....bicara kualiti dan kuantiti di Mesyuarat Perwakilan HALUAN Ke 21
22 Mei 2010 Bangi – Mesyuarat Perwakilan Tahunan HALUAN Ke 21 telah berlangsung di Dewan Anuwar Mahmud, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mesyuarat telah disertai oleh para perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh pelusuk tanahair termasuk Sabah dan Sarawak berjumlah lebih daripada 500 peserta. Beberapa NGO seperti JIM, Aqsa Syarif, , ABIM, Yayasan Amal Malaysia, ISMA, Karisma dan PEYATIM telah turut serta dalam mesyuarat perwakilan tahun ini. Tema pada kali ini ialah “Kearah Pembentukan Kualiti Dan Kuantiti”.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Y Bhg Dato Hj Yusoff Dohab serta seorang pengiring daripada kementerian telah hadir dan merasmikan mesyuarat perwakilan tahun ini. Dalam ucapan beliau, pihaknya serta Kementerian mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh HALUAN Malaysia dalam memperkemas serta memenuhi aspirasi serta hasrat Kementerian. HALUAN kata beliau dilihat satu-satunya NGO yang berjaya berperanan dan berjaya mengisi ruang mendidik dan berkhidmat kepada masyarakat berbilang bangsa dan keturunan tanpa mengira agama. Sehubungan dengan itu, Kementerian amat menyanjung usahasama yang terbentuk sekian lama ini dan dengan hati terbuka menanti apa jua idea dan projek-projek yang akan HALUAN Malaysia laksanakan paska mesyuarat pada hari ini. Selesai perasmian, Yang Berbahagia Dato, telah dibawa melihat pameran projek usahasama yang telah dilaksanakan antara HALUAN dan KKLW sepanjang 2009, terkini HALUANPalestin, Kelab Kesihatan HALUAN di sana sini dan perkembangan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) sebuah IPT milik HALUAN.
Sebelum itu , satu tayangan video korporat HALUAN telah disiarkan kepada hadirin. Tayangan itu memperlihatkan gambaran perkembangan HALUAN, perjalanannya sehingga ke hari ini dan visi akan datang. Klip video yang buat julung kalinya ditayang kepada umum amat mengujakan perwakilan serta hadirin yang rata-rata kagum dengan viti ringkas penuh makna daripada unit media yang bakal berperanan seiring dengan aspirasi HALUAN Malaysia.
Kemuncak kepada sessi perasmian mesyuarat pagi itu adalah ucapan dasar oleh Presiden HALUAN Dr Abdullah Sudin Abd Rahman. Antara intipati kepada ucapan dasar ialah menggariskan empat elemen yang berupa fokus serta panduan kepada gerakerja HALUAN paska mesyuarat kali ini iaitu, mantap – kualiti – pertingkatkan – kuantiti. Pembinaan sumber manusia melalui aqidah yang jelas dan mantap adalah tonggak utama seiring dengan apa yang Rasulullah fokuskan. Justeru, usaha menyebarkan risalah kebenaran dan menjadikan proses pendidikan Islam (Tarbiyyah Islamiah) mesti menjadi usaha terpenting dalam mempertingkatkan kuantiti ummat. Peranan yang digembleng oleh HALUAN dalam mengemudi isu Palestin telah memberi impak positif serta cetusan hubungan kerjasama antara NGO juga luar biasa dan berjaya mewarnai ruang perpaduan ummah. (Teks penuh Ucapan Dasar boleh dicapai di capaian sisi).
Perbahasan pada sessi petang mesyuarat perwakilan telah disertai oleh wakil negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, IPT dan HALUANITA. Pandangan serta cadangan para perwakilan dilihat amat bernas dan begitu fokus mengupas ucapan dasar Presiden. Sudut pandang yang pelbagai dapat dilihat justeru memberi gambaran yang meyakinkan ke atas kesungguhan dan idea para perwakilan. Mesyuarat perwakilan pada kali ini memperlihatkan isu mewujudkan unit media mendapat tempat apabila telah disentuh sebanyak dua kali oleh para perwakilan. HALUANITA kekal kritis dan berwibawa dalam mendahulukan aspek pendidikan dan menekankan pelbagai sudut tuntutan syarak yang masih mampu dibincangkan malah dijayakan dengan pendekatan serta kaedah yang tepat.
Penggulungan telah disempurnakan keesokan harinya dan kepulangan para perwakilan dan pemerhati hampir pasti membawa fokus dan cabaran serta iltizam yang tidak pernah luntur. Sebagai bekalan dan ingatan daripada Presiden HALUAN, “HALUAN menjadikan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam sebagai contoh ikutan dan aspek ini jugalah menjadi dasar utama kepada imej dan identiti HALUAN.”
No similar posts
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment