Membangkitkan Jiwa-jiwa Pemudi di Pinggir Empangan Putrajaya
Putrajaya 19 Mac - Berkelah sambil menikmati pemandangan indah ciptaan Allah di hujung minggu merupakan terapi terbaik bagi menghilangkan tekanan di tempat kerja. HALUANITA Selangor telah menganjurkan Rehlah Pemudi yang bertempat di Taman Sri Empangan berhadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Seramai hampir 40 orang pemudi dari peringkat usia 18 tahun hingga 40 tahun sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan hadir memeriahkan rehlah yang julung-julung kalinya diadakan.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Ketua Pemudi HALUANITA Selangor, Puan Norazila bt. Mat meraikan kedatangan dengan ucapan penghargaan atas kesudian para peserta meluangkan masa hujung minggu berehlah di pinggir empangan Putrajaya. Jamuan ringan disediakan selepas sesi taaruf dan program dimulakan sejurus kemudian. Outdoor games yang dijalankan lebih menjurus kepada aspek-aspek kewanitaan seperti berkongsi resipi masakan dan mencipta sajak. Selain itu aspek ilmiah dan perkongsian ilmu pengetahuan serta pengalaman peribadi turut diterapkan dalam permainan bola beracun di mana peserta diberi persoalan berkenaan hal-hal kewanitaan dan penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian seterusnya membangkitkan semangat kerjasama dalam kumpulan bagi menyelesaikan setiap tugasan dalam permainan. Para peserta juga berpeluang mendeklamasikan sajak hasil ciptaan ahli kumpulan masing-masing.
Sebelum program berakhir, para peserta dihidangkan dengan santapan rohani perkongsian ilmiah yang padat dan ringkas disampaikan oleh Puan Ezura Nashuha bt. Omar @ Ab. Hadi. Beliau menekankan bahawa peringkat usia wanita seawal 18 tahun sudah perlu bersedia untuk berubah dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam fasa-fasa kehidupan yang mendatang. Cabaran pertama hadir dalam dunia pekerjaan manakala cabaran kedua apabila wanita itu melangkah ke alam rumah tangga. Penglibatan wanita dalam menggerakkan dakwah dan tarbiah tidak lagi hanya di rumah malah mencakupi pelbagai ruang-ruang lain sama ada di tempat kerja atau institusi pendidikan. “Wanita sebagai agen perubah untuk generasi hadapan seperti yang disarankan oleh Fathi Yakan dalam kitab masyhurnya, ‘Generasi Muda dan Perubahan’,” ulas beliau lagi dengan panjang lebar.
Program seumpama ini merupakan medium terbaik untuk mengeratkan lagi silaturrahim sesama ahli dan golongan pemudi. Beriadah sambil menikmati dan bertadabbur dengan keindahan alam ciptaan Ilahi cukup menenangkan dan membangkitkan jiwa-jiwa muda seperti para pemudi ini. Dengan ini juga, pihak penganjur amat mengharapkan agar pengisian-pengisian yang diberikan dapat membawa seribu satu manfaat dalam menjalani kehidupan sebagai wanita muslimah yang diredhai Allah dan bekerja di atas jalan dakwahNya.
Laporan dan Rakaman oleh:
Unit Media HALUANITA
Terbitan:
No comments :
Post a Comment