Showing posts with label RELAWAN. Show all posts
Showing posts with label RELAWAN. Show all posts

Bengkel Pembentukan Manual Sukarelawan Islam Anjuran JAKIM



Putrajaya, 9 Mac – Bengkel merangka manual bagi sukarelawan Islam telah berlangsung di Masjid Mizan atau Masjid Besi Putrajaya. Bengkel yang mengumpulkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertujuan merangka deraf manual sukarelawan Islam yang julung-julung kali diadakan. Lebih daripada 30 orang peserta telah hadir dengan penglibatan HALUAN, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), ISMA, Yayasan Jabal Nur, World Assembly Of Muslim Youth (WAMY) dan beberapa NGO lain. HALUAN Malaysia telah diwakili oleh En Ahmad Fisal Md Salleh dan En Khairul Azman Ahmad Abkari daripada Biro Relawan HALUAN.

Bengkel yang membentangkan 5 kertas kerja daripada Dr Lukman Zawawi Bin Mohamad (UKM), Kapten Bersara Dr Samsuddin Munir (YADIM) dan Dr Muhammad nawar Bin Ariffin (Dewan Pemuda Masjid) banyak menekankan etika kesukarelawanan, penjanaan semangat kesukarelawanan dan modul latihan kesukarelawanan daripada perspektif pembentang dan organisasi pembentang.

Bengkel telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Sosial dan Kesukarelawanan JAKIM Dr Abd Ghaffar Bin Surip. Dalam ucap utamanya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada badan dan agensi yang hadir dan menekankan pembentukan modul ini yang akan berfungsi sebagai latihan atau panduan kepada modal insan yang ada di dalam JAKIM. Bengkel yang merupakan langkah pertama kepada pembentukan manual itu akan menyaksikan siri bengkel dan perbincangan susulan sehingga terhasilnya modul tersebut.

Di dalam sesi perbincangan, Dr Abd Ghaffar amat berminat dengan modul yang diguna pakai oleh HALUAN dalam mengendalikan sukarelawan yang disebut Relawan dalam konteks HALUAN. Sehubungan itu, kerjasama yang berterusan akan dijalinkan bagi memenuhi keperluan manual yang akan diguna pakai di dalam kerajaan dalam mengendalikan sukarelawan Islam. Bagi Biro Relawan HALUAN, kerjasama seumpama itu amat bermanfaat untuk pembangunan Islam dalam negara khususnya untuk pembentukan individu yang jelas pengetahuan dan kefahaman Islam dan dalam perihal dakwah kepada masyarakat seluruhnya.

Modul 1 Relawan - Latihan Paramedik


Rawang, 15 Februari. Bertempat di Madrasah As Siddiqin Bandar Tasik Puteri telah berlangsung Fasa Kedua latihan kepada Relawan HALUAN Malaysia. Di dalam fasa ini, telah diperkenalkan Modul 1 Relawan yang merupakan Latihan Paramedik yang dikendalikan oleh Dr Ahmad Zabidin daripada Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dengan di bantu secara praktikal oleh para pelajar BLS Training School Tour, Cyberjaya University College Of Medical Science, seramai kira-kira 66 orang Relawan telah hadir untuk Modul 1 kali ini.

Sessi amali begitu mendapat sambutan kerana semua peserta diberi peluang untuk melakukan sendiri kaedah bantuan kecemasan yang diajar ke atas patung atau alat bantuan pengajaran yang disediakan BLS Training School. Secara keseluruhan, Modul 1 – Latihan Paramedik ini berjaya memberi input yang berguna untuk persediaan para Relawan menghadapi situasi yang memerlukan sedikit sentuhan sebelum bantuan daripada pakar perubatan tiba. Melalui modul ini, Relawan HALUAN Malaysia didedahkan peri pentingnya untuk fokus dan melengkapkan ilmu yang berkaitan sebelum menjalankan sebarang usaha menyelamat yang memerlukan kepakaran. Walaubagaimanapun, modul ini terlalu ringkas dan dari masa ke semasa, kursus ulangkaji akan disusun agar para Relawan HALUAN Malaysia boleh berbakti di waktu dan ketika yang tepat.

Relawan HALUAN Malaysia sedang melalui modul latihan selepas diterima sebagai anggota Relawan melalui saluran pendaftaran yang dibuat tahun 2010. Sehingga kini, Biro Relawan telah mengadaptasikan proses pengambilan Relawan, proses penerangan dan Modul 1 – Latihan Paramedik. Terdapat 3 lagi modul asas yang bakal dilalui oleh para Relawan iaitu ‘Kecemasan Dan Penyelamat’, ‘Urus Tadbir Masjid/Surau’ dan ‘Bantuan Am’. Kesemua Relawan yang terlibat akan dihubungi dan dimaklumkan berhubung modul yang seterusnya.
Ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Madrasah As Siddiqin yang begitu memberi kerjasama kepada HALUAN Malaysia untuk menterjemahkan motto ‘Berakhlak, Mendidik Dan Berbakti’. Kesemua jawatankuasa Madrasah tersebut adalah juga Relawan HALUAN Malaysia.

Liputan dan Rakaman oleh:


Tamat Fasa 1 Pengambilan Relawan HALUAN Malaysia


11 Disember 2010 – Bandar Tasik Puteri. Proses pengambilan Relawan HALUAN Malaysia yang dikelolakan oleh Biro Relawan dengan kerjasama Biro HALUAN Palestin dan Kelab Kesihatan HALUAN telah melepasi fasa pertama. Penglibatan institusi masyarakat seperti Madrasah As Siddiqin berserta ahli jawatankuasanya di Bandar Tasik Puteri telah menterjemahkan usaha berukhuwwah pada radius yang penuh makna.
Dalam fasa yang pertama ini, individu masyarakat yang berminat telah memohon untuk menjadi relawan dan diluluskan serta merta bersama nombor giliran masing-masing. Selepas program Hari Relawan HALUAN tersebut, kesemua individu yang berdaftar telah dihubungi dan diminta hadir dalam program induksi atau penerangan. Di dalam program tersebut, para relawan HALUAN telah diberi penerangan lanjut berhubung HALUAN, peranannya di dalam institusi masyarakat serta bidang kerja yang menjadi fokus untuk mendidik dan berbakti. Sebanyak empat pilihan tumpuan minat telah diketengahkan iaitu paramedik, kecemasan dan penyelamat, tadbir urus masjid/surau dan akhir sekali bantuan am. Kesemua yang hadir dalam program susulan tersebut telah diberi penerangan berhubung fungsi relawan oleh Naib Presiden HALUAN iaitu Dr Azizan Ahmad. Manakala penerangan misi bantuan oleh Dr Syed Haleem dan urus tadbir masjid/surau oleh Ustaz Nur Muhammad.
Kepada relawan yang tidak berpeluang hadir di dalam program susulan atau penerangan, mereka akan dihubungi dengan surat bagi mendapatkan bidang tumpuan minat yang sesuai bagi diri masing-masing. Sukacita dimaklumkan bahawa, sebelum modul pengkhususan minat ini dikendalikan, semua relawan yang berdaftar akan melalui bengkel atau kursus berkaitan kehendak asas Islam, niat dan matlamat serta bimbingan akhlak.
Jendela fasa pertama Relawan HALUAN ini akan disusuli di dalam takwim 2011 melalui modul-modul yang disusun bagi memperlengkapkan relawan HALUAN agar siap siaga berakhlak, mendidik dan berbakti.

HARI RELAWAN HALUAN @ Bdr Tasik Puteri, Rawang, Selangor


Bandar Tasik Puteri – 28 November 2010. Buat julung kalinya HALUAN Malaysia, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan Hari Relawan HALUAN dengan kerjasama Jawatankuasa Madrasah As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Hari terbuka ini bertujuan untuk membuka peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama HALUAN, mengenali ruang bicara dan mengorak langkah dalam merealisasikan agenda kesejahteraan ummah. Lebih 300 ahli qariah telah hadir dan mendengar kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Tuan Hj Noorazman, Pengerusi HALUAN Palestin yang juga ketua delegasi Malaysia dalam misi kapal Mavi Marmara menerobos sekatan pengganas Zionis di Gaza.


Pengerusi Madrasah As Siddiqin, En Harun dalam kata-kata aluannya menyifatkan aktiviti atau karnival bersama HALUAN Malaysia melalui HALUAN Unit Rawang dan Biro Relawan HALUAN adalah satu kejayaan. Ini membuka ruang pengisian yang lebih terbuka dalam menangani isu-isu kebejatan ummah dan menyusun agenda pembangunan insan khususnya di qariah Bandar Tasik Puteri. Sambil menggesa agar kesemua yang hadir turut sama mendaftarkan diri sebagai relawan HALUAN beliau turut juga memastikan kesemua Ahli Jawatankuasa Madrasah As Siddiqin turut menjadi relawan.

Hari terbuka ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua HALUAN Selangor iaitu Tuan Hj Ir Abdul Aziz Md Ali. Di dalam ucapan perasmian itu, beliau amat menekankan pentingnya untuk bersama-sama dalam ikatan ukhuwwah dalam merancang dan melaksanakan apa sahaja agenda pembangunan ummah malah menangani apa jua permasalahan di dalam masyarakat. Justeru sambil menekankan peri pentingnya bersama dalam sebarang cabaran, beliau juga menyebut bukanlah dengan menjadi relawan HALUAN hanya langkah-langkah pembangunan ummah boleh terlaksana. Lebih penting daripada itu adalah kesediaan hati-hati Muslim dan kepekaan terhadap segala bentuk anasir yang boleh merosakkan masyarakat.

Kuliah Dhuha yang disampaikan Tuan Hj Noorazman berkisar tentang kewajipan berjihad. Mengambil bumi Palestin sebagai contoh dan kecekalan saudara kita di bumi itu telah menyediakan lanskap pemikiran berfikir yang mampu merangsang keperluan untuk menjadi relawan. Beliau juga menyentuh bahawa untuk menjadi relawan, ilmu yang berkaitan suasana yang pelbagai adalah amat diperlukan. Sambil berkongsi pengalaman aktivis misi kemanuasiaan yang lalu, para hadirin diperjelaskan bahawa relawan HALUAN perlu melalui siri latihan dan melengkapkan modul mengikut minat dan kepakaran masing-masing agar berilmu dan berakhlak dengan baik sebelum mencurahkan bakti.


Selain kuliah Dhuha dan sesi penerangan berhubung relawan, pelbagai kaunter seperti pemeriksaan perubatan percuma kendalian Kelab Kesihatan HALUAN, beraneka produk yang disediakan HALUAN Palestin, jualan buku-buku, kaunter ekspress Tabung Haji, kaunter aduan JKP dan takaful tersedia kepada hadirin.

Sebanyak 140 borang telah dikembalikan dan jelas kelihatan di wajah setiap yang mengisi butiran diri pasti bersemangat untuk menantikan program susulan yang telah dirangka sepanjang 2011. Terdapat beberapa modul yang akan diketengahkan bagi menyediakan relawan yang berakhlak, mendidik dan berbakti termasuklah mempersiapkan diri untuk berperanan di dalam apa jua misi kemanusiaan yang sesuai.

Memetik ungkapan salah seorang peserta yang hadir dan telah berdaftar sebagai relawan, “Masyarakat kita amat kurang terdedah dengan keupayaan berukhuwwah, bersama-sama berfikir kemudian melangkah bersama-sama dalam menangani permasalahan ummah dan seterusnya membangunkan agenda ummah dalam pelbagai suasana. Suasana senang dan tenteram hari ini menjadikan kita lupa kepada tugas kita yang hakiki iaitu khalifah Allah di muka bumi. Mudah-mudahan dengan menjadi relawan HALUAN Malaysia, saya dan keluarga akan lebih berakhlak, mendidik dan berbakti.”

Laporan oleh :

Program RELAWAN HALUAN

PENGUMUMAN

HARI TERBUKA
kepada yang berminat untuk menjadi
RELAWAN HALUAN MALAYSIA

* Misi kemanusiaan yang semakin meningkat
* Kepakaran paramedik oleh masyarakat awam
* Siri Modul Pembangunan Insan
* Pelbagai Bidang Kepakaran Bagi Menjana Modal Insan

Mari bersama dalam menggembleng kepakaran
sebagai
RELAWAN HALUAN MALAYSIA

Kali ini di
MADRASAH AS SIDDIQIN
BANDAR TASIK PUTERI
RAWANG, SELANGOR DARUL EHSAN
AHAD, 28 NOVEMBER 2010
9.00 pagi hingga 12.00 tengahari
*