Showing posts with label HALUANITA. Show all posts
Showing posts with label HALUANITA. Show all posts

Anak-Anak Ku... Buah Hati Ku... Damai Di U.K.


Genta rasa anak-anak sama ada lelaki (aulad) atau perempuan (banat) sering sahaja mencabar naluri keibubapaan kita. Namun apa pun, itulah yang dikurniakan Allah Azzawajalla kepada kita pasca pernikahan yang mengundang tangis syaitan yang terkutuk. HALUANITA Rawang telah berterusan menyuburkan perilaku anak-anak demi mencari jatidiri yang cemerlang dan soleh, berdaya saing dan tarbawi serta penuh semangat juang dan beriltizam. Kasih dan sayang kita kepada anak-anak janganlah menjadikan mereka tidak punya kederasan dalam kehidupan. Kederasan menggenggam kefahaman Islam dan keterujaan berdiri sebagai individu yang ingin melaksanakan Islam dalam kehidupan walau dalam apa ketika sekalipun.




Kali ini HALUANITA Rawang meneroka damai teratak Restu Ibu Resort di suatu sudut daerah Hulu Selangor. Destinasi kali ini digamit Kampung Ulu Kalong, Ulu Yam yang terletak kira-kira 6 kilometer dari Bandar Batang Kali dan mengambil masa 10 minit dari pekan Ulu Yam Baru. Aroma desa teratak ini begitu menyegarkan, deruan kali serta kejernihan airnya menyingkap memori zaman kanak-kanak sewaktu di kampung. Pohonan yang merimbun juga melambai kedamaian rasa, hati dan minda. Resam anak-anak serba serbi aktif baik diketika mandi manda, berbicara, bermain sehinggalah sewaktu makan, benar-benar mencuit rasa. Azam kita agar kecergasan ‘aulad’ dan keceriaan ‘banat’ membuahkan warisan untuk Islam. Warisan yang tertegak di dalam diri mereka akan kefahaman Islam dan berdiri mereka selaku peribadi yang membawa sahsiah Islam walau di mana mereka berada.

Kedamaian mini rehlah ini begitu dirasai dalam mengisi waktu senggang anak-anak. Dengan azam untuk bertamu kembali ke teratak Restu Ibu Resort, program ‘Aulad Banat’ anjuran HALUANITA Rawang diakhiri pesanan daripada Pengerusi HALUAN Rawang, En Ahmad Fisal yang mengingatkan peri pentingnya pengisian jiwa anak-anak dengan aktiviti seumpama ini dalam usaha memastikan hati mereka sentiasa dekat dengan Allah dan sentiasa segar bercita-cita membawa sahsiah Islam. Ketenangan desa kami tinggalkan dan kembali menongkah realiti kesibukan kehidupan harian.

Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu untuk memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkan hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan yang sebenar) tentangMu…….








Membangkitkan Jiwa-jiwa Pemudi di Pinggir Empangan Putrajaya



Putrajaya 19 Mac - Berkelah sambil menikmati pemandangan indah ciptaan Allah di hujung minggu merupakan terapi terbaik bagi menghilangkan tekanan di tempat kerja. HALUANITA Selangor telah menganjurkan Rehlah Pemudi yang bertempat di Taman Sri Empangan berhadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Seramai hampir 40 orang pemudi dari peringkat usia 18 tahun hingga 40 tahun sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan hadir memeriahkan rehlah yang julung-julung kalinya diadakan.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Ketua Pemudi HALUANITA Selangor, Puan Norazila bt. Mat meraikan kedatangan dengan ucapan penghargaan atas kesudian para peserta meluangkan masa hujung minggu berehlah di pinggir empangan Putrajaya. Jamuan ringan disediakan selepas sesi taaruf dan program dimulakan sejurus kemudian.
Outdoor games yang dijalankan lebih menjurus kepada aspek-aspek kewanitaan seperti berkongsi resipi masakan dan mencipta sajak. Selain itu aspek ilmiah dan perkongsian ilmu pengetahuan serta pengalaman peribadi turut diterapkan dalam permainan bola beracun di mana peserta diberi persoalan berkenaan hal-hal kewanitaan dan penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian seterusnya membangkitkan semangat kerjasama dalam kumpulan bagi menyelesaikan setiap tugasan dalam permainan. Para peserta juga berpeluang mendeklamasikan sajak hasil ciptaan ahli kumpulan masing-masing.

Sebelum program berakhir, para peserta dihidangkan dengan santapan rohani perkongsian ilmiah yang padat dan ringkas disampaikan oleh Puan Ezura Nashuha bt. Omar @ Ab. Hadi. Beliau menekankan bahawa peringkat usia wanita seawal 18 tahun sudah perlu bersedia untuk berubah dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam fasa-fasa kehidupan yang mendatang. Cabaran pertama hadir dalam dunia pekerjaan manakala cabaran kedua apabila wanita itu melangkah ke alam rumah tangga. Penglibatan wanita dalam menggerakkan dakwah dan tarbiah tidak lagi hanya di rumah malah mencakupi pelbagai ruang-ruang lain sama ada di tempat kerja atau institusi pendidikan. “Wanita sebagai agen perubah untuk generasi hadapan seperti yang disarankan oleh Fathi Yakan dalam kitab masyhurnya, ‘Generasi Muda dan Perubahan’,” ulas beliau lagi dengan panjang lebar.

Program seumpama ini merupakan medium terbaik untuk mengeratkan lagi silaturrahim sesama ahli dan golongan pemudi. Beriadah sambil menikmati dan bertadabbur dengan keindahan alam ciptaan Ilahi cukup menenangkan dan membangkitkan jiwa-jiwa muda seperti para pemudi ini. Dengan ini juga, pihak penganjur amat mengharapkan agar pengisian-pengisian yang diberikan dapat membawa seribu satu manfaat dalam menjalani kehidupan sebagai wanita muslimah yang diredhai Allah dan bekerja di atas jalan dakwahNya.

Laporan dan Rakaman oleh:

Unit Media HALUANITA

Terbitan:



Pemerkasaan Modul Taska & Tadika HALUAN


Putrajaya, 12 Mac - Pemantapan modul Taska dan Tadika dalam menerapkan aspek mentauhidkan Allah telah dijalankan dalam Bengkel Penyelarasan Silibus Taska dan Tadika HALUAN anjuran HALUANITA Pusat yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya. Bengkel itu dihadiri oleh 28 peserta wanita dari 14 buah taska dan tadika HALUAN (TTH) di seluruh negara. Para peserta yang hadir terdiri daripada pemilik dan tenaga kerja Taska dan Tadika yang merupakan ahli HALUAN.

Menurut pengerusi HALUANITA, Pn Alfiah Samingan, bengkel itu dijalankan bertujuan untuk mengemaskini, menyelaraskan seterusnya memperkasakan modul pengajaran dan pengurusan TTH seluruh negara. Sehingga hari ini terdapat 25 Taska dan Tadika HALUAN. Keadaan ini memerlukan wujudnya badan khas yang menyelaras dan memantau perkembangan dan perjalanan TTH agar ia boleh diketengahkan kepada masyarakat sebagai medan dakwah dan menjadi rujukan kepada pemilik taska dan tadika.

Bengkel sehari itu dirasmikan oleh Tn. Haji Rosdi Baharom merangkap Penasihat Silibus TTH. Beliau menyarankan penekanan aspek pendidikan aqidah terhadap kanak-kanak prasekolah di bawah usia tujuh tahun adalah perlu. Matlamat utama pendidikan anak-anak ini adalah mentauhidkan Allah dalam pelbagai subjek yang diajarkan dengan harapan dapat melahirkan generasi yang mencintai Allah lebih dari segala-galanya dan menerima Islam sebagai satu sistem kehidupan. Modul ini diharap boleh diketengahkan kepada masyarakat sebagai satu wasilah dakwah.

Para peserta turut berkongsi teknik dan kaedah pendidikan anak-anak di taska dan tadika yang dijalankan di tempat masing-masing. Ia merangkumi pengajaran kaedah membaca, penanaman aqidah malalui Asmaul Husna, penceritaan sirah nabi untuk menanamkan rasa cinta anak pada Rasulullah s.a.w dan kaedah hafazan menggunakan kaedah Quranuna.

Bengkel ini diakhiri dengan rumusan bengkel daripada Ketua Unit Silibus, Pn. Hayati yang menekankan tauhid sebagai dasar melalui subjek-subjek akidah, Al-Quran, Sirah dan Akhlak. Subjek-subjek lain seperti Bahasa, Sains dan sebagainya sebagai sokongan. Beliau berpesan, “Mari bersama-sama membina modul ini dan mengajak anak-anak mengenal Allah. Allah akan membantu bila kita ikhlas semata-mata keranaNya.”

(Tn Hj Rosdi Baharom adalah penasihat dan mentor bagi HALUAN Rawang)

Liputan dan Rakaman oleh:

Unit Media HALUANITA

Terbitan: