Showing posts with label JAKIM. Show all posts
Showing posts with label JAKIM. Show all posts
Bengkel Pembentukan Manual Sukarelawan Islam Anjuran JAKIM
Khazman Abkari
Putrajaya, 9 Mac – Bengkel merangka manual bagi sukarelawan Islam telah berlangsung di Masjid Mizan atau Masjid Besi Putrajaya. Bengkel yang mengumpulkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertujuan merangka deraf manual sukarelawan Islam yang julung-julung kali diadakan. Lebih daripada 30 orang peserta telah hadir dengan penglibatan HALUAN, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), ISMA, Yayasan Jabal Nur, World Assembly Of Muslim Youth (WAMY) dan beberapa NGO lain. HALUAN Malaysia telah diwakili oleh En Ahmad Fisal Md Salleh dan En Khairul Azman Ahmad Abkari daripada Biro Relawan HALUAN.
Bengkel yang membentangkan 5 kertas kerja daripada Dr Lukman Zawawi Bin Mohamad (UKM), Kapten Bersara Dr Samsuddin Munir (YADIM) dan Dr Muhammad nawar Bin Ariffin (Dewan Pemuda Masjid) banyak menekankan etika kesukarelawanan, penjanaan semangat kesukarelawanan dan modul latihan kesukarelawanan daripada perspektif pembentang dan organisasi pembentang.
Bengkel
,
BERITA/LAPORAN
,
JAKIM
,
RELAWAN
JDK2010 Melabuhkan Tirai..
Khazman Abkari
15 Januari 2011 – Bangi. Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja 2010 (JDK2010) melabuhkan tirai serentak di ketiga-tiga lokasi di seluruh negara. Majlis penutup bagi JDK2010 zon tengah bertempat di ILIM Bangi telah disempurnakan oleh Al Fadhil Ustaz Che Ibrahim Bin Che Man, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia. Turut hadir adalah pemimpin masyarakat setempat yang secara langsung mahupun tidak telah terlibat dalam menjayakan kursus kali ini. Waris atau ibubapa para peserta yang hadir turut sama memenuhi auditorium yang padat sejak jam 10.00 pagi.
Kursus selama 22 hari ini telah membawa program ini ke fasa tersendiri dan begitu memberi kesan kepada para peserta. Program Khidmat masyarakat di Kampung Abu Bakar Baginda telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada semua peserta. Ramah mesra dengan penduduk setempat mencambahkan sejuta rasa kasih dan ukhuwwah. Dakwah dan tarbiyah itu memerlukan praktikal. Para peserta telah dibawa merasai rencah komunikasi dan perhubungan dalam ukhuwwah Islamiyah.
Selain itu, modul-modul yang telah dilalui telah membina minda serta kemahiran berfikir dan bertindak dalam pelbagai situasi. Malam aprisiasi seni telah mencungkil bakat menzahirkan ekspresi wajah dan watak di pentas terbuka dan telah dapat mereka lakukan dengan baik.
Dalam ucapan penutup, Al Fadhil Ustaz Che Ibrahim Bin Che Man, Pengarah ILIM, menyebut antara lain, program seumpama ini yang dikelola HALUAN adalah sesuatu yang baik dan syabas atas kejayaan penganjuran ini. Sebagai institusi kerajaan, sokongan akan sentiasa diberikan walaupun tidak boleh menjanjikan apa-apa, namun penganjuran program seumpama ini memang amat diperlukan bagi membina jiwa remaja muslim hari ini. Banyak menyentuh pengalaman dan memori silam berhubung prasarana di ILIM, beliau menambah, bahawa bukan sukar untuk membina kemudahan yang terkini dan canggih namun keberkesanan input yang diterima peserta adalah yang lebih utama. Dengan lafaz Basmallah, beliau menutup program Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja 2010.
Al Fadhil Ustaz Che Ibrahim kemudiannya telah sudi menyampaikan sijil serta hadiah kepada para peserta JDK2010. Dalam sesi rakaman video temuramah ringkas Media Rawang, para peserta menyatakan rasa gembira dan beruntungnya mereka kerana diberi peluang mengikuti JDK2010. Setiap saat berlangsungnya program tersebut telah memberi mereka input yang amat berguna. Mereka juga menyeru kepada para remaja lepasan SPM akan datang supaya merebut peluang untuk mengikuti Kursus Jati Diri seumpama ini agar dapat merasai modul dan realiti kehidupan yang disusun untuk pemantapan dan persiapan jiwa apabila melewati zaman remaja.
Keremajaan bukan suatu masalah, ianya satu peringkat kehidupan yang memerlukan sebatian yang seimbang kerana cabaran yang datang tidak mengira sumber dan kesediaan remaja itu sendiri. Mereka yang mempunyai jatidiri akan mudah meleraikan kekusutan tali kehidupan di usia ini manakala yang tidak bersedia dibimbangi terus tersimpul dalam simpulan yang semakin kusut. Semoga bertemu di Kursus Jatidiri Dan Kesukarelawanan Remaja yang akan datang, seluruh warga kerja JDK2010 mengucapkan selamat maju jaya kepada peserta kali ini dan di akhirnya, seruan ringkas daripada fasilitator…………..”Adik-adik, call kami kalau perlu nasihat dan tunjuk ajar, kami sentiasa menunggu.”
BERITA/LAPORAN
,
JAKIM
,
Jatidiri
,
JDK
Jatidiri & Kesukarelawanan Remaja 2010 Zon Tengah di ILIM Bangi
Khazman Abkari
26 Disember 2010 – Bangi. Kursus Jatidiri Dan Kesukarelawanan Remaja 2010 (JDK) bagi Zon Tengah telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Othman Bin Mustapha, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM. Kursus Jatidiri bagi zon tengah ini akan berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) selama 22 hari iaitu dari 25 Disember 2010 hingga 15 Januari 2011. Serentak dengan perjalanan di ILIM Bangi ini, juga berlangsung modul latihan serta kursus yang sama di dua lagi tempat yang berasingan iaitu ILIM Besut Terengganu dan Batu Ampar Resort Kuala Kangsar Perak.
Di dalam ucapan perasmian, Yang Berbahagia Tuan Hj Othman Bin Mustapha telah menyentuh kemelut permasalahan ummah hari ini serta impak kepada remaja khususnya telah menjadikan golongan muda begitu lemah dalam soal ketahanan dalaman diri. Hasilnya berlakulah kebejatan jatidiri serta konflik identiti yang kronik kepada remaja. Beliau amat terharu apabila ada Organisasi Bukan Kerajaan seperti HALUAN tampil membantu dalam usaha membentuk keperibadian serta jatidiri remaja Islam di Malaysia. Hampir sepi malah tiada sumber sokongan seumpana yang diberi HALUAN kepada isu yang sebenarnya menjadi tanggungjawab bersama ini. Beliau menambah, seandainya ada sebarang program yang dirancang untuk kepentingan ummah di Malaysia yang dianjur HALUAN maka JAKIM tiada masalah untuk bekerjasama dalam apa jua aspek. Dengan harapan agar lebih banyak usaha dan penganjuran seumpama ini dilakukan, beliau yakin bahawa HALUAN mampu berperanan dalam banyak dimensi demi kemajuan ummah seluruhnya.
Dengan disusuli gimik perasmian yang memaparkan konflik pembelajaran remaja barat yang kini menjadi sebahagian daripada ikutan remaja di Malaysia, klip AMAR – adik kecil yang di dalam peribadinya penuh dengan imaginasi jangkauannya sebagai insan yang hatinya putih bersih dan sajak – Wahai Pemuda & Pemudi, kursus selama 22 hari itu dibuka dengan rasminya.
Mari kita tanamkan di jiwa anak-anak remaja jatidiri yang mantap agar laluan kehidupan dan perjuangan mereka terpelihara dan jelas di setiap detik. Kursus berstatus nasional ini mudah-mudahan memberi nilai tambah yang menjadi bekalan kepada para peserta. Seluruh warga kerja dan tenaga pembimbing mengucapkan selamat berkursus dan membentuk jatidiri yang kelak diredhai Allah.
BERITA/LAPORAN
,
JAKIM
,
Jatidiri
,
JDK
Subscribe to:
Posts
(
Atom
)