
Putrajaya – 22-24 Oktober 2010 telah berlangsung Konvensyen Pembangunan Ummah di auditorium Masjid Putra. Konvensyen kali ini bertajuk ‘Bersama Menangani Permasalahan Ummah’ dan telah dihadiri lebih daripada 250 orang daripada pelbagai lapangan. Wakil daripada daerah Hulu Selangor juga tidak ketinggalan hadir di konvensyen tersebut. Kertas kerja konvensyen yang julung kali diadakan ini telah disampaikan oleh para pakar daripada pelbagai bidang seperti :
- Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, YABhg. Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid
- Professor Pendidikan Institusi Pendidikan UIAM YBhg Prof Dato’ Dr Sidek Baba
- Penasihat Global Civilizations Study Centre UK YBhg Dr Kamal Tawfik ElHelbawy
- Pengerusi QSR Brands Bhd YBhg Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim
- Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM) YBhg Datuk Nik Mustapha Hj Nik Hassan
- Pensyarah Institut Sains dan Teknlogi Nasional (ISTN) Jakarta, Indonesia YBhg Prof Dr Ir Agus Priyono
- Presiden HALUAN Malaysia YBhg Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman
- Wakil TERAS , Ybhg Tn Hj Muhammad Azmi Bin Abdul Hamid
- Wakil WADAH, YBhg Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman
Begitu banyak ilmu serta panduan yang boleh diaplikasikan pasca konvensyen namun memerlukan langkah dan tindakan yang bersepadu serta menyeluruh. Apabila ditanya kepada Presiden HALUAN Malaysia, Dr Abdullah Sudin di dalam temuramah khas dengan mediaHALUAN Rawang berhubung apakah langkah seterusnya selepas konvensyen ini? Maka beliau memetik sebagai berkata; “ Banyak langkah yang perlu disusun oleh HALUAN Malaysia dan konvensyen ini akan menjadi titik tolak kepada saranan-saranan yang nantinya akan dipanjangkan kepada badan-badan yang bertanggungjawab dan kita akan mengambil serius inisiatif ini.”
Sessi forum menyajikan celoteh bersahaja Cikgu Azmi dengan tandadagangnya yang tidak asing kepada semua serta huraian penuh gaya daripada Prof Dato Mohd Yusof disulami dengan usikan santai moderator Dr Azizan telah menjadikan forum itu seakan terlalu singkat. Seakan ada terjahan yang membetulkan duduk posisi yang mendengar apabila Cikgu Azmi berbicara bahawa NGO yang ingin ke hadapan perlu menyiapkan banyak aspek sehingga mampu berdiri sama tinggi dengan apa yang dibawa oleh barat. Diketika nanti apabila orang luar datang dan ingin belajar daripada kita, itulah saatnya memberi tanda bahawa kewujudan kita sebenarnya ada impak.
Konvensyen yang julung kali ini juga telah dibawa secara langsung oleh mediaHALUANrawang dan ditonton oleh lebih 2500 pelayar internet di seluruh dunia. mediaHALUANrawang telah diamanahkan untuk membuat dokumentasi rakaman di sepanjang konvensyen.
Penutup konvensyen telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JAKIM iaitu Dato Wan Mohamad bin Sheikh Abdul Aziz. Sebutir permata kata yang dapat dikutip daripada beliau ialah, ‘Kitalah yang perlu mengisi seluruh kehidupan kita dengan Islam bukannya ternanti-nanti apa yang Islam boleh tawarkan kepada kita,’ Konvensyen selama 3 hari ini sesungguhnya memberi input yang amat berharga kepada para peserta. Manfaat daripada konvensyen ini perlu dizahirkan sebagai praktik di setiap peringkat di dalam masyarakat. Beramal dengan ilmu yang diperolehi memang menuntut kesabaran dan hikmah yang tidak putus.
Nantikan DVD konvensyen dibawa istimewa oleh :
Mari Berkonvensyen
Memberi Erti di Idul Fitr 1431 H......
HALUAN Rawang
Mengucapkan
Selamat Menyambut Idul Fitr 1431 H.
Khas buat yang mengikuti blog ini,
Sahabat dan Sahibah
yang sentiasa menyuntik inspirasi.
Adik-adik KIBAR dan warga S M Bdr Tasik Puteri.
Adik-adik SAMER Rawang.
Pemuda dan Pemudi Darul Quran, UNISEL, UPSI, UIA dan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sg Buloh .
Anggota Relawan HALUAN Malaysia.
Jawatankuasa Surau As Siddiqin Bdr Tasik Puteri.
Dan ramai lagi yang tidak mampu disenaraikan.
Mudah-mudahan Madrasah Ramadhan kali ini
Menjadikan kita Muslim yang teguh peribadi
Berlumba untuk
Berakhlak Mendidik & Berbakti
Berhati-hati di perjalanan sewaktu menyempurnakan ziarah.
Sejahterakan kesihatan dengan beringat sewaktu makan.
Jelajahi sanak saudara, teman dan taulan malah sesiapa saja.
Kerana di situ ada ruang buat kita semua. Ruang untuk Berakhlak Mendidik & Berbakti.




