Showing posts with label REHLAH. Show all posts
Showing posts with label REHLAH. Show all posts

Rehlah Pasca Covid 19............Taman Tasik Milenium




Kuala Kubu Baru, 30 Jul 2022 - Telah berlangsung aktiviti keluarga besar HALUAN Unit Rawang di Taman Millenium, Kuala Kubu Baru. Rehlah keluarga ini telah mengumpulkan lebih daripada 40 orang anggota keluarga di daerah Rawang.

Aktiviti bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim dalam aktiviti yang lama tidak dilaksanakan akibat daripada Covid 19.




Aktiviti santai ini amat penting dalam membina ukhuwah sesama anggota. Tidak dapat kita nafikan yang pandemik Covid 19 sedikit sebanyak telah mengatur kehidupan kita dalam lanskap yang menjauhkan kita daripada aktiviti-aktiviti kemanusiaan.





Wasilah kepada tarbiah itu memang pelbagai. Kepelbagaian itu amat perlu dimanfaatkan. Rehlah, berkhemah, bermalam di masjid, bermusafir dan banyak lagi mesti kita segarkan. Meski ada yang mengatakan aktiviti-aktiviti tersebut menyusahkan namun jiwa dan nafsu kita perlu dididik untuk melalui keadaan-keadaan tersebut agar setiap daripada kita ini kuat jiwanya dan lasak mindanya.






Keakraban dan keserasian dalam bekerja serta berusaha melaksanakan kehidupan Islam dalam diri dan keluarga amat memerlukan pelbagai situasi. Umum tahu yang umat Islam ketika ini tidak mempunyai daulah yang dipimpin oleh Khalifah. Apa yang kita ada hari ini adalah pemimpin Islam yang bekerja mengatur kehidupan mengikut pelbagai sistem seperti demokrasi umpamanya. Meskipun ada banyak perkara di dalam demokrasi dialu-alukan aturannya namun belum kita temui hasrat utama demokrasi itu bersetuju dengan aturan Allah secara total.





In shaa Allah akan banyak lagi aktiviti seumpama ini bakal dilaksanakan.


Dulu Di Suatu Ketika.........


Suatu hari Baginda Sulaiman AS sedang berjalan-jalan. Ia melihat seekor semut sedang berjalan sambil mengangkat sebutir buah kurma. Baginda Sulaiman AS terus mengamatinya, kemudian beliau memanggil si semut dan menanyainya, Hai semut kecil untuk apa kurma yang kau bawa itu?. Si semut menjawab, Ini adalah kurma yang Allah SWT berikan kepada ku sebagai makananku selama satu tahun. 

Baginda Sulaiman AS kemudian mengambil sebuah botol lalu ia berkata kepada si semut, Wahai semut kemarilah engkau, masuklah ke dalam botol ini aku telah membagi dua kurma ini dan akan aku berikan separuhnya padamu sebagai makananmu selama satu tahun. Tahun depan aku akan datang lagi untuk melihat keadaanmu. Si semut taat pada perintah Nabi Sulaiman AS. 

Setahun telah berlalu. Baginda Sulaiman AS datang melihat keadaan si semut. Ia melihat kurma yang diberikan kepada si semut itu tidak banyak berkurang. Baginda Sulaiman AS bertanya kepada si semut, hai semut mengapa engkau tidak menghabiskan kurmamu Wahai Nabiullah, aku selama ini hanya menghisap airnya dan aku banyak berpuasa. Selama ini Allah SWT yang memberikan kepadaku sebutir kurma setiap tahunnya, akan tetapi kali ini engkau memberiku separuh buah kurma. Aku takut tahun depan engkau tidak memberiku kurma lagi karena engkau bukan Allah Pemberi Rizki (Ar-Rozak), jawab si semut.

Suatu Hari Yang Menggamit Memori.......Di Rehlah Tarbawi.....






Hari itu kami berkumpul lagi, keluarga-keluarga kecil berhimpun menjadi keluarga besar, yang masih belum berkeluarga memerhati penuh hairan sambil tinggi minat akan gelagat ibu dan anaknya, ayah dan anaknya malah interaksi suami dan isterinya......minat sambil terdetik ......bila giliran aku...? Kali ini kita agak terasa seperti  pergi berkursus. ....rehlah di perkarangan sebuah pusat latihan, institusi kerajaan negeri di Ulu Yam. 
Semua itu kenangan dan lebih bersemi kenangan itu apabila berkumpulnya kami membawa objektif......mmm.....berkesan sungguh tarbiah Cikgu Pa. Tiada satupun aktiviti HALUAN Unit Rawang di Hulu Selangor ini dibuat tanpa meletakkan objektif. Objektif kali ini adalah setiap keluarga diminta menyediakan profil keluarga masing-masing berserta kata-kata nasihat, hikmah malah wasiat kepada ahli keluarga masing-masing. Waktu itu, ahli keluarga akan mendengar nasihat dan wasiat daripada ketua keluarga sambil dipersaksikan keluarga yang lain.......dah tentu-tentu tidak ada nasihat yang merapu.

Ada yang memang telah tahu kerana bersama-sama menyediakan profil itu, namun ada juga yang kali pertama melihatnya.....kerana ketua keluarga ingin memberi impak yang maksima kepada ahli keluarga. Masing-masing dengan pendekatan masing-masing.


































Biasalah, makan adalah saat terindah.......barbeque malam itu sungguh menggamit selera. Ada sungai,  cukup untuk mandi manda. Paling indah, sessi fotografi di akhir program. Unik rehlah kali ini, tetap memahat memori indah meningkatkan ukhuwah dan memenuhi amal Islami. ......kena cari laut juga rasanya........

Anak-Anak Ku... Buah Hati Ku... Damai Di U.K.


Genta rasa anak-anak sama ada lelaki (aulad) atau perempuan (banat) sering sahaja mencabar naluri keibubapaan kita. Namun apa pun, itulah yang dikurniakan Allah Azzawajalla kepada kita pasca pernikahan yang mengundang tangis syaitan yang terkutuk. HALUANITA Rawang telah berterusan menyuburkan perilaku anak-anak demi mencari jatidiri yang cemerlang dan soleh, berdaya saing dan tarbawi serta penuh semangat juang dan beriltizam. Kasih dan sayang kita kepada anak-anak janganlah menjadikan mereka tidak punya kederasan dalam kehidupan. Kederasan menggenggam kefahaman Islam dan keterujaan berdiri sebagai individu yang ingin melaksanakan Islam dalam kehidupan walau dalam apa ketika sekalipun.




Kali ini HALUANITA Rawang meneroka damai teratak Restu Ibu Resort di suatu sudut daerah Hulu Selangor. Destinasi kali ini digamit Kampung Ulu Kalong, Ulu Yam yang terletak kira-kira 6 kilometer dari Bandar Batang Kali dan mengambil masa 10 minit dari pekan Ulu Yam Baru. Aroma desa teratak ini begitu menyegarkan, deruan kali serta kejernihan airnya menyingkap memori zaman kanak-kanak sewaktu di kampung. Pohonan yang merimbun juga melambai kedamaian rasa, hati dan minda. Resam anak-anak serba serbi aktif baik diketika mandi manda, berbicara, bermain sehinggalah sewaktu makan, benar-benar mencuit rasa. Azam kita agar kecergasan ‘aulad’ dan keceriaan ‘banat’ membuahkan warisan untuk Islam. Warisan yang tertegak di dalam diri mereka akan kefahaman Islam dan berdiri mereka selaku peribadi yang membawa sahsiah Islam walau di mana mereka berada.

Kedamaian mini rehlah ini begitu dirasai dalam mengisi waktu senggang anak-anak. Dengan azam untuk bertamu kembali ke teratak Restu Ibu Resort, program ‘Aulad Banat’ anjuran HALUANITA Rawang diakhiri pesanan daripada Pengerusi HALUAN Rawang, En Ahmad Fisal yang mengingatkan peri pentingnya pengisian jiwa anak-anak dengan aktiviti seumpama ini dalam usaha memastikan hati mereka sentiasa dekat dengan Allah dan sentiasa segar bercita-cita membawa sahsiah Islam. Ketenangan desa kami tinggalkan dan kembali menongkah realiti kesibukan kehidupan harian.

Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu untuk memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkan hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan yang sebenar) tentangMu…….